Mampukah AI menyelamat anak-anak kita daripada dibuli?
Mampukah kita memanfaatkan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) untuk menjadi perisai yang melindungi anak-anak kita sebelum mereka menjadi mangsa buli?

KEMATIAN tragis remaja berusia 13 tahun, Zara Qairina yang disyaki menjadi mangsa buli baru-baru ini, sekali lagi menyentak nurani seluruh negara.
Kes ini memaksa kita untuk berhadapan dengan barah buli yang semakin parah dalam masyarakat, yang kini menjejaskan anak-anak pada usia yang semakin muda.
Persoalannya, dalam dunia yang semakin canggih, adakah kita hanya mampu bertindak balas selepas tragedi berlaku? Atau mampukah kita memanfaatkan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI) untuk menjadi perisai yang melindungi anak-anak kita sebelum mereka menjadi mangsa?
Untuk mencari jawapan, kita tidak perlu melihat jauh. Jepun, sebuah negara yang terkenal dengan kemajuan teknologinya, juga bergelut dengan masalah buli atau ijime yang kronik.
Laporan rasmi terkini daripada Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) Jepun melukiskan gambaran yang amat membimbangkan.
Pada tahun 2022 sahaja, sebanyak 681,948 kes buli telah diiktiraf secara rasmi di sekolah-sekolah seluruh negara, satu peningkatan sebanyak 10.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Apa yang lebih merisaukan, majoriti kes ini berlaku di peringkat sekolah rendah.
Angka-angka ini mendedahkan satu kebenaran yang pahit. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, termasuk soal selidik dan kaunseling yang lebih kerap, jumlah kes buli tidak berkurangan.
Malah, satu tinjauan oleh UNICEF Jepun mendapati bahawa ramai kanak-kanak memilih untuk mendiamkan diri dan tidak melaporkan pengalaman buli mereka kepada guru atau ibu bapa kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.
Ini mewujudkan satu ‘jurang senyap’ di mana penderitaan berlaku di luar radar orang dewasa. Beban untuk mengesan setiap tanda amaran adalah terlalu berat untuk dipikul oleh guru semata-mata, yang turut dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran dan pengajaran.
Di sinilah teknologi AI boleh memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ tambahan untuk para pendidik.
Di seluruh dunia, pelbagai pendekatan AI sedang diterokai untuk memerangi buli. Platform media sosial seperti Instagram dan X (dahulunya Twitter) telah mula menggunakan AI untuk mengesan komen dan ciapan yang berunsur kebencian sebelum ia tersebar luas.
Di Sepanyol, satu syarikat telah membangunkan avatar robot AI yang membolehkan kanak-kanak meluahkan perasaan mereka tanpa rasa takut, berjaya memendekkan masa pengesanan buli oleh guru dari sembilan bulan kepada hanya sebulan.
Namun, pendekatan yang paling menarik datangnya dari Jepun sendiri, di mana fokusnya bukan pada menghukum pembuli, tetapi pada pencegahan awal.
Mereka tidak lagi bertanya ‘Siapa yang membuli?’ tetapi sebaliknya bertanya ‘Siapa yang berisiko untuk dibuli atau menjadi pembuli?’.
Sebagai contoh, sistem AI ‘Hime-chan’ yang dibangunkan oleh syarikat Tsunagari AI tidak mengesan perkataan-perkataan kesat.
Sebaliknya, ia menganalisis ‘suasana’ atau mood keseluruhan bilik darjah. Setiap hari, pelajar hanya perlu memasukkan mood mereka dan AI akan memvisualisasikan corak hubungan sosial di dalam kelas.
Jika seorang pelajar yang biasanya ceria tiba-tiba menunjukkan mood negatif selama beberapa hari atau jika seorang pelajar didapati semakin terpinggir daripada rakan-rakannya, sistem ini akan memberikan amaran awal kepada guru. Ia membolehkan guru melihat apa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Satu lagi pendekatan yang amat berkesan sedang diuji di bandar Kumamoto. Di sana, sistem AI menganalisis pelbagai data sedia ada pelajar seperti rekod kehadiran, markah akademik dan kekerapan lawatan ke bilik jururawat.
Berdasarkan data ini, AI akan menjana ‘skor risiko’ untuk setiap pelajar, yang menunjukkan kebarangkalian pelajar tersebut akan mula ponteng sekolah (futoko), satu petanda jelas bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku, selalunya berkaitan dengan buli.
Ini membolehkan guru memberikan perhatian tambahan kepada pelajar yang berisiko tinggi, sebelum masalah menjadi tidak terkawal.
Pendekatan yang diambil di Jepun ini menawarkan satu model yang amat berharga untuk Malaysia. Daripada terjebak dalam perdebatan etika mengenai pengawasan privasi pelajar seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, kita boleh menumpukan perhatian kepada penggunaan AI sebagai alat sokongan untuk memperkasakan guru.
Bayangkan sebuah ‘Sistem Amaran Awal Kesejahteraan Pelajar’ di sekolah-sekolah kita. Sistem ini tidak perlu membaca e-mel atau mesej peribadi pelajar.
Sebaliknya, ia boleh menganalisis data pentadbiran yang sedia ada secara holistik seperti corak kehadiran, kemerosotan prestasi akademik dan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum untuk mengenal pasti pelajar yang menunjukkan tanda-tanda awal tekanan atau pengasingan sosial.
Sistem ini tidak akan melabel pelajar sebagai ‘pembuli’ atau ‘mangsa’. Ia hanya akan memberikan isyarat sulit kepada guru kaunseling atau guru kelas, seperti ‘Pelajar A menunjukkan perubahan corak tingkah laku. Sila berikan perhatian tambahan’.
Ini membolehkan guru untuk campur tangan dengan penuh empati dan kebijaksanaan untuk bertanya khabar dan memahami masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar tersebut, sama ada di sekolah atau di rumah. Sudah tentu, teknologi bukanlah penyelesaian ajaib. AI tidak boleh menggantikan sentuhan dan empati seorang guru.
Namun, dalam menghadapi masalah yang kompleks dan tersembunyi seperti buli, AI boleh menjadi alat yang amat berkuasa untuk membantu kita melihat isyarat-isyarat senyap yang sering kita terlepas pandang.
Tragedi seperti yang menimpa Zara Qairina tidak sepatutnya berlaku lagi. Sudah tiba masanya kita menggunakan setiap alat yang ada, termasuk teknologi, bukan untuk menghukum tetapi untuk melindungi dan memupuk kesejahteraan generasi masa depan kita.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.