DKSH perluas akses produk pemakanan dan kesihatan pengguna Nestle di seluruh Malaysia

DKSH bekerjasama dengan Nestle Malaysia memperkukuh kehadiran pasaran dan menjadikan produk pemakanan serta kesihatan lebih mudah diakses oleh pengguna di Malaysia.

Feature Image (3)

KUALA LUMPUR, 24 November 2025 – DKSH Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Nestle Malaysia bagi memperkukuh akses rakyat kepada rangkaian produk pemakanan dan kesihatan pengguna syarikat itu di seluruh negara.

DKSH dalam kenyataan memaklumkan bahawa kerjasama tersebut membabitkan pengedaran dan perluasan pasaran bagi rangkaian produk NUTREN® serta portfolio kesihatan pengguna Nestle.

Unit Perniagaan Barangan Pengguna DKSH akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran menyeluruh merangkumi jualan, pemasaran perdagangan, pengedaran, logistik, selain pengurusan kredit dan kutipan.

“DKSH memiliki kepakaran khusus dalam produk kesihatan pengguna dan kesejahteraan, termasuk pengendalian dan penyimpanan yang betul serta pembangunan hubungan merentasi pelbagai saluran,” menurut kenyataan itu.

Produk di bawah rangkaian Nestlé NUTREN® termasuk NUTREN® OPTIMUM, NUTREN® GlucoBalance™, NUTREN® Fibre, NUTREN® Junior, ORAL IMPACT®, NOVASOURCE® dan PEPTAMEN® diformulasi untuk menyokong pelbagai keperluan pemakanan, daripada kesejahteraan umum hingga pemakanan perubatan khusus.

Produk berkenaan akan diedarkan melalui rangkaian saluran yang luas termasuk farmasi antarabangsa dan tempatan, peruncitan moden, pasar raya bebas serta kedai bayi.

Menurut DKSH, dengan rangkaian pengedaran meluas serta pengetahuan mendalam dalam kategori kesihatan pengguna, syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan rakan runcit utama bagi memastikan produk Nestlé lebih mudah diakses di seluruh negara.

Business Executive Officer Nestle Health Science, Raei-Sze Pang berkata kerjasama dengan DKSH membolehkan produk pemakanan dan kesihatan pengguna Nestlé mencapai lebih ramai rakyat Malaysia.

“Dengan rangkaian pengedaran dan kepakaran tempatan DKSH, kami dapat meningkatkan akses, keterlihatan dan ketersediaan produk bagi menyokong gaya hidup lebih sihat. Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyuburkan dan memperkasa komuniti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Fast Moving Consumer Goods DKSH Malaysia, Daniel Schwalb berkata kerjasama ini akan membantu memperkukuh kehadiran produk pemakanan dan kesihatan Nestlé.

“Kami yakin dengan rangkaian pengedaran kukuh dan kepakaran pasaran DKSH, kami dapat memperluas kehadiran Nestlé serta menyokong gaya hidup lebih sihat di seluruh Malaysia,” katanya.

Kerjasama tersebut turut mengukuhkan kedudukan DKSH sebagai rakan pertumbuhan dipercayai bagi jenama global selain memastikan pengguna tempatan terus mendapat akses kepada produk berkualiti dan berkhasiat.