Akhir tahun, masa terbaik menilai amal dan memperbaharui tekad
Sebagai seorang Muslim, renungan akhir tahun sewajarnya lebih mendalam daripada sekadar menilai apa yang berlaku di luar diri.

MENITI detik akhir tahun, ramai antara kita menghitung pencapaian dan kegagalan dalam urusan dunia seperti pekerjaan, ekonomi, hubungan serta impian yang dikejar.
Namun, sebagai seorang Muslim, renungan akhir tahun sewajarnya lebih mendalam daripada sekadar menilai apa yang berlaku di luar diri. Ia adalah masa terbaik untuk bertanya secara jujur, “Bagaimana amalan setahun ini di sisi Allah? Adakah hidup yang berlalu ini semakin mendekatkan aku kepada-Nya atau sebaliknya?”.
Persoalan ini bukan ringan kerana Allah berfirman dalam surah Al-Hashr ayat 18 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat apa yang telah ia sediakan untuk hari esok.” Renungan ini membawa kita menilai amal, hati dan arah hidup yang mungkin kita abaikan dalam kesibukan dunia.
Jika kita telusuri perjalanan setahun, pasti banyak nikmat dikurniakan Allah walaupun kadang-kadang tidak kita sedari. Kesihatan, rezeki, keluarga, peluang belajar, kemampuan bekerja, semuanya bukan jaminan setiap manusia. Ramai diuji dengan kesakitan, kehilangan dan kesempitan hidup, namun tetap tabah kerana yakin adanya hikmah.
Sewajarnya kita mensyukuri setiap nikmat dengan ketaatan, bukan hanya dengan kata-kata. Syukur yang sebenar ialah apabila nikmat yang diterima diterjemah dalam ibadah dan akhlak. Justeru, renungan akhir tahun bukan sekadar mengimbas, tetapi menilai sejauh mana nikmat tersebut membawa kita kepada ketakwaan atau melalaikan.
Dalam menilai amalan setahun, tanyalah pada diri, berapa banyak solat yang dijaga tepat pada waktunya? Berapa kerap al-Quran dibaca dan dihayati terjemahannya? Adakah zakat ditunaikan, sedekah diperbanyakkan atau masih berkira-kira dengan rezeki Allah?.
Sesetengah kita begitu cepat mengejar dunia tetapi perlahan dalam urusan akhirat. Kita tekun memantau perkembangan kewangan, namun jarang menyemak perkembangan iman. Sedangkan Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadis riwayat Muslim yang berbunyi: “Orang yang bijak ialah orang yang menghisab dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati.” Muhasabah akhir tahun adalah peluang menilai kelemahan lalu memperbaharui tekad untuk menjadi lebih baik.
Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian juga ialah hubungan sesama manusia. Berapa banyak hati yang telah kita sakiti sepanjang tahun?. Mungkin terdapat kata-kata yang meninggalkan luka, ada janji yang tidak tertunai, ada perselisihan yang dibiarkan membeku tanpa salam.
Menjelang tahun baharu, cubalah perbaiki hubungan, memohon maaf dan memaafkan. Menyambung silaturahim adalah salah satu amalan besar yang mendatangkan keberkatan hidup. Kita tidak tahu siapakah antara saudara atau rakan yang mungkin tidak, sempat bersama kita pada tahun mendatang. Maka jangan berat untuk memohon maaf, kerana memaafkan bukan tanda kalah, tetapi tanda hati yang besar.
Selain itu, penting untuk bertanya juga, apakah kita telah berusaha menambah ilmu agama tahun ini? Hidup Muslim bukan hanya ritual tetapi kefahaman. Tanpa ilmu, ibadah boleh menjadi rutin kosong tanpa penghayatan. Hadirilah kuliah agama, bacalah buku-buku bermanfaat, dengarlah ceramah dalam talian serta bergaullah dengan mereka yang mengajak kepada kebaikan.
Ilmu yang benar akan menuntun akhlak, adab dan cara pandang kita terhadap dunia. Semakin bertambah ilmu, semakin tunduk hati kepada Allah. Sebaliknya, ketandusan ilmu menjadikan hati keras, mudah marah, mudah leka dan sukar menerima nasihat.
Pada masa sama, ada juga perkara yang perlu kita elakkan agar perjalanan tahun baharu lebih bermakna. Hindarkan sikap menangguh taubat. Ramai menunggu detik tertentu untuk berubah, contohnya di hujung Ramadan, selepas naik pangkat atau selepas pencen. Sedangkan ajal tidak menunggu masa.
Elakkan juga sikap berbangga dengan dosa atau menyebarkan maksiat melalui media sosial. Dosa yang dipamerkan mengundang murka Allah dan menjadi fitnah kepada agama. Begitu juga dengan sikap hasad dengki, membuang masa dengan hiburan melampau serta lalai daripada berzikir.
Akhir tahun juga mengingatkan kita bahawa masa yang berlalu tidak mungkin kembali. Jika setahun berlalu tanpa peningkatan iman, maka kita akan rugi. Namun jangan pula berputus asa. Sesungguhnya pintu taubat Allah sentiasa terbuka bagi hamba yang kembali dengan tulus.
Mulakan langkah kecil dengan istiqamah bersolat di awal waktu, menambah tilawah satu muka al-Quran sehari, biasakan memberi sedekah walau sedikit, senyum dan berbuat baik kepada orang lain. Sesungguhnya perubahan besar bermula dari usaha yang kecil tetapi konsisten.
Semoga renungan ini menjadi titik permulaan untuk memperbaharui niat dan azam. Tahun baharu bukan hanya angka berganti pada kalendar, tetapi peluang memperbaiki diri sebelum tiba hari perhitungan yang kekal. Jadikan kehidupan ini satu perjalanan menuju reda Allah.
Moga tahun mendatang menjadikan kita lebih dekat dengan Tuhan, lebih lembut hati, lebih santun berbahasa, lebih ikhlas beramal dan lebih banyak memberi manfaat kepada insan lain.

