UPSI anjur kursus fahami bacaan dalam solat, perkasa jiwa ketakwaan warga kampus

program itu dirancang dalam beberapa siri bagi memberi manfaat kepada lebih 2,000 kakitangan Islam universiti berkenaan sepanjang tahun ini.

Feature Image (4)

Md Amin (dua dari kiri) bersama warga UPSI ketika menyertai perbincangan dalam kumpulan semasa kursus fahami bacaan dalam solat di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah.

Oleh BAZLI RAZAK

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Kursus Fahami Bacaan Dalam Solat sebagai inisiatif berterusan memperkukuh penghayatan ibadah dalam kalangan kakitangan Islam universiti itu, selari dengan Aspirasi UPSI 3.0 yang menekankan pembentukan jiwa ketakwaan.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, program itu dirancang dalam beberapa siri bagi memberi manfaat kepada lebih 2,000 kakitangan Islam universiti berkenaan sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, siri pertama berlangsung selama dua hari bermula hari ini melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) serta semua Ketua Pusat Tanggungjawab (PTj), dengan fokus kepada pemahaman, penghayatan dan kesempurnaan bacaan dalam solat.

“Solat bukan sekadar kewajipan tetapi teras pembinaan sahsiah, integriti dan etika kerja. Apabila makna bacaan difahami dan dihayati, ia membentuk disiplin dalaman yang akhirnya diterjemahkan dalam budaya kerja cemerlang.

Suasana ketika Kursus Fahami Bacaan Dalam Solat berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Beliau berkata usaha sistematik melalui modul yang dibangunkan sendiri oleh kepakaran dalaman UPSI itu juga memperlihatkan keupayaan universiti mengintegrasikan ilmu, nilai dan amalan dalam ekosistem kampus.

“UPSI mahu melahirkan warga universiti yang bukan sahaja kompeten tetapi memiliki jiwa ketakwaan yang menjadi panduan dalam setiap tindakan dan keputusan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata penganjuran kursus tersebut merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan universiti yang menekankan keseimbangan antara profesionalisme dan nilai spiritual.

Beliau berkata pendekatan kursus yang menekankan elemen amali dan perbincangan kumpulan kecil membolehkan peserta bukan sahaja memahami teks bacaan, malah menghayati falsafah serta aplikasi nilai solat dalam kehidupan seharian dan tugasan rasmi.

Panel pembinaan modul yang juga pensyarah pengajian Tahfiz al-Quran dan Qiraat UPSI, Profesor Madya Dr. Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi (kanan) ketika mengendalikan kursus fahami bacaan dalam solat di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

“Kursus itu antara lain bertujuan membantu peserta memahami makna bacaan dalam solat sebagai asas pelaksanaan ibadah yang berkesan, menghayati falsafah solat dalam konteks tugas dan kehidupan serta memperoleh kesempurnaan solat.

Pelaksanaannya merangkumi kaedah membaca zikir, doa dan ayat al-Quran dalam solat, memahami makna bacaan, menghayati makna dan falsafahnya serta latihan dalam kumpulan (amali) melalui perbincangan dalam kumpulan.

Menurut Helmi, enam modul utama diperkenalkan iaitu Mukadimah dan Surah al-Fatihah; Takbiratul Ihram serta bacaan ketika ruku’, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud; Tahiyyat dan salam; Surah al-Dhuha dan al-Insyirah; Surah al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas dan al-’Asr; serta doa-doa sebelum salam dan selepas solat.

“Modul-modul kursus dibangunkan oleh panel akademik dan tenaga pengajar UPSI merentasi fakulti dengan penglibatan Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi serta Pusat Islam UPSI.

“Siri seterusnya akan diteruskan secara berperingkat dalam tahun ini bagi memastikan manfaat kursus dapat diperluas kepada seluruh kakitangan Islam universiti,” katanya.