Sentuhan emas Ahmad Nawab: UiTM pelihara legasi maestro muzik negara untuk generasi masa hadapan

UiTM menerima buku Sentuhan Emas Tan Sri Dr. Ahmad Nawab yang menghimpunkan lebih 600 karya muzik bagi memelihara warisan seni negara.

Feature Image (3)

Oleh: MOHD ALFARABIE MOHD NASIR

KUALA LUMPUR, 24 Oktober 2026 – Di sebalik alunan lagu yang terus menjadi siulan masyarakat, tersimpan kisah seorang maestro muzik yang mengabdikan hampir seluruh kehidupannya kepada dunia seni tanah air.

Daripada ribuan karya yang dihasilkan sepanjang tujuh dekad, Allahyarham Tan Sri Dr. Ahmad Nawab meninggalkan warisan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mencerminkan identiti, budaya dan perjalanan sejarah muzik Malaysia.

Hasrat Allahyarham untuk membukukan karya ciptaannya kini diterjemahkan melalui penerbitan Sentuhan Emas Tan Sri Dr. Ahmad Nawab, sebuah naskhah eksklusif dua jilid yang menghimpunkan lebih 600 lagu dalam bentuk notasi muzik, selain koleksi gambar serta catatan berharga sepanjang perjalanan seninya.

Lebih istimewa, penerbitan tersebut turut mengabadikan tulisan tangan terakhir Allahyarham, menjadikan naskhah berkenaan bukan sekadar dokumentasi muzik, tetapi khazanah peribadi yang sarat dengan nilai sejarah dan sentimental.

Sebahagian daripada warisan itu kini diserahkan kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Majlis Penyerahan Buku Sentuhan Emas Tan Sri Dr. Ahmad Nawab yang berlangsung di Ruang Library Community Engagement, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Shah Alam, hasil kerjasama Fakulti Muzik dan Jabatan Perpustakaan UiTM bersama keluarga Allahyarham.

Penyerahan tersebut menandakan satu lagi usaha universiti dalam memelihara khazanah seni negara, sekali gus memperluas fungsi perpustakaan sebagai pusat rujukan, penyelidikan dan pembudayaan ilmu merentasi pelbagai disiplin.

Naskhah Eksklusif Merakam Tujuh Dekad Kegemilangan

Dekan Fakulti Muzik UiTM, Prof. Dr. Tajul Izan Tajuddin, menyifatkan penyerahan buku berkenaan sebagai suatu penghormatan besar kepada universiti kerana diberi kepercayaan untuk memelihara sebahagian daripada legasi Seniman Negara ketujuh itu.

Menurut beliau, penerbitan yang dilaporkan hanya mempunyai 50 salinan fizikal itu merupakan sumber akademik bernilai tinggi, khususnya kepada mahasiswa, pensyarah dan penyelidik dalam bidang muzik serta warisan seni negara.

Naskhah berkenaan bukan sekadar menghimpunkan melodi dan susunan muzik, sebaliknya membuka ruang untuk generasi baharu menelusuri pemikiran kreatif, falsafah pengkaryaan dan sumbangan Ahmad Nawab terhadap perkembangan industri muzik Malaysia.

Penempatannya sebagai koleksi rujukan perpustakaan turut menyokong usaha pendokumentasian karya seni agar terus dipelajari dan tidak terhenti sebagai nostalgia sesuatu zaman.

Keistimewaan legasi tersebut turut diterjemahkan melalui persembahan akustik mahasiswa Fakulti Muzik UiTM menggunakan instrumen cajon, gitar dan saksofon. Persembahan itu memperlihatkan bagaimana karya maestro negara terus diberi nafas baharu melalui interpretasi generasi muda.

Perpustakaan Sebagai Pemegang Amanah Warisan Ilmu

Sementara itu, Ketua Pustakawan UiTM, Azizi Jantan menegaskan bahawa penyerahan koleksi berkenaan membawa makna lebih besar daripada penerimaan sebuah buku kerana mencerminkan kepercayaan keluarga tokoh terhadap institusi perpustakaan untuk memelihara dan menyebarluaskan khazanah ilmu negara.

