UiTM perkukuh aspirasi ‘Globally Renowned, Locally Rooted’ melalui jalinan kerjasama di Bali

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau mengadakan lawatan akademik ke Institut Sains dan Teknologi Nahdlatul Ulama Bali (ISTNUBA), Indonesia pada 25 Jun lalu.

Poster Terkini (3)

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh aspirasi menjadi universiti bertaraf antarabangsa menerusi strategi ‘Globally Renowned, Locally Rooted’ apabila Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau mengadakan lawatan akademik ke Institut Sains dan Teknologi Nahdlatul Ulama Bali (ISTNUBA), Indonesia pada 25 Jun lalu.

Lawatan itu turut disertakan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi yang menjadi antara usaha signifikan dalam mendokong strategi global UiTM untuk berkembang ke pasaran antarabangsa tanpa mengabaikan matlamat asal penubuhannya.

Delegasi yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Siti Sara Ibrahim itu telah diberi penghormatan menyampaikan syarahan professorial bertajuk ‘Mengarusperdanakan Pembangunan Ekonomi Komuniti: Peranan Universiti sebagai Pemangkin Jaringan Industri dan Sosial’.

Turut serta dalam rombongan ialah Cik Balkis Kasmon dan Nazatul Aqilah Sutrisno yang berkongsi kepakaran dalam bidang penyelidikan melalui topik ‘Bagaimana Meneroka Dunia Penyelidikan Empirikal: Teknik Kuantitatif, Kualitatif dan Bibliometrik dalam Satu Pandangan Menyeluruh’.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh fakulti, program ini merupakan sebahagian daripada langkah ke hadapan bagi merealisasikan strategi ‘Globally Renowned’ yang dibangunkan oleh UiTM untuk melonjakkan jenama institusi setaraf universiti terkemuka dunia, bukan sahaja dari segi kualiti pendidikan, malah dalam bidang penyelidikan dan jaringan antarabangsa.

Strategi ‘Globally Renowned’ turut menekankan keperluan penyeragaman usaha pengantarabangsaan dan pendekatan multinasional dalam aktiviti akademik. Menerusi jalinan kerjasama seperti ini, UiTM dijangka dapat memperluas keterlibatannya dalam kajian-kajian global terkini, seterusnya meningkatkan kesedaran jenama universiti di peringkat antarabangsa.

Gabungan prinsip ‘Globally Renowned, Locally Rooted’ menjadikan pendekatan UiTM unik dan relevan. Delegasi yang dihantar membawa kepakaran tempatan ke pentas antarabangsa dengan hasrat untuk membawa pulang ilmu baharu yang mampu memperkayakan pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan universiti.

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Rembau melihat inisiatif perkongsian pengetahuan global sebagai aspek penting dalam memperkukuh jenama universiti, selain membuka peluang untuk pelajar dan pensyarah memperoleh pendedahan antarabangsa yang menyeluruh.

Melalui perkongsian strategik ini, pelbagai manfaat akademik dapat dijana termasuk pertukaran pelajar, pengembangan amalan pengajaran, penemuan penyelidikan serta peningkatan kefahaman rentas budaya yang kritikal dalam dunia pendidikan global masa kini.

Universiti yang bercita-cita untuk menonjol di persada dunia perlu menekankan elemen pengantarabangsaan bukan hanya untuk memperkukuh modal insan, malah untuk memperkenalkan teknologi, inovasi serta memupuk persaingan sihat dalam kalangan institusi pengajian tinggi.

Pihak fakulti juga menyifatkan bahawa pengalaman antarabangsa merupakan tunjang kepada strategi pengantarabangsaan UiTM, dengan mobiliti pelajar dan kerjasama penyelidikan menjadi antara komponen utama yang diberi keutamaan.

Seiring cabaran globalisasi pendidikan tinggi, pengukuhan jaringan antarabangsa dilihat sebagai langkah penting dalam menempatkan UiTM sebagai institusi yang berdaya saing, disegani dan dikenali di peringkat dunia, tanpa meninggalkan akar tempatan yang menjadi asas kekuatannya.

Fakulti ini sedar untuk membangunkan tahap pengantarabangsaan, fakulti perlu terlibat dalam projek penyelidikan antarabangsa bersama atau program pengajian bersama serta penggajian penyelidik asing, lebih-lebih lagi dalam meningkatkan mobiliti pelajar dan graduan.

Integrasi dengan persekitaran akademik multinasional membawa kepada mewujudkan sejenis budaya antarabangsa dengan menggalakkan mobiliti dan latihan amali di luar negara dalam kalangan graduan dan pensyarah yang sebahagian besarnya memerlukan pengalaman antarabangsa dalam pasaran buruh.

Pengantarabangsaan pendidikan juga memudahkan promosi ‘ciri antarabangsa’ yang diingini dalam ekonomi global, seperti keterbukaan dan kepekaan terhadap perbezaan antara budaya, kemahiran bahasa asing, fleksibiliti berfikir, bertolak ansur dan menghormati orang lain.