UM anjur Bengkel C.A.R.E. didik kanak-kanak PPR

Program berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Childline Foundation Malaysia serta pemimpin komuniti setempat.

Feature Image (3)

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2025 – Isu penderaan seksual kanak-kanak kekal antara masalah sosial paling serius di Malaysia, khususnya dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah (B40) yang sering berdepan kekangan akses kepada maklumat dan sokongan.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu ini, sekumpulan pelajar daripada Fakulti Undang-Undang dan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan program ‘Bengkel C.A.R.E.: Hak Saya, Suara Saya‘ di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai.

Program berkenaan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Childline Foundation Malaysia serta pemimpin komuniti setempat.

Pengarah Projek, Delphine Arianna Thompson berkata, walaupun Malaysia mempunyai undang-undang kukuh seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOACA), kesedaran masyarakat terhadap perlindungan kanak-kanak masih rendah.

“Di sinilah pentingnya program seperti ini, bukan sahaja untuk memberi kefahaman kepada kanak-kanak tentang apa itu penderaan seksual tetapi juga mendidik mereka cara melindungi diri serta mengenal pasti saluran bantuan yang boleh dihubungi,” katanya.

Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 2,000 kes penderaan seksual kanak-kanak dilaporkan pada tahun 2023, namun dianggarkan lebih 90 peratus kes tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Pendekatan pendidikan interaktif

Bengkel berkenaan menampilkan pelbagai sesi interaktif termasuk ‘Jom Teka Emosi’, yang membantu kanak-kanak memahami bahawa emosi boleh menjadi petunjuk kepada situasi selamat atau sebaliknya.

Selain itu, sesi kuliah disampaikan dengan gaya mesra kanak-kanak bagi menerangkan konsep penderaan seksual, perbezaan antara sentuhan selamat dan tidak selamat, strategi No-Go-Tell serta hak mereka di bawah undang-undang.

Childline Foundation turut mengendalikan sesi bimbingan yang membantu peserta mengenali individu dewasa yang boleh dipercayai, di samping menulis nama mereka pada helaian khas sebagai rujukan sekiranya berlaku kecemasan.

Aktiviti permainan dan kuiz interaktif turut dijalankan bagi memastikan peserta memahami isi bengkel dengan cara yang menyeronokkan.

Pasukan pelajar UM turut menghasilkan infografik yang ditampal di sekitar kawasan PPR selepas bengkel, memaparkan maklumat ringkas kepada ibu bapa tentang langkah praktikal pencegahan, saluran aduan seperti Talian Kasih 15999, serta peringatan mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat.

Kolaborasi rentas fakulti

Keunikan projek ini terletak pada kolaborasi antara dua fakulti yang berbeza iaitu pelajar undang-undang memberi perspektif berkaitan hak kanak-kanak dan sistem perlindungan, manakala pelajar pendidikan menyesuaikan kandungan agar lebih mudah difahami oleh kanak-kanak.

“Kerjasama dengan pelajar pendidikan amat penting kerana topik ini berat. Mereka membantu kami menyampaikan isu rumit seperti penderaan seksual dalam bentuk cerita, permainan dan aktiviti yang dekat dengan