Mahasiswa pergigian, farmasi santuni golongan istimewa

Program khidmat masyarakat bertemakan ‘3D: Dental, Diabetes & Disability’ di Pusat IQ70+,

Poster Terkini (10)

KUALA LUMPUR, 26 Mei 2025 – Sekumpulan pelajar prasiswazah dari Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi, Universiti Malaya (UM) menganjurkan satu program khidmat masyarakat bertemakan ‘3D: Dental, Diabetes & Disability’ di Pusat IQ70+, sebuah institusi yang menyokong individu berkeperluan khas intelek di ibu negara.

Program yang dijalankan dengan bimbingan Dr. Jessica Francis, Pensyarah dalam Pergigian Penjagaan Khas, Fakulti Pergigian UM itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan oral dan umum selain menyediakan saringan asas kepada para penghuni pusat berkenaan.

Para pelajar pergigian terlibat dalam menjalankan pemeriksaan kesihatan oral secara mesra dan ringkas ke atas penghuni IQ70+ bagi mengenal pasti masalah gigi yang mungkin memerlukan perhatian lanjut, di samping memberi pendidikan asas tentang penjagaan kebersihan mulut.

“Bagi melengkapkan sesi saringan, sesi pendidikan kesihatan turut dijalankan menggunakan alat bantu mengajar interaktif termasuk demonstrasi teknik memberus gigi yang betul dan penekanan terhadap kepentingan pemakanan sihat.”

Pelajar Fakulti Farmasi pula mengambil inisiatif menjalankan saringan glukosa darah rawak sebagai langkah meningkatkan kesedaran mengenai diabetes dan kesihatan umum, selain mengenal pasti individu yang berisiko untuk rujukan lanjut.

Program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti dan permainan bertemakan kesihatan yang direka khas untuk peserta berkeperluan khas, bertujuan mengukuhkan penyampaian mesej kesihatan serta menggalakkan penyertaan aktif dan interaksi sosial yang positif.

“Program outreach ini bukan sahaja memberi impak positif kepada komuniti IQ70+, malah menawarkan pengalaman praktikal yang berharga kepada para pelajar dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang inklusif.”

Inisiatif berkenaan mencerminkan kepentingan kolaborasi rentas disiplin dalam memperkukuh amalan kesihatan komuniti serta memperlihatkan nilai belas ihsan, profesionalisme dan dedikasi dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan masa hadapan.