Sinergi alumni, UM kukuhkan ikatan dan inspirasi
Persatuan Alumni Fakulti Farmasi Universiti Malaya (AlphaUM) menganjurkan Majlis Perjumpaan Alumni yang menghimpunkan bekas pelajar dari pelbagai kohort merentas dua dekad iaitu sejak 1999 hingga 2024.

Oleh: DR IRMA WATI NGADIMON
Pensyarah Farmasi, Jabatan Sains Hayat Farmaseutikal, Fakulti Farmasi, Universiti Malaya
IBARAT ‘Sireh pulang ke gagang’. Begitulah perumpamaan indah yang menggambarkan detik penuh makna apabila alumni kembali ke alma mater mereka, menyuntik semula semangat, inspirasi dan jalinan silaturahim antara generasi.
Baru-baru ini, Persatuan Alumni Fakulti Farmasi Universiti Malaya (AlphaUM) menganjurkan Majlis Perjumpaan Alumni yang menghimpunkan bekas pelajar dari pelbagai kohort merentas dua dekad iaitu sejak 1999 hingga 2024.
Mereka termasuk yang kini bergelar pemilik perniagaan, pakar industri, pakar penyelidikan, usahawan berjaya dan penjawat awam berpengaruh.
Majlis yang diadakan dalam suasana santai ini bukan sahaja menjadi ruang untuk bertemu semula rakan lama tetapi turut membuka lembaran baharu dalam membina sinergi antara alumni dan fakulti.
“Kami percaya alumni adalah aset penting universiti. Melalui perjumpaan seperti ini, jurang antara generasi dapat dirapatkan, pengalaman dapat dikongsi dan jaringan profesional dapat dibina untuk manfaat semua.
“Dalam era serba digital, perjumpaan fizikal alumni menjadi semakin bernilai bukan hanya sebagai acara sosial tetapi sebagai jambatan yang menyatukan masa lalu dan masa depan institusi. Kehadiran alumni dari sejauh Kedah, Perlis, Perak dan Johor mencerminkan betapa kuatnya ikatan emosi dan akademik antara bekas pelajar dan universiti,” kata penyelaras alumni Fakulti Farmasi, Dr. Irma Wati Ngadimon.
Presiden persatuan AlphaUM, En Asfezal Ahmad yang kini bertugas sebagai pengurus di sebuah institusi penyelidikan antarabangsa menyuarakan rasa bangga dapat berbakti kembali ke fakulti tempat beliau menimba ilmu dua dekad lalu.
“Banyak yang telah berubah, daripada jabatan ke penubuhan fakulti, daripada lokal ke segenap global hinggalah terkini ke cabaran AI tetapi yang kekal adalah tradisi kecemerlangan dan semangat kekitaan setiap graduan, pelajar, pensyarah dan kakitangan fakulti yang saya rasakan dahulu sebagai pelajar dan sekarang sebagai alumni. Adalah diharapkan lebih ramai alumni yang akan kembali menyumbang kembali kepada institusi masing-masing,” katanya.
Persatuan alumni dijangka membuka laluan kepada lebih banyak kolaborasi, bukan sahaja dalam akademik dan industri, malah dalam inisiatif khidmat masyarakat serta pembangunan lestari.
Bagi para pelajar semasa, perjumpaan ini memberi peluang langka untuk mendekati dunia sebenar melalui kisah dan pengalaman mereka yang telah melalui pelbagai cabaran dalam kerjaya. Ia turut memupuk motivasi dan memperkukuh jati diri menjadi lebih beretika dan berdaya saing.
Semoga semangat ‘sireh pulang ke gagang‘ terus subur, menyemai kecemerlangan untuk generasi akan datang.