Abdul Qayyum genggam ijazah undang-undang di UiTM
Pengalaman ketika menyertai misi UNIFIL di Lubnan menjadi titik perubahan sehingga mendorong beliau menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di UiTM tahun ini.
SHAH ALAM, 23 November 2025 – Pengalaman menyertai misi Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan menjadi titik perubahan besar bagi Kapten Abdul Qayyum Abdul Sharip, 39, sehingga mendorong beliau menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) tahun ini.
Berbekalkan 15 tahun berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), minat Abdul Qayyum terhadap bidang undang-undang mula berputik ketika beliau melihat sendiri isu pematuhan undang-undang antarabangsa sewaktu menjalankan tugas dalam misi di Lubnan pada 2016 hingga 2017.
“Semasa di Lubnan, saya nampak sendiri situasi berkaitan undang-undang antarabangsa yang tidak dipatuhi. Dari situ saya terdorong untuk mendalami undang-undang dunia dengan lebih serius,” katanya ketika ditemui selepas sesi Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di sini.
Anak kelahiran Pahang itu sebelum ini memiliki Diploma Sains Komputer daripada UiTM serta Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer & Rangkaian) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Meskipun latar belakang akademiknya jauh berbeza, beliau tekad membuka lembaran baharu dalam bidang perundangan.
Sambil berkhidmat aktif dalam TUDM, Abdul Qayyum juga memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada seorang anak perempuan, menjadikan perjalanan pengajiannya lebih mencabar.
“Masa untuk keluarga memang terhad. Banyak masa saya kena bahagi untuk belajar dan ulang kaji. Bila bekerja, saya boleh balik dan bersama keluarga tapi bila belajar, komitmennya lebih besar,” katanya.
Mengakui tidak mempunyai asas undang-undang pada peringkat awal, beliau berkata usaha membaca secara konsisten dan bertanya kepada pensyarah serta rakan-rakan membantunya menyesuaikan diri.
“Saya lebihkan membaca dan banyak bertanya. Daripada situ saya mula faham dan cuba kejar rakan-rakan lain,” ujarnya.
Menurut beliau, kejayaan yang dikecapinya membuktikan bahawa tiada istilah ‘terlambat’ dalam menuntut ilmu.
“Ilmu itu boleh dituntut sampai bila-bila. Jangan rasa usia sudah lanjut. Kalau kita nak, kita kejar,” katanya yang turut menitipkan pesanan kepada mereka yang masih ragu-ragu untuk menyambung pengajian.
“Tepikan semua masalah. Fokus pada apa yang kita nak capai. Belajarlah sejauh mana yang boleh,” tambahnya.
Kejayaan Abdul Qayyum bukan sahaja mengharumkan nama keluarga dan pasukannya, malah menjadi bukti bahawa anggota tentera mampu cemerlang dalam bidang akademik di luar kepakaran teras mereka. Pihak UiTM turut melihat pencapaiannya sebagai simbol ketabahan dan keazaman seorang penjawat awam dalam usaha memperkasa diri serta masyarakat.
Daripada medan operasi antarabangsa di Lubnan ke pentas konvokesyen, Abdul Qayyum membawa kisah inspirasi bahawa setiap pengalaman hidup mampu menjadi ilham untuk masa depan yang lebih bermakna.
