Memahami hidup melalui filem, refleksi diri sebagai insan
Filem bolehlah dikatakan sebagai sebuah cerminan kehidupan nyata yang dilakonkan berdasarkan ilham yang terbit oleh seorang pengkarya seni.

MASIH belum terlewat untuk mengucapkan tahniah kepada filem Babah yang telah diangkat sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia ke 34 baru-baru ini. Sebuah filem yang sarat dengan mesej kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah kepada anak demi kebahagiaan keluarga tercinta.
Perjalanan hidup sebagai seorang ayah yang melalui pelbagai ujian dan dugaan dalam membesarkan anak berjaya diungkap dengan naratif yang mengundang pelbagai emosi dijalin dengan sentuhan visual yang berkesan.
Secara umumnya, filem bolehlah dikatakan sebagai sebuah cerminan kehidupan nyata yang dilakonkan berdasarkan ilham yang terbit oleh seorang pengkarya seni. Melaluinya, penceritaan yang dihasilkan bakal menerbitkan suatu cita rasa kepada masyarakat untuk turut sama menyelami suasana apabila berhadapan dengan rangkaian konflik dan permasalahan kehidupan.
Filem diibaratkan saling berinteraksi dengan penonton melalui narratif cerita, olahan dialog, watak, persekitaran dan tuntunan emosi yang dipersiapkan bagi menjalin atau penyaluran makna yang diinginkan kepada penonton.
Malah, penonton pula boleh diibaratkan sedang mencari aspirasi atau ruang rujukan bagi menyelami dari sudut makna dan kesimpulan serta kesan yang bakal menjadi suatu refleksi jika ia bersinonim dengan kehidupan sebenar yang dilalui.
Dengan kata lain, sebagai refleksi diri dalam mengisi kelompongan yang ada melalui tauladan yang ditonjolkan, memanfaatkan pengalaman yang dijelmakan, berinteraksi secara autentik dengan watak dan kunci kepada pertimbangan untuk membuat keputusan yang wajar.
Berdasarkan pengalaman peribadi menonton filem, dapat dirangkumkan bahawa filem mampu untuk berfungsi sebagai medium didikan dan memberi panduan yang bermanfaat dalam memahami masyarakat melalui pelbagai ragam kehidupan. Tatkala menonton, pemikiran kita juga akan terarah dalam mengenalpasti, menghurai dan membuat jangkaan serta membentuk tafsiran kesan atau akibat sesuatu tindakan.
Proses ini akan mendorong untuk penonton mengenali diri sendiri apabila mereka berkongsi falsafah kehidupan yang dibawa oleh filem dalam mengetengahkan unsur mesej seperti kekeluargaan, persahabatan, kasih sayang, pengorbanan, tanggungjawab, kesopanan dan kesemua ini mampu mendewasakan pemikiran penonton secara tidak sedar.
Walaupun ia tidak bersifat mutlak kepada semua filem iaitu sudah tentu atas dasarnya, filem mempunyai pelbagai genre dalam penyampaian dan objektif yang pelbagai. Namun, pernyataan ini lebih menjurus kepada filem-filem yang sarat dengan mesej kasih sayang dan harapan serta menampilkan unsur pengajaran yang berlandaskan asas keinginan manusia.
Ia agak berat dalam gaya persembahannya dan bakal meninggalkan jejak dalam erti kata mengenal kehidupan sebenar melalui lensa. Filem Babah merupakan contoh terbaik apabila kita memperkatakan tentang memahami kehidupan berdasarkan sudut pandangan kasih sayang, tanggungjawab, kesabaran dan harapan seorang ayah terhadap anaknya.
Filem dapat bertindak dalam menyusun pandangan penonton terhadap sesuatu konteks yang dilontarkan dengan cara istimewa dengan daya penerokaan melalui watak dan pembaharuan dari sudut batas realiti serta ketidaktentuan persoalan kehidupan. Penonton bakal merasai pertembungan emosi berkenaan perkara yang bakal disajikan oleh filem dan pengalaman yang dilalui secara peribadi jika terdapat persamaan situasi yang dibawakan oleh filem.
Inilah yang dikatakan sebagai pencetus kesedaran atau refleksi apabila minda penonton dicabar dengan isi kandungan filem yang mungkin mengundang pantulan dari sudut intelektual dalam menghadam sebuah persoalan tersendiri. Ia akan lebih menguji apabila perlakuan dalam filem dan realiti dilihat tidak mempunyai persamaan dan justifikasi yang pelbagai.
Melalui filem juga penonton dapat menemukan nilai-nilai baik melalui naratif yang dibawa dengan lebih mendalam. Filem seharusnya membawa wahana untuk harapan masa hadapan dalam membentuk masyarakat melalui jalur persamaan antara realiti dan ungkapan seni.
Filem mampu untuk memberikan nuansa pada pengalaman yang dilalui oleh watak dan pada masa yang sama membentuk landskap pemikiran kepada penonton dengan mengetengahkan perkara-perkara baik yang berpotensi menambahkan kearifan dalam kehidupan.
Filem kebiasaannya akan menampilkan contoh baik dan buruk dalam persembahannya tetapi setiap garapan itu akan berakhir dengan manfaat berupa sandaran kesedaran serta turut mengangkat nilai-nilai murni dengan cara tersusun berpandukan konteks jalan cerita. Seterusnya dapat membantu dalam pembentukan karektor untuk mendorong menjadi insan yang lebih baik dalam kehidupan nyata.
Dari sisi lain, filem membawakan harapan keyakinan berupa cara mendepani asas membuat pilihan kepada penonton melalui naratif yang diciptakan. Dalam hidup ini, kita seringkali berhadapan dengan situasi di mana terdapat banyak pilihan yang boleh diputuskan sebagai jawapan kepada keperluan kita ketika itu. Kadangkala terdapat banyak pilihan yang berpotensi untuk mencorak kehidupan dan selari dengan matlamat sebuah masa depan yang mampan.
Filem dapat memberikan gambaran mengenai rangkuman cerita tentang persoalan membuat pilihan, merasai jalur pengalaman berdasarkan pilihan, belajar mengenai kemungkinan terhadap kesan pilihan yang diambil dan kemampuan serta keyakinan dalam memahami pilihan dengan pencarian makna sebenar.
Ironinya, kemahiran dalam membuat pilihan merupakan perkara asas dalam menjayakan kehidupan namun tanpa menidakkan kemampuan individu, ada yang terheret dengan pertimbangan pilihan yang salah.
Daripada jalur yang sama, terdapat banyak filem yang mengambarkan tentang kesan dan akibat dalam membuat pilihan. Ia diolah dengan baik agar dapat memberikan unsur pengajaran melalui pengalaman watak agar dapat menjadi contoh atau sandaran jika berada dalam keadaan yang hampir sama.
Nyatalah bahawa filem boleh diumpamakan sebagai sumber idea sewajarnya bagi memungkinkan keputusan tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Sebenarnya, sama ada disedari ataupun tidak, filem dapat membentuk tahap keyakinan individu dari sudut perkongsian pengalaman yang pelbagai.
Walau bagaimanapun, dari sisi yang lain, mungkin ada pihak yang berkata bahawa filem hanya sebuah cerita rekaan tanpa kesempurnaan kesimpulan dalam meneroka dan memahami pengalaman melalui watak ciptaan. Namun, yang menurut saya sekadar memudahkan penjelasan, filem dirasakan mampu mengisi dan menguji pemikiran penonton mengenai perkara what is right and what is good.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