Beliau berpandangan bahawa pembudayaan ilmu tidak seharusnya dilihat melalui pembacaan buku semata-mata kerana pengetahuan juga hadir melalui muzik, visual, rakaman audio, video, bahan arkib dan pengalaman. Dalam konteks ini, karya Ahmad Nawab bukan sahaja mempunyai nilai hiburan, malah merupakan sumber ilmu yang membolehkan masyarakat memahami kreativiti, identiti budaya dan perkembangan sejarah muzik tanah air.

Antara contoh yang diketengahkan ialah lagu Seloka Hari Raya yang terus berkumandang setiap kali menjelang Aidilfitri, sekali gus memperlihatkan keupayaan sesebuah karya untuk kekal dekat dengan masyarakat walaupun merentasi generasi.

Selaras dengan aspirasi Vibrant Centre of Learning, Jabatan Perpustakaan UiTM terus berusaha memperkayakan koleksi dan memperluas akses kepada pelbagai sumber pengetahuan, termasuk bidang seni, muzik dan warisan budaya.

Kerjasama bersama Fakulti Muzik juga diharapkan dapat diperkukuh melalui pengumpulan bahan penyelidikan, pameran warisan muzik, perkongsian ilmu bersama tokoh industri serta pendokumentasian sejarah muzik tempatan.

Usaha ini selari dengan gagasan Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa, yang menekankan kepentingan menjadikan ilmu sebagai asas pembinaan masyarakat berpengetahuan, berbudaya dan menghargai warisan negara.

Hasrat Seorang Maestro, Amanah Seorang Anak

Di sebalik penerbitan Sentuhan Emas Tan Sri Dr. Ahmad Nawab, tersimpan kisah usaha seorang anak menyempurnakan hasrat bapanya untuk mendokumentasikan karya muzik yang dihasilkan sepanjang hayat.

Wakil keluarga Allahyarham, Nasir Khan menjelaskan bahawa penerbitan buku tersebut merupakan keinginan Ahmad Nawab sendiri bagi memastikan hasil ciptaannya dapat dihimpunkan secara sistematik untuk tatapan dan rujukan generasi akan datang.Menurut beliau, Allahyarham telah menghasilkan kira-kira 2,000 lagu dan terlibat dalam 42 filem sepanjang perjalanan seninya, dengan pencapaian tersebut turut dikaitkan dengan pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Bagaimanapun, penerbitan dua jilid yang diserahkan kepada UiTM setakat ini hanya menghimpunkan lebih 600 karya, sekali gus memperlihatkan masih banyak khazanah muzik Allahyarham yang berpotensi diteroka dan didokumentasikan.

Proses menyiapkan penerbitan tersebut mengambil masa kira-kira setahun, termasuk kerja mentranskripsikan lagu kepada bentuk notasi muzik. Usaha itu memerlukan ketelitian bagi memastikan hasil ciptaan Allahyarham dapat dipelihara sebagai bahan rujukan yang tersusun.

Bagi keluarga, antara bahagian paling bermakna ialah tulisan tangan terakhir Allahyarham yang diabadikan pada kulit buku, menjadi lambang hubungan peribadi antara seorang seniman dengan karya yang ditinggalkannya.

Kesungguhan keluarga memelihara legasi itu turut diperlihatkan melalui kesediaan mereka membuka ruang kepada pihak universiti untuk meneliti koleksi peribadi Allahyarham, termasuk manuskrip, instrumen muzik, saksofon dan pelbagai anugerah yang masih berada dalam simpanan keluarga.

Pendigitalan Buka Potensi Akses Warisan Muzik ke Peringkat Global

Perbincangan semasa sesi sidang media turut membuka perspektif lebih luas mengenai masa hadapan pemeliharaan khazanah muzik negara, khususnya melalui penggunaan teknologi digital.

Antara perkara yang diketengahkan ialah potensi kerjasama antara UiTM dengan keluarga Allahyarham untuk meneroka pendigitalan manuskrip, notasi muzik, rakaman dan bahan dokumentasi lain supaya warisan tersebut dapat dimanfaatkan secara lebih meluas.

