Perkukuh pendidikan dengan elemen akhlak mahmudah
Peranan mendidik akhlak bukan sahaja di sekolah, lebih utama adalah bermula di rumah atau sebelum seseorang itu lahir ke dunia.

UMUM mempersoalkan peranan sekolah dalam mendidik anak-anak ke arah melahirkan generasi berakhlak mulia.
Isu ini sering diperkatakan sejak dahulu, kini dan mungkin selamanya. Peranan mendidik akhlak adalah inti dalam setiap proses mendidik bukan sahaja di sekolah, lebih utama adalah bermula di rumah malahan sebelum seseorang lahir ke dunia.
Jika ditelusuri kepada konsep mendidik anak-anak, tugas ibu bapa adalah mempersiapkan diri dengan ilmu hal ehwal mendidik atau disebut Kemahiran Keibubapaan atau Parenting Skills.
Pakar tarbiyyah Islamiyyah terutamanya Abdullah Nasih Ulwan memulakan proses ini dari seawal mungkin ketika mula mencari jodoh, kemudian seawal bayi di dalam perut ibunya, 7 tahun pertama (0-7 tahun), 7 tahun kedua (7-14 tahun/baligh) dan 7 tahun ketiga ( 14 tahun sehingga berumur 21 tahun).
Semua proses ini mempunyai implikasi yang besar dalam kemenjadian anak-anak.
Wujudnya sekolah adalah pelengkap dalam proses mendidik akhlak. Sekolah tidak boleh dianggap sebagai pemula atau perasmi kepada proses mendidik akhlak.
Selain itu, warga sekolah iaitu para guru, para pengasuh, rakan sebaya dan setiap lapis komuniti masyarakat yang ada di sekeliling adalah saling memberi input kepada proses mendidik akhlak. Semua pihak ada peranan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam mendidik akhlak pelajar.
Salah satu elemen terkini yang tidak dapat lagi ditolak sumbangannya adalah elemen media. Betapa elemen media sosial telah berjaya mengambil peranan yang sangat besar kini dalam proses mendidik akhlak pelajar dan masyarakat seluruhnya.
Meskipun belum banyak kajian empirikal di Malaysia mahupun dunia yang dijalankan untuk membuktikan kesignifikanan elemen media sosial dalam mengambilalih soal kemenjadian akhlak, namun kepercayaan kepada pengaruh jumlah masa yang lama bagi seseorang bersama peranti media sosial boleh mengubah konsep kepercayaan seseorang terhadap sesuatu perkara.
Malah yang amat ditakuti adalah pengaruh akhlak mazmumah berunsur jenayah dan pencabulan kemungkinan lebih signifikan berbanding pengaruh akhlak mahmudah dan elemen kerohanian.
Justeru, pihak berwajib perlu berperanan menyekat elemen media sosial yang berunsur jenayah dan akhlak mazmumah yang mungkin membawa masyarakat jatuh ke lembah kebinasaan dan kehinaan yang impaknya kekecewaan sepanjang hayat kepada pelaku dan mangsa.
Selain menambah elemen kemahiran keibubapaan dalam kursus perkahwinan, cadangan memberi insentif bagi aktiviti bersifat ukhuwwah kekeluargaan dan dalam komuniti, menggalakkan para guru, pendidik atau pensyarah dengan aktiviti penyuburan jiwa, rohani dan mental pelajar.
Akhirnya dalam proses pendidikan perlu diperkukuhkan elemen akhlak mahmudah dan moral yang tinggi merentas kurikulum pada setiap aras pembelajaran di sekolah, insitusi pengajian lepas sekolah dan aktiviti komuniti.
Semoga generasi kini dan akan datang terus dipelihara oleh Allah dengan usaha murni kita dari pelbagai sudut. Semoga Malaysia terus Makmur dan Sejahtera sentiasa menggapai aspirasi positif negara mawaddah wa rahmah.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
Profesor Dr. Zaharah Hussin ialah Profesor di Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di zaharah@um.edu.my.
