PERDANA Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji bagi kakitangan awam untuk dua fasa bermula pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.
Pengumuman ini telah memberi suntikan positif kepada semua kakitangan awam di Malaysia untuk meningkatkan lagi produktiviti kerja.
Baru-baru ini juga, pihak kerajaan telah menyemak dan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,700 bermula pada Februari 2025.
Tidak cukup dengan itu, pihak kerajaan juga telah memberi saranan kepada semua pihak majikan untuk melaksanakan dasar gaji progresif supaya pembayaran gaji yang lebih adil kepada golongan pekerja.
Apabila berlakunya kenaikan gaji, maka dalam dunia yang serba pantas dan dipenuhi dengan pelbagai tarikan sosial, dua konsep yang semakin popular dan berpengaruh dalam gaya hidup masa kini ialah YOLO dan FOMO akan menghampiri pengguna di Malaysia.
YOLO, singkatan bagi “You Only Live Once” atau “Kamu Hanya Hidup Sekali,” merupakan pemikiran yang menekankan kehidupan secara spontan dan tidak mengambil kira kesan jangka panjang terhadap kewangan atau kehidupan peribadi seseorang.
FOMO pula atau “Fear of Missing Out” yang bermaksud “Takut Terlepas,” merujuk kepada ketakutan tertinggal peluang atau pengalaman yang menyeronokkan yang dinikmati orang lain.
Walaupun konsep ini mungkin memberi inspirasi untuk meraih pengalaman hidup yang sepenuhnya, budaya YOLO dan FOMO sering menyebabkan perbelanjaan berlebihan, pengumpulan hutang, serta ketidakstabilan kewangan dalam jangka masa panjang.
Artikel ini akan mengupas kesan negatif fenomena YOLO dan FOMO terhadap pengguna serta kaedah tuntas untuk mengawal kecenderungan ini daripada terus berleluasa di kalangan masyarakat.
Kesan buruk YOLO dan FOMO terhadap pengguna:
1. Perbelanjaan berlebihan dan hutang yang meningkat
Salah satu kesan utama budaya YOLO dan FOMO terhadap pengguna ialah kecenderungan untuk berbelanja melebihi kemampuan.
Apabila seseorang mengamalkan pemikiran YOLO dan FOMO, mereka sering terdorong untuk membuat keputusan kewangan yang impulsif (pembelian barangan berjenama, percutian mewah, gajet terkini atau aktiviti hiburan yang luar biasa).
Mereka mungkin berbelanja di luar kemampuan kerana ingin mempunyai pengalaman ‘mewah’ semata-mata untuk mengikuti arus rakan sebaya atau trend terkini yang dipaparkan di media sosial tanpa mengambil kira beban kewangan yang bakal dihadapi.
2. Tekanan emosi dan kebimbangan
Kesan psikologi budaya YOLO dan FOMO tidak boleh diabaikan. Rasa cemburu, rendah diri, atau tidak mencukupi boleh timbul apabila seseorang itu merasa mereka tidak dapat menikmati atau memperoleh pengalaman yang sama seperti orang lain.
Fenomena FOMO yang dipacu oleh media sosial boleh menyebabkan tekanan emosi yang berpanjangan apabila pengguna terdedah kepada kehidupan “sempurna” yang sering dipaparkan oleh orang lain secara dalam talian.
Apabila mereka merasakan hidup mereka tidak seindah seperti yang dipamerkan oleh rakan-rakan atau selebriti, maka perasaan rendah diri dan kebimbangan boleh wujud dan dapat mengurangkan kepuasan hidup dan kesihatan mental seseorang.
3. Kurang penekanan terhadap perancangan kewangan jangka panjang
Apabila pengguna terpengaruh dengan pemikiran YOLO dan FOMO, mereka cenderung untuk mengabaikan perancangan kewangan jangka panjang dan sering kali membawa kepada keputusan kewangan yang tidak bijak.
Dalam jangka masa panjang, pengguna yang terjebak dalam budaya YOLO dan FOMO mungkin mengalami kesukaran untuk bersara dengan selesa, penyediaan simpanan kecemasan serta lebih terdedah kepada risiko kewangan kerana terlepas pandang tentang pentingnya simpanan dan pelaburan untuk kestabilan kewangan masa depan.
Kaedah tuntas mengawal budaya YOLO dan FOMO:
1. Tetapkan matlamat kewangan yang jelas
Langkah pertama untuk mengatasi budaya YOLO dan FOMO ialah dengan menetapkan matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang yang jelas.
Dengan ini, para pengguna akan lebih cenderung untuk berfikir secara rasional sebelum membuat perbelanjaan yang besar dan mengurangkan risiko untuk berbelanja secara impulsif.
2. Menyusun bajet dan mengamalkan disiplin kewangan
Penyusunan bajet yang teratur dapat membantu individu mengurus perbelanjaan mereka dengan lebih bijak.
Dengan menetapkan peruntukan bagi keperluan asas, simpanan, dan perbelanjaan hiburan, seseorang itu akan dapat mengimbangi keinginan untuk menikmati kehidupan sambil mengelakkan pembaziran yang tidak perlu.
Mengamalkan disiplin kewangan dengan mengikut bajet yang telah ditetapkan dapat membantu pengguna mengawal perbelanjaan mereka serta menghindari godaan fenomena YOLO dan FOMO.
3. Mengurangkan pendedahan kepada media sosial
Pengguna disarankan untuk mengurangkan masa atau membataskan pendedahan kepada media sosial yang hanya memaparkan gaya hidup mewah bagi membantu mengurangkan tekanan sosial dan keinginan untuk berbelanja bagi memenuhi harapan atau standard sosial tertentu.
4. Menghargai nilai pengalaman berbanding barangan material
Pengguna juga boleh memberi tumpuan kepada pengalaman yang bermakna dan mempunyai kesan positif kepada kehidupan mereka seperti belajar kemahiran baharu, menghadiri kelas, atau berbakti kepada komuniti setempat akan dapat memberikan kepuasan yang berpanjangan berbanding keseronokan sementara hasil dari pembelian material.
Dengan cara ini, seseorang itu boleh mencapai kepuasan hidup tanpa perlu berbelanja berlebihan atau mengikuti arus YOLO dan FOMO yang merugikan.
5. Membina rangkaian sokongan positif
Akhir sekali, dengan adanya rakan-rakan atau keluarga yang menyokong gaya hidup berhemah boleh mengelak seseorang itu daripada terjerat dengan fenomena YOLO dan FOMO.
Rangkaian sokongan sosial ini dapat memberi galakan untuk seseorang itu membuat keputusan kewangan yang bijak, membina disiplin diri serta dapat mengelakkan kecenderungan untuk terjebak dalam perbelanjaan yang tidak diperlukan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, budaya YOLO dan FOMO adalah fenomena moden yang memberi impak besar terhadap kehidupan kewangan dan emosi pengguna.
Walaupun konsep ini mungkin memberikan kepuasan jangka pendek, kesan negatifnya terhadap kewangan dan kesejahteraan mental perlu diambil kira.
Dengan menetapkan matlamat kewangan yang jelas, menyusun bajet, mengurangkan pendedahan kepada media sosial dan menghargai nilai pengalaman yang bermakna, pengguna akan dapat mengelakkan kesan buruk daripada fenomena ini dan mencapai kestabilan kewangan serta kepuasan hidup yang berpanjangan.
Apa yang paling dibimbangi ialah seseorang itu mungkin akan menerima rasuah atau menggunakan produk-produk tiruan bagi mendokong fenomena YOLO dan FOMO.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.