Pendekatan ini penting kerana khazanah muzik yang tersimpan dalam bentuk fizikal berisiko mengalami kemerosotan keadaan bahan, selain mempunyai keterbatasan dari segi capaian dan penggunaan.

Melalui pendigitalan yang terancang, bahan berkenaan berpotensi dipelihara dengan lebih sistematik dan digunakan sebagai sumber rujukan penyelidikan, tertakluk kepada kebenaran pemilik serta ketetapan hak cipta yang berkaitan.

Perbincangan turut menyentuh peranan repositori digital universiti sebagai platform yang boleh menyokong pengumpulan, pemeliharaan dan penyebaran maklumat berkaitan pemikiran serta sumbangan tokoh negara dalam pelbagai bidang.

Sekiranya diteroka melalui kerjasama yang sesuai, inisiatif tersebut berpotensi membuka akses kepada penyelidik dan masyarakat antarabangsa untuk memahami sumbangan Ahmad Nawab dalam perkembangan muzik Malaysia.

Langkah sedemikian bukan sahaja dapat memperkukuh fungsi perpustakaan dalam era digital, malah memberikan dimensi baharu kepada usaha mengangkat warisan seni tempatan sebagai sebahagian daripada khazanah ilmu yang bernilai di peringkat global.

Mengangkat Muzik Daripada Hiburan kepada Kesarjanaan

Satu lagi aspek penting yang dibincangkan dalam sesi sidang media ialah keperluan mengangkat karya muzik sebagai bidang kesarjanaan yang mempunyai nilai penyelidikan tersendiri. Dalam konteks pendidikan tinggi, seni muzik tidak seharusnya dinilai berdasarkan keindahan melodi atau populariti sesebuah lagu semata-mata, sebaliknya perlu diteliti melalui proses penciptaan, teknik komposisi, falsafah pengkaryaan dan pengaruhnya terhadap masyarakat.

Pendekatan practice-based research atau penyelidikan berasaskan amalan turut diketengahkan sebagai kaedah yang membolehkan proses kreatif dan persembahan muzik dikaji secara sistematik. Melalui pendekatan ini, karya Ahmad Nawab berpotensi menjadi bahan penyelidikan yang menghubungkan kreativiti seni dengan pengetahuan akademik, sekali gus memperkayakan perkembangan kesarjanaan muzik tempatan.

Selain itu, perbincangan turut menekankan kepentingan memahami muzik sebagai sebahagian daripada industri kreatif yang mempunyai nilai ekonomi, termasuk bidang penciptaan lagu, penerbitan, persembahan dan pengurusan hak karya.

Perspektif ini membuka peluang kepada mahasiswa untuk melihat bidang muzik bukan sahaja sebagai kerjaya persembahan, tetapi juga sebagai ekosistem profesional yang merangkumi penyelidikan, pengurusan warisan dan keusahawanan kreatif.

Memastikan Legasi Terus Hidup

Penyerahan buku Sentuhan Emas Tan Sri Dr. Ahmad Nawab memperlihatkan bagaimana kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, perpustakaan dan keluarga tokoh seni dapat memainkan peranan penting dalam memastikan warisan negara terus dipelihara.

Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, usaha mendokumentasikan karya seni perlu bergerak seiring dengan perkembangan penyelidikan, pemeliharaan digital dan peluasan akses ilmu.

Bagi UiTM, penerimaan naskhah berkenaan bukan sekadar menambah koleksi perpustakaan, sebaliknya membuka ruang kepada kerjasama akademik yang lebih bermakna dalam memperkukuh penyelidikan dan penghargaan terhadap sejarah muzik Malaysia.

Lebih penting, usaha ini membuktikan bahawa legasi seorang seniman tidak berakhir apabila alunan terakhir karyanya terhenti. Selagi karya tersebut terus dipelajari, dikaji, dipersembahkan dan diwariskan, selagi itulah pemikiran serta sumbangannya akan terus hidup.

Daripada helaian notasi kepada khazanah ilmu, Sentuhan Emas Tan Sri Dr. Ahmad Nawab kini membawa satu makna baharu, iaitu memastikan warisan seorang maestro muzik negara terus menjadi inspirasi kepada generasi masa hadapan.

*Penulis merupakan Pustakawan Kanan, Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.