Kekalkan rasa selamat dan bijak dalam talian

Perkembangan teknologi digital memberi janji yang manis dan pada masa yang sama, menyajikan bahaya yang merisaukan.

Feature Image (2)

SELALU aktif, selalu hubung menghubungi, begitulah aktiviti kehidupan digital kita pada era ini. Untuk bertahan lama dalam dunia digital, ia memerlukan kemahiran yang jitu, kemahiran yang sama diperlukan dalam dunia fizikal. Bagi rakyat Malaysia, jalan-jalan dalam dunia digital agak sesak kerana hampir keseluruhan populasi di negara kita mempunyai akses atas talian dan kebanyakannya menggunakan media sosial.

Keadaan ini membuka sebanyak peluang kepada yang pandai mengambil kesempatan. Namun demikian, ia juga membentangkan pelbagai bahaya kepada yang leka, kepada yang tidak berhati-hati.

Seperti yang kita maklum, perkembangan teknologi digital memberi janji yang manis dan pada masa yang sama, menyajikan bahaya yang merisaukan. Pada awal tahun 2024, capaian akses di Malaysia mencecah 97.4 peratus penetrasi dengan jumlah penggunanya sebanyak 33.59 juta dan identiti media sosial dikenal pasti sebanyak 28.68 juta.

Platform-platform digital ini memberi kemudahan kepada urusan perdagangan, pembelajaran dan penyertaan sosial masyarakat tetapi ia juga membuka ruang kepada aktiviti penipuan, penyebaran maklumat yang salah dan risiko privasi pengguna.

Jenayah dalam talian semakin hari, semakin jelas kelihatan di dalam dunia digital. Data statistik rasmi menggambarkan kenaikan yang tinggi berkenaan jenayah dalam talian seperti penipuan kewangan digital, pelaburan tidak wujud dan taktik pancing data peribadi.

Sebanyak 34,532 kes direkodkan pada tahun 2023 dan jumlah ini pastinya mengundang kebimbangan orang awam. Ancaman ini bersifat nyata dan boleh dikesan manakala bahayanya kepada kewangan dan emosi seseorang selari dengan ancaman dalam dunia fizikal. Maka, tindakan mengawal dan menyelesaikannya perlu datang daripada dunia fizikal juga.

Oleh itu, bagaimana kita, rakyat biasa Malaysia boleh bertahan dan berkembang maju dalam dunia digital? Kita boleh mula dengan tiga peraturan asas untuk diamalkan iaitu lindung, henti seketika dan praktik.

Lindung – Bila perlindungan digital dibincangkan, perlakukan identiti digital kita seperti kita menjaga wang simpanan yang kita sayang. Guna kata laluan yang unik dan kuat atau aplikasi pengurusan kata laluan yang boleh dipercayai, benarkan pengesahan dua faktor bagi perbankan, e-mel dan akaun sosial dan fikir dengan teliti sebelum berikan maklumat peribadi kepada aplikasi atau laman web.

Perlu diingatkan, sekali kata laluan kita terdedah, ia boleh menjurus kepada kecurian wang dan identiti dan juga pengambilalihan akaun digital. Selain itu, laporan insiden siber daripada agensi negara menjelaskan bahawa penjenayah siber bertindak dengan cepat dalam mengeksploitasi kesilapan kecil para pengguna digital.

Henti seketika – Tanpa kita sedari, teknologi zaman ini mendorong refleksi dengan pantas. Seperti yang diingatkan oleh Profesor Sherry Turkle daripada Massachusetts Institute of Technology, kita mengharapkan banyak daripada teknologi dan kurang antara kita, sesama manusia. Peringatan ini bermakna apabila kita merenungkan dan membuat kita mengambil masa sedikit sebelum memberi respon atau berkongsi maklumat dalam dunia digital.

Sebenarnya, berhenti sejenak memberi ruang kepada kita untuk berfikir dengan waras, misalnya menyemak permintaan pembayaran yang bukan rutin, memeriksa pautan samada dipercayai atau tidak, atau sahkan permintaan dengan menghubungi orang yang berkenaan. Jelas di sini, penangguhan sekejap terhadap permintaan teknologi boleh menjamin keselamatan digital.

Praktik – Kemahiran digital adalah kemahiran amali. Sekolah dan tempat kerja bukan sahaja mengajar bagaimana menggunakan aplikasi digital, malah mendidik berkenaan penilaian sumber maklumat, tetapan privasi, keselamatan siber yang asas dan daya tahan emosi apabila berada atas talian.

Perintis-perintis teknologi global seperti Sir Timothy John Berners-Lee menegaskan bahawa laman sesawang perlu kekal terbuka dan sifatnya boleh digunakan pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, dalam memastikan penglibatan aktif dan sihat, ia memerlukan pengguna-pengguna yang berpengetahuan dan institusi yang bertanggungjawab kepada komunitinya.

Pembentukan dan penguatkuasaan dasar mempunyai kepentingan juga dalam alam siber. Perbincangan di peringkat kebangsaan terbaru untuk melaksanakan penyekatan data mengundang tekanan dan persoalan berkenaan keselamatan pengguna dan penapisan maklumat.

Para pemikir bersetuju halatuju dasar perlu menekankan perlindungan rakyat daripada kandungan berbahaya dan dalam pada itu, ia perlu menjurus kepada peningkatan ekonomi digital. Oleh itu, pembuat dasar, pentadbir dan syarikat platform digital perlu berganding bahu dengan masyarakat untuk mereka bentuk peraturan-peraturan yang bersifat melindungi, samada kepada rakyat mahupun ekonomi digital.

Selain daripada tiga peraturan yang dinyatakan di atas, untuk kekal selamat dalam dunia digital setiap hari, antara tips yang boleh diamalkan adalah pastikan perisian dikemaskini, simpan fail-fail penting dalam storan komputer, kenal pasti kesahihan tawaran kerja atau pelaburan terlebih dahulu, hadkan apa yang kita kongsi secara umum dan bila ada keraguan berkenaan pemindahan wang, segera berhubung dengan pakar atau laman rasmi berkenaan.

Memulihkan semula ruang manusia dalam dunia digital itu penting. Seterusnya, kehidupan digital tidak boleh dikaitkan dengan protokol keselamatan semata-mata tetapi ia turut berkait dengan kesejahteraan dan hubungan. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah tutup notifikasi buat seketika, pilihlah untuk berjumpa secara bersemuka bagi urusan yang penting dan amalkan kemurahan hati digital.

Seperti yang selalu ditekankan oleh para pakar, teknologi boleh memperluas kehidupan kita pada ketika ini atau pada masa akan datang tetapi yakinlah, ia sama sekali tidak boleh menggantikan tabiat-tabiat yang menjadikan kita seorang manusia, malah seorang insan.

Persekitaran digital sentiasa berubah, lebih pantas daripada penciptaan satu peraturan. Tetapi, sekiranya kita, warganet Malaysia menggabungkan perlindungan yang berpandukan akal yang waras dengan kemahiran kritikal dan usaha berkelompok bagi pelaksanaan dasar dan kelakuan digital yang baik, dunia internet akan kekal sebagai satu ruang dengan ribuan peluang dan bukan ruang untuk berperang.

Justeru itu, latihlah diri kita untuk menjadi pengguna digital yang selamat, bijak dan baik hati.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.