Denda FIFA kepada FAM musibah besar, calar imej bola sepak negara

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tataterbit Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 27 September 2025 – Selepas isu rasuah pada 1994, bola sepak Malaysia sekali lagi dilanda badai yang disifatkan sebagai musibah besar dan berpotensi menjejaskan ekosistem sukan nombor satu negara itu, kata penganalisis bola sepak tempatan Datuk Dr Pekan Ramli.

“Ini perkara yang paling merisaukan kita. Sebenarnya ramai pihak sudah curiga dengan proses pemain warisan ini sejak awal, tetapi tidak ada penjelasan telus. Sekarang natijahnya berlaku dan ia sangat memalukan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain naturalisasi kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tataterbit Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan FIFA semalam, FAM didapati menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, membolehkan mereka diturunkan pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Pekan berkata kemelut terbaharu itu sememangnya mencemarkan imej bola sepak Malaysia pada peringkat antarabangsa.

“Saya anggap ini satu musibah yang besar, sama seperti isu rasuah 1994 dahulu. Bezanya ketika itu ia hanya krisis dalaman, tetapi kali ini ia sampai ke FIFA. Imej kita pada peringkat antarabangsa tercalar teruk,” katanya.

FIFA memaklumkan tujuh pemain dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel.

Daripada tujuh pemain dikenakan tindakan oleh FIFA itu, tiga daripadanya bermain untuk gergasi bola sepak negara dan juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan itu.

FAM bagaimanapun menerusi kenyataan memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan FIFA berhubung hukuman dikenakan ke atas badan induk itu serta tujuh pemain warisan negara.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan pihaknya telah menerima keputusan rasmi FIFA mengenai kes berkenaan, sambil menegaskan semua dokumentasi dan prosedur berkaitan dikemukakan secara telus mengikut garis panduan ditetapkan.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menerusi hantaran di laman X hari ini bertitah FAM telah mematuhi semua proses berkaitan kesahihan status tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Baginda juga mempersoalkan tindakan FIFA walaupun organisasi itu telah memberi kelulusan kepada ketujuh-tujuh pemain warisan berkenaan, selain mengemukakan bukti kenyataan saksi daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Badrul Hisham Alias bertarikh 19 Sept lepas mengenai pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain terlibat.

Dalam pada itu, Pekan khuatir kesan berantai daripada hukuman dikenakan FIFA itu boleh menjalar lebih jauh sehingga menjejaskan masa depan bola sepak negara.

Beliau berkata ini termasuk kemungkinan kemenangan Malaysia ke atas Vietnam ditarik balik, kelab-kelab mengemukakan bantahan, malah risiko FAM digantung sekiranya badan induk bola sepak dunia itu mengambil tindakan tambahan selepas ini.

“Malah, ada kemungkinan FAM sendiri digantung seperti yang pernah berlaku kepada Indonesia sebelum ini. Itu bala besar kepada bola sepak negara, kerana ia boleh menjejaskan liga, pembangunan akar umbi dan masa depan pemain muda,” katanya.

Sementara itu, legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail berkata isu berkenaan adalah satu tamparan hebat yang boleh menghentikan ‘nadi’ bola sepak Malaysia.

Beliau berkata kontroversi itu jelas menimbulkan tanda tanya besar mengenai integriti, keikhlasan dan kejujuran organisasi FAM selaku badan memayungi sukan popular itu.

Jamal Nasir turut menzahirkan kebimbangan mengenai risiko FAM digantung sepenuhnya, yang mungkin mengakibatkan bukan sahaja liga terhenti malah penaja juga hilang keyakinan terhadap bola sepak negara.

“Kalau FAM digantung, habis liga tak boleh jalan. Pembangunan belia terhenti, program akar umbi beku, penaja pun tarik diri. Itu akan menghancurkan ekosistem bola sepak kita. Ini ibarat bom jangka, pecahannya boleh pergi ke mana-mana,” katanya.

Pada 1994, Malaysia telah dikejutkan dengan rasuah besar-besaran dalam bola sepak negara yang mendedahkan ramai pemain dan jurulatih dibayar untuk mengatur perlawanan. – BERNAMA