PPUM perluas vaksinasi denggi, saringan kesihatan percuma kanak-kanak
Sesi tambahan pada hujung minggu di bawah Program Saringan Anemia dan Pencegahan Denggi mendekatkan perkhidmatan percuma kepada keluarga.
KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2026 – Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memperluas akses kepada saringan anemia (kurang darah) dan vaksinasi denggi percuma secara pilihan untuk kanak-kanak berumur tujuh tahun hingga bawah 12 tahun yang layak, menerusi sesi komuniti tambahan pada hujung minggu di seluruh Lembah Klang.
Program itu menyediakan saringan anemia dalam kalangan kanak-kanak, iaitu keadaan kekurangan sel darah merah atau hemoglobin yang sering tidak dikesan.
Kanak-kanak yang mengalami anemia mungkin mudah letih, sukar menumpukan perhatian di sekolah, kelihatan pucat atau kurang bertenaga. Jika tidak dikenal pasti, keadaan itu boleh menjejaskan pembelajaran, pertumbuhan dan perkembangan mereka.
Kanak-kanak yang mengalami anemia juga lebih berisiko mendapat penyakit yang teruk sekiranya dijangkiti denggi, justeru pengesanan awal amat penting, khususnya di kawasan endemik denggi.
Peluasan program itu menyusuli sambutan menggalakkan terhadap pelaksanaan terdahulu di seluruh Lembah Klang, dengan matlamat menjangkau lebih ramai keluarga dalam menghadapi beban denggi yang semakin meningkat di Malaysia.
Sehingga 14 Oktober 2026, lebih 76,000 kes denggi dilaporkan di seluruh negara. Selain itu, jumlah kematian berkaitan denggi sehingga awal September 2026 hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama pada 2025, iaitu 62 kematian berbanding 32.
Satu ulasan antarabangsa turut mendapati bahawa dalam kalangan pesakit denggi, kanak-kanak mempunyai kemungkinan mengalami denggi teruk hampir dua kali ganda berbanding orang dewasa.
Bagi kanak-kanak dan keluarga mereka, denggi boleh menyebabkan kemasukan ke hospital, ketidakhadiran ke sekolah dan gangguan kepada aktiviti harian. Kelesuan boleh berlarutan selama beberapa minggu selepas sembuh, manakala ibu bapa mungkin perlu mengambil cuti kerja untuk menjaga anak mereka.
Antara Mei dan Okt 2026, lebih 3,600 kanak-kanak menyertai program berkenaan, dengan 60 hingga 70 peratus memilih untuk menerima vaksinasi denggi.

Sesi komuniti sebelum ini diadakan di Petaling Jaya, Ampang, Kepong, Subang dan Shah Alam.
“Setakat ini, sambutan amat menggalakkan dan kami mahu lebih banyak keluarga dapat menyertai program ini. Dengan mengadakan lebih banyak sesi berhampiran tempat tinggal penduduk dan pada hujung minggu, kami berharap dapat memudahkan ibu bapa membawa anak mereka menjalani saringan serta berbincang tentang pencegahan denggi bersama pasukan perubatan kami,” kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam PPUM, Profesor Dr Rafdzah Ahmad Zaki.
Sesi komuniti tertentu turut menampilkan badut, belon, supadoopa dan beg cenderahati.
Ibu bapa dan penjaga boleh mendaftarkan anak yang layak untuk sesi akan datang atau hadir terus ke PPUM tanpa janji temu dari Selasa hingga Jumaat sehingga 30 Okt 2026.
Semua keluarga juga digalakkan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, melindungi diri daripada gigitan nyamuk dan mendapatkan nasihat perubatan dengan segera jika mengesyaki jangkitan denggi.
SESI KOMUNITI AKAN DATANG
Berikut ialah jadual sesi komuniti akan datang, termasuk lokasi, masa dan pautan pendaftaran:
1. 24 Okt 2026 (Sabtu)
Lokasi: SJK(C) Poi Min
Masa: 11 pagi hingga 5 petang
Pendaftaran: https://forms.gle/nkdqJ6sTHPAsBwe27
2. 1 Nov 2026 (Ahad)
Lokasi: Masjid Subang Perdana
Masa: 9 pagi hingga 3 petang
Pendaftaran: https://forms.gle/AG3DVsqNufn9FGVN9
3. 14 Nov 2026 (Sabtu)
Lokasi: PPR Pinggiran Bukit Jalil
Masa: 9 pagi hingga 3 petang
Pendaftaran: https://forms.gle/YX7cajrj7UjpDWVeA
4. 22 Nov 2026 (Ahad)
Lokasi: Apartment Idaman Damansara Damai PJU 10/1
Masa: 9 pagi hingga 3 petang
Pendaftaran: https://forms.gle/dvP9ufY7hd5BRCEL9
5. 28 Nov 2026 (Sabtu)
Lokasi: PPR Lembah Subang 2
Masa: 9 pagi hingga 3 petang
Pendaftaran: https://forms.gle/quxxMDsQgsA2xuAD9
Ibu bapa dan penjaga boleh mendaftarkan anak melalui pautan berkaitan atau hadir terus pada hari acara.
SESI DI PPUM TANPA JANJI TEMU
Saringan dan perkhidmatan berkaitan turut disediakan di PPUM tanpa janji temu sehingga 30 Okt 2026, dari Selasa hingga Jumaat, pukul 9 pagi hingga 4 petang, di Aras 5, Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-kanak, PPUM.
Perkhidmatan itu ditutup pada Isnin, hujung minggu dan cuti umum.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi https://forms.gle/H44Kpd4GmngdCPRp7.
KELAYAKAN DAN PERTANYAAN
Program itu terbuka kepada kanak-kanak berumur tujuh tahun hingga bawah 12 tahun yang belum pernah menerima vaksin denggi.
Klinik PPUM menerima kanak-kanak yang menetap atau bersekolah di daerah Petaling, Kuala Lumpur atau Ampang. Ibu bapa perlu mengesahkan kelayakan bagi sesi komuniti dengan pasukan program.
Vaksinasi adalah pilihan dan tertakluk kepada kelayakan serta ketersediaan stok.
Sebarang pertanyaan mengenai program boleh diajukan kepada Profesor Dr Rafdzah Ahmad Zaki atau Dr Darishiani menerusi talian +6018-251 1614.
Pertanyaan media boleh diajukan kepada Sophia Lee, Pengarah Komunikasi IN.Deed Communications, menerusi talian +6016-229 7727.
