PUTRAJAYA, 23 Aprril 2024 – Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berjaya mengekalkan pengiktirafan sebagai sebuah universiti berstatus swaakreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sehingga tahun 2027.
Status Swaakreditasi ini melayakkan UNITEN mengakredit programnya sendiri kecuali program yang memerlukan akreditasi dan pengiktirafan badan profesional yang berkaitan.
UNITEN memaklumkan pengiktirafan pengekalan status swaakreditasi itu diberi berikutan audit pematuhan MQA yang telah dijalankan pada Ogos 2023 yang lalu.
Ia menilai kekuatan perlaksanaan jaminan kualiti dalaman universiti.
Kenyataan ini adalah sempena dengan penyerahan kad laporan status swaakreditasi UNITEN pada program libat urus MQA bersama IPT swaakreditasi yang dilaksanakan pada 20 April 2024.
Majlis tersebut dimulakan dengan ucaptama daripada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, “Alhamdulillah. Kejayaan ini adalah berkat kerjasama daripada anggota kerja, pelajar, alumni serta semua pemegang taruh yang terlibat menyokong UNITEN.
“Kami berharap pencapaian UNITEN ini dapat meningkatkan kualiti graduan serta kepercayaan pemegang taruh di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Ia juga adalah sumbangan kepada tahap kualiti pendidikan di Malaysia.”
Turut hadir dari UNITEN adalah Prof. Ir. Dr. Izham Zainal Abidin, Pemangku Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa); Prof. Dr. Hanim Salleh, Pengarah Pusat Kualiti QAC; Prof. Madya Dr. Rosmiza Mokhtar, Dekan CCEd; Dr. Jehana Ermy Jamaluddin, Pengarah CAFEL; Elya Sufliza Marsom @ Abdul Razak dan Norhuieda Zainal Abidin.