UM tingkat kesedaran kesihatan seksual dalam kalangan belia
Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia mengadakan Seminar Kesihatan Anak Muda IPTA-Universiti Malaya 2025 pada 25 Jun 2025.

DALAM landskap usaha global untuk memerangi HIV, Malaysia seperti banyak negara lain, menghadapi pelbagai cabaran dan peluang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam konteks ini, Klinik Universiti Malaya bersama rakan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia telah membawakan khas Seminar Kesihatan Anak Muda IPTA–Universiti Malaya 2025 pada 25 Jun 2025 bertempat di Auditorium Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya bermula pukul 8 pagi sehingga 2 petang.
Seminar ini bertujuan meningkatkan kesedaran akan kepentingan serta memberi panduan tentang aspek-aspek penjagaan kesihatan seksual dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar Universiti Malaya.
Pengarah Klinik Universiti Malaya, Zuraidah Mohamed menekankan bahawa kesedaran tentang penjagaan kesihatan seksual boleh membantu mengurangkan penyebaran penyakit seperti HIV/AIDS dan jangkitan penyakit kelamin yang lain.
Pengurangan penyakit-penyakit ini melalui strategi intervensi yang menyeluruh dapat menyumbang kepada usaha memerangi jangkitan HIV, Hepatitis, Malaria dan penyakit lain.
Tambah beliau, dengan adanya seminar kesedaran ini, lebih ramai individu akan mendapat maklumat tambahan tentang kesihatan seksual dan reproduktif seperti perancangan keluarga, pendidikan seks serta pencegahan penyakit HIV/AIDS dan penyakit kelamin.
Ini secara langsung dapat memastikan akses universal kepada pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif, terutama kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Oleh yang demikian, Universiti Malaya mengambil inisiatif melaksanakan Seminar Kesihatan Anak Muda IPT–Universiti Malaya 2025 yang diterajui Klinik Universiti Malaya bersama Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan AIDS Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi serta menjalin kolaborasi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, PT Foundation, Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia, Reszon Diagnostics, pelajar-pelajar PALAPES dan SUKSIS UM.
Seminar yang terbuka kepada semua warga UM ini mengetengahkan topik-topik penting tentang kesihatan seksual dan kesejahteraan anak muda secara santai, terbuka dan bebas stigma.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang seminar berlangsung, antaranya sesi ceramah dan perkongsian ilmu, pameran dan booth interaktif, kuiz dan cabutan bertuah, saringan percuma untuk HIV, STI dan Hepatitis C serta pengenalan kepada inisiatif KAMI (Kelab Kesihatan Anak Muda IPT).
Seramai lebih daripada 200 orang pelajar UM daripada pelbagai aliran pengajian telah menyertai seminar ini.
Timbalan Pengarah Eksekutif Majlis AIDS Malaysia, Chung Han Yang menyeru agar kita terus berganding bahu demi generasi muda yang lebih selamat, lebih sihat dan lebih kuat.
“KAMI ada dan KAMI sedia berjuang bersama,” katanya.
Pendaftar Universiti Malaya, Abdul Aziz Abdul Raman pula berkata: “Inisiatif program yang dilaksanakan oleh Klinik Universiti Malaya ini amat baik. Saya yakin bahawa seminar ini memberikan pendidikan dan kesedaran kepada seluruh warga kampus dan juga komuniti setempat. Malah, ia memberi impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan serta selari dengan hala tuju Universiti Malaya dalam Matlamat Pembangunan Mampan SDG 3,” katanya.
Secara keseluruhan, seminar kesedaran kesihatan ini adalah komponen penting dalam memastikan masyarakat yang lebih sihat dan seimbang yang seterusnya menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan global.