FWD taja papan pintar digital RM400,000 bantu tingkat celik kewangan belia
FWD Insurance dan Pejabat Pendidikan Daerah Keramat bekerjasama untuk transformasi celik kewangan di 35 buah sekolah.

Kuala Lumpur, 27 Julai 2025 – Dengan matlamat untuk mengubah pendidikan kewangan anak-anak muda Malaysia, FWD Insurance Berhad (FWD Insurance), pendokong teguh bagi celik kewangan baru-baru ini mengumumkan penghantaran 40 papan pintar digital di bawah bidang kuasa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keramat, mengukuhkan komitmennya untuk melakukan transformasi pendidikan kewangan kepada anak muda di Malaysia.
Dengan sokongan tajaan sebanyak RM400,000, inisiatif ini bertujuan untuk menerapkan tentang kepentingan pengetahuan kewangan kepada para murid.
Pengagihan papan pintar ini, disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif FWD Insurance Berhad, Mak See Sen dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Mohd Helmy bin Abdul Najib yang bersepakat dengan teras 4 dan 6 Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan iaitu memperkasakan rakan strategik untuk melengkapkan sekolah dengan infrastruktur yang bersesuaian bagi membolehkan pelaksanaan pembelajaran secara digital.
Dasar itu juga selaras dengan inisiatif PPD Keramat di bawah Program Bawa Peranti Anda Sendiri ke Sekolah (BYODS) yang telah dimulakan sejak 2021.
Sehingga kini, papan pintar tersebut telah pun dipasang di sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dan murid menggunakannya secara aktif dalam pembelajaran mereka. Peranti itu bertindak sebagai alat utama dalam integrasi antara teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) di dalam kelas, membuktikan lagi dedikasi FWD Insurans untuk menjadikan ilmu kewangan boleh diakses oleh semua golongan.
“Di FWD, visi kami adalah untuk mengubah tanggapan orang tentang insurans dan untuk membentuk cara berfikir kanak-kanak dalam merancang masa depan kewangan mereka.
“Kami komited untuk mempersiapkan murid-murid sekolah rendah dengan kemahiran celik kewangan yang penting, di mana ilmu ini akan kekal bersama mereka, di sepanjang hidup mereka,” kata See Sen.
Tambah beliau lagi, “Dengan melabur dalam papan pintar digital ini, kami bukan sekadar menyediakan peralatan sahaja, kami mengutamakan kestabilan kewangan jangka panjang negara dengan meningkatkan kadar celik kewangan.
“Pelaburan ke atas infrastruktur pendidikan ini menyokong pembelajaran yang mampan, seterusnya memastikan murid-murid mendapat kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk membuat keputusan yang betul berkenaan kewangan dan mampu menguruskan risiko dengan cekap.
“Dengan menjadikan semua warga Malaysia menguasai kemahiran celik kewangan, secara langsung kami memperkasakan individu tersebut dengan ilmu dan alat yang dapat menjamin masa depan kewangan mereka. Inisiatif ini mengukuhkan komitmen ESG kami dan memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi Malaysia dengan membuka luas peluang untuk anak-anak muda, seterusnya dapat menjana kewangan negara yang kukuh dan berdaya saing.”
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada rancangan besar FWD dalam melaksanakan komitmennya untuk memberi kesedaran tentang kewangan di setiap peringkat usia bagi membina jaminan kewangan yang kukuh di Malaysia.
Pada tahun 2024, FWD melancarkan beberapa projek utama antaranya: ‘Know Your Money’ (Kenali Wang Anda) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN), program ‘JA SparktheDream’ dengan JA Malaysia, dan ‘Fun(d) for Uni Life’ anjuran Arus Academy.
Kesemua inisiatif ini, termasuklah projek tajaan papan pintar digital adalah sejajar dengan matlamat FWD dalam memupuk generasi muda dengan amalan kewangan yang bertanggungjawab sejak usia muda lagi. Ia juga menyokong pendigitalan sistem pendidikan dan memberi perbezaan yang signifikan sepanjang usaha mereka mempelajari tentang ilmu kewangan.