Memacu transformasi pergigian melalui penyelidikan
Persidangan Saintifik Pelajar Pergigian Universiti Sains Malaysia (USM) 2024.

Dalam landskap kesihatan moden yang sentiasa berkembang, bidang pergigian kini turut menuntut pendekatan yang lebih dinamik dan berasaskan bukti.
Seiring kemajuan teknologi dan keperluan masyarakat, bidang pergigian tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pendekatan konvensional.
Maka, bidang penyelidikan memainkan peranan utama dalam membentuk amalan klinikal dan pendidikan pergigian yang dinamik demi memenuhi keperluan masa depan.
“Kita mahu graduan pergigian yang bukan sahaja mahir daripada aspek klinikal, tetapi juga mampu membaca, memahami dan menghasilkan penyelidikan yang berkualiti. Inilah antara kunci kemajuan kepada bidang kesihatan pergigian,” ujar Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Norhayati Luddin.
Bagi menyemarakkan budaya penyelidikan sejak di peringkat pengajian ijazah sarjana muda, Pusat Pengajian Sains Pergigian USM menganjurkan Persidangan Saintifik Pelajar Pergigian pada 17 April yang lalu.
Bertemakan ‘Improving Dental Practices via Research’, persidangan itu menjadi platform kepada para pelajar prasiswazah untuk membentangkan hasil kajian serta berkongsi dapatan penyelidikan mereka.

Persidangan edisi ke-22 itu berlangsung di Dewan Kuliah 1, Kampus Kesihatan USM dan dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Norhayati diikuti gimik pelancaran yang disempurnakan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), USM, Prof. Madya Dr. Aziah Ismail.
“Persidangan ini bukan sekadar rutin akademik tetapi usaha kolektif yang bersungguh-sungguh dalam membina pelajar yang lebih peka terhadap keperluan masyarakat serta celik penyelidikan.
“Kehadiran pelajar antarabangsa serta kualiti dapatan penyelidikan yang dibentangkan jelas membuktikan bahawa kita mampu melahirkan barisan pelapis penyelidik pergigian yang berkualiti,” kata Pengarah Program, Dr. Nurulezah Hasbullah.
Menariknya, persidangan ini turut disertai pelajar antarabangsa dari Universitas Padjajaran dan Universitas Sumatera Utara, Indonesia serta Jouf University, Arab Saudi.
Kehadiran dua panel jemputan untuk sesi ucaptama (plenary talk) menambah nilai kepada program ini, membincangkan isu-isu semasa berkaitan status kesihatan pergigian serta cabaran dan peluang penyelidikan kecerdasan buatan (AI) dalam pergigian.
“Kita perlu memanfaatkan potensi teknologi termasuk AI bagi memperkasakan bidang pergigian, terutamanya dalam bidang diagnosis, perancangan rawatan dan penyelidikan berkaitan kesihatan penduduk,” tambah Prof. Dr. Norhayati.
Selain sesi pembentangan penyelidikan, persidangan ini turut menyelitkan pertandingan pembentangan lisan terbaik dan e-poster terbaik. Menariknya, pelajar antarabangsa juga berjaya mengungguli beberapa kategori pertandingan.
“Melihat semangat pelajar dari pelbagai negara membentangkan hasil penyelidikan masing-masing, saya percaya kolaborasi antarabangsa sebegini mampu memajukan bidang pergigian ke tahap yang lebih tinggi,” ujar Dr. Nurulezah.
Persidangan ini turut diserikan dengan hiasan bunga segar di pentas utama hasil tajaan Expressions Floral Hub, menambah seri acara yang sudah sedia meriah. Lebih istimewa, ia menjadi medan pelajar bukan sahaja mempersembahkan dapatan kajian, malah berinteraksi, bertukar idea dan membina jaringan penyelidikan.
“Kita mahu pelajar faham yang bidang pergigian hari ini bukan hanya tentang merawat tetapi juga mengenai memahami pesakit melalui penyelidikan yang relevan. Persidangan ini adalah langkah kecil yang penting ke arah pembinaan budaya akademik yang lebih mapan,” tegas Prof. Dr. Norhayati.
Dengan kejayaan penganjuran edisi ke-22 ini, Pusat Pengajian Sains Pergigian USM pastinya terus komited memacu budaya penyelidikan dalam kalangan pelajar, seiring misi memperkasa sistem penjagaan kesihatan pergigian negara melalui dapatan ilmu yang berkualiti dan berimpak tinggi.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.