Juruukur bahan kunci ‘hijaukan’ bangunan kita

Juruukur bahan sudah terlatih untuk mengira kos hingga ke sen terakhir tetapi anggaran pelepasan karbon menuntut pendekatan berbeza.

Poster Terkini


SEKTOR pembinaan adalah antara penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau di peringkat global. Di Malaysia, pelepasan karbon bermula seawal proses pembinaan, sebelum bangunan digunakan.

Dengan peningkatan risiko perubahan iklim, usaha mengurangkan pelepasan ini menjadi keutamaan negara. Malaysia berhasrat untuk mengurangkan keamatan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai sifar bersih menjelang 2050.

Bagi menyokong matlamat ini, Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 dan Akta Perubahan Iklim yang dicadangkan akan menyediakan rangka kerja tindakan, mewajibkan pelaporan karbon dan menubuhkan repositori data iklim kebangsaan.

Di peringkat pelaksanaan, pelbagai mekanisme sedang diperkenalkan. MyCREST membantu mengukur kesan alam sekitar projek pembinaan manakala CarbonScore menilai prestasi karbon bangunan.

Pihak berkuasa tempatan pula menggunakan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam infrastruktur bandar manakala Garis Panduan Amalan Hijau untuk Sektor Pembinaan memberikan panduan praktikal berkaitan perancangan mampan, penggunaan tenaga, bahan dan pengurusan sisa.

Bagi kebanyakan pihak, pengurangan karbon bukan sekadar isu teknikal. Ia memberi kesan kepada kesihatan awam, kemampuan memiliki rumah dan daya tahan bandar.

Setiap bahan yang digunakan dalam pembinaan mempunyai kos karbon sebelum sesebuah bangunan digunakan. Pengurusan terhadap pelepasan ini membawa kepada udara yang lebih bersih, penyelenggaraan yang lebih rendah dan pembangunan yang lebih cekap dari segi kos.

Ia juga membantu membina bandar yang lebih sihat, nyaman dan lebih bersedia menghadapi cabaran iklim masa hadapan. Justeru, pengurusan karbon harus dianggap sebagai tanggungjawab bersama dalam keseluruhan sektor pembinaan.

Walaupun pelbagai langkah proaktif telah diambil di peringkat nasional, sektor pembinaan tetap menghasilkan lebih daripada 5.2 juta tan karbon dioksida.

Namun, usaha pengurusan pelepasan karbon masih bersifat terpisah, dibatasi oleh kekangan data, tahap kesedaran yang rendah serta ketiadaan piawaian yang seragam.

Walaupun pelbagai instrument giat diperkenalkan, ia sahaja tidak mencukupi untuk mendorong perubahan yang bermakna. Untuk mencapai kemajuan, karbon perlu diukur dengan ketepatan yang sama seperti kos.

Apabila data karbon disepadukan dalam perancangan kos, juruukur bahan dan pasukan projek akan lebih bersedia membuat keputusan yang dapat mengurangkan kedua-dua pelepasan dan perbelanjaan.

Juruukur bahan sudah terlatih untuk mengira kos hingga ke sen terakhir tetapi anggaran pelepasan karbon menuntut pendekatan berbeza. Ia memerlukan akses kepada pangkalan data yang tepat, faktor pelepasan yang seragam serta metodologi yang boleh dipercayai dan mencerminkan kerumitan pembinaan moden.

Bagi juruukur bahan, pengurangan karbon bukan semata-mata berkaitan pematuhan atau pelaporan, sebaliknya ia menjadi asas kepada pembuatan keputusan yang berinformasi dan seimbang antara impak alam sekitar dengan daya maju kewangan.

Dengan data karbon yang boleh dipercayai, pihak berkepentingan dalam industri pembinaan dapat membuat keputusan berdasarkan kedua-dua aspek kos dan kadar pelepasan. Hal ini amat penting memandangkan alternatif lestari sering dianggap mahal.

Apabila karbon diukur dan diambil kira dalam penganggaran kos, para profesional pembinaan dapat membuat pilihan yang lebih bertanggungjawab selari dengan matlamat kelestarian dan kemampuan kewangan.

Sejak 2021, Malaysia telah melakar langkah kearah peralihan ini. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memperkenalkan Inventori Karbon Terbenam bagi Bahan Pembinaan sebagai panduan awal.

Namun, data sedia ada masih terlalu umum dan tidak cukup terperinci untuk digunakan mengikut lokasi projek.

Langkah seterusnya ialah mewujudkan sistem Pengisytiharan Produk Alam Sekitar (EPD) peringkat kebangsaan. EPD memainkan peranan penting dalam menyediakan data karbon yang spesifik bagi setiap produk sepanjang kitar hayat bahan.

Berbeza dengan rujukan umum, EPD mencerminkan praktik sebenar termasuk bahan mentah, pengeluaran, pengangkutan, pemasangan dan pelupusan. Akses kepada EPD setempat akan membolehkan juruukur bahan menyokong keputusan yang lebih telus dalam pemilihan bahan.

Mereka boleh membandingkan impak karbon campuran konkrit tempatan berbanding keluli import atau mencadangkan alternatif karbon rendah semasa proses perolehan. Inilah matlamat utamanya, ketepatan data karbon menjadikan dasar yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan dalam projek.

Apabila Malaysia mempergiat usaha kelestarian, peranan juruukur bahan menjadi semakin penting. Dengan latihan, sokongan dasar dan sumber yang sesuai, mereka boleh membantu peralihan ke arah tindakan iklim yang lebih aktif.

Namun, ramai pemain industri masih melihat karbon terbenam sebagai isu yang rumit dan mahal, terutamanya tanpa peraturan jelas atau permintaan pelanggan. Instrumen seperti penilaian kitar hayat jarang digunakan dan kesedaran dalam industri masih rendah.

Untuk mengoptimumkan peranan juruukur bahan, pelaburan diperlukan dalam latihan, teknologi digital yang mudah dan piawaian karbon yang seragam. Sinergi antara arkitek, jurutera, pemaju dan kontraktor juga penting. Dengan ekosistem yang sesuai, juruukur bahan boleh mendorong pembinaan yang lebih lestari dan cekap kos.

Peralihan sedang berlangsung secara progresif. Badan profesional seperti Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia sedang menyelaraskan strategi mereka sejajar dengan keutamaan perubahan iklim.

Seiring dengan pertumbuhan pesat dalam bidang pembinaan hijau, juruukur bahan kini mengisi ruang peranan baharu yang merentasi sempadan kawalan kos dan kepimpinan iklim.

Juruukur bahan masa hadapan bukan lagi sekadar pengukur nilai ekonomi, malah akan memainkan peranan penting dalam membentuk landskap masa depan rendah karbon Malaysia, satu projek demi satu projek.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.