Pemansuhan Peraturan 78: Pengguna perlu tunggu dulu
Pinjaman atau pembiayaan merupakan obligasi kewangan yang besar terhadap aliran tunai pengguna kredit individu atau organisasi.

PINJAMAN atau pembiayaan merupakan obligasi kewangan yang besar terhadap aliran tunai pengguna kredit individu atau organisasi. Jumlah wang yang dipinjam wajib dibayar semula dalam tempoh tertentu, dengan tambahan kos faedah atau caj keuntungan.
Walaupun pinjaman tampak seperti tidak dapat dielakkan, pengguna perlulah teliti membuat perancangan agar tidak meminjam secara berlebihan. Walaupun pinjaman merupakan satu bentuk muamalat yang disediakan oleh syariat Islam, namun harus digunakan untuk tujuan bermanfaat.
Baru-baru ini, kerajaan telah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli, dengan tujuan menambah baik Akta 212, menjadikannya lebih komprehensif, kondusif serta sesuai dengan peredaran masa. Malah, ia tampak adil sedikit kepada pengguna, di samping menangani isu kekangan penerimaan digitalisasi dalam aktiviti sewa beli.
Pindaan kepada Akta 212 ini dilihat sebagai satu langkah kerajaan memperkukuh perlindungan pengguna dalam urusan sewa beli di negara ini. Namun, daripada sudut pandang lain, pindaan ini boleh menggalakkan pelanggan untuk membuat pinjaman sewa beli dengan lebih rancak.
Sebagai pengguna, kena beringat, di saat persekitaran kos sara hidup semakin mencabar dan akses kepada pembiayaan menjadi lebih mudah, mereka perlu lebih responsif dan berhati-hati terhadap keperluan dan kehendak semasa.
Daripada sudut kerajaan, RUU ini bukan sahaja memodenkan undang-undang sewa beli sedia ada, malah mencerminkan komitmen kerajaan melindungi kepentingan pengguna. Ia merupakan sebahagian daripada penambahbaikan agar sistem pembiayaan sewa beli di negara ini menjadi lebih telus dan inklusif.
Selain itu, langkah perubahan ini melakarkan kejayaan kerajaan melakukan reformasi dasar kredit pengguna agar ia lebih seimbang antara kepentingan pengguna dan industri. Malah, pelaksanaan ini tidak memerlukan perbelanjaan tambahan yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan dan institusi kewangan berupaya mengekalkan keuntungan melalui pertambahan pelanggan.
Operasi pihak bank sebagai pembiaya pinjaman tidak akan terjejas kerana permintaan terhadap sewa beli tetap akan berlaku dengan rancak, walaupun kos sara hidup terus meningkat. Oleh itu, tidak wujud kegusaran pihak bank terhadap potensi keuntungan melalui aktiviti pembiayaan sewa beli ini.
Untuk pihak pengguna pula, mereka harus lebih mementingkan perbelanjaan keperluan hidup sebelum bertindak untuk membeli barangan melalui sewa beli. Janganlah teruja sangat dengan pindaan ini, dek kerana kata-kata manis penasihat dalam talian yang rata-rata bersetuju bahawa pemansuhan Peraturan 78 ini teramat menguntungkan peminjam.
Hakikatnya, pengguna akan menanggung beban kewangan yang besar jika melakukan pembelian secara sewa beli tanpa perancangan yang teliti. Pengguna perlu lebih bijak mengatur dan memilih kehendak yang boleh meringankan kos sara hidup seharian.
Ini yang sangat membimbangkan apabila ada penganalisa menyambut pindaan RUU ini dengan pemikiran agak sempit, hanya tertumpu kepada wujudnya pengurangan kenaan faedah pinjaman secara keseluruhan, apabila penyelesaian awal pinjaman dilaksanakan
Seharusnya para penasihat dan penganalisa ini memberikan pandangan yang lebih memihak kepada perancangan kewangan yang lebih baik. Mencadangkan agar setiap pengguna pembiayaan sewa beli lebih mementingkan keperluan daripada kehendak kehidupan.
Apabila ini berlaku, dikhuatiri pengguna akan membuat pembiayaan tanpa berfikir panjang. Dikisahkan dengan cerita menarik tentang jumlah faedah menjadi kurang, maka berduyun-duyunlah tampil untuk membuat pinjaman baharu.
Pinjaman atau pembiayaan tetap kekal sebagai pilihan terakhir dalam setiap transaksi pembelian yang selalu dilaksanakan pengguna. Sekiranya mampu untuk dielak, buatlah begitu kerana beban kewangan perlu ditanggung dalam jangka masa yang panjang. Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Oleh hal demikian, janganlah terburu-buru dalam membuat pinjaman sewa beli yang baru disebabkan penerangan awal ini. Lebih baik ambil sikap tunggu dan lihat dulu perkembangan seterusnya dan implikasi yang mungkin ada sejajar dengan perubahan yang akan dilaksanakan oleh institusi kewangan nanti.
Bagi kerajaan, tanggungjawabnya dalam memastikan perlindungan kepada pengguna kredit di Malaysia telah dilaksanakan dengan baik melalui beberapa perundangan yang dikuatkuasakan. Malah kerajaan juga komited dalam memastikan kestabilan kewangan negara dengan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Sudah pasti, keputusan terletak di tangan pengguna sendiri samada ingin terus menjadi pengguna yang bebas hutang atau pun pengguna yang bekerja untuk bayar hutang.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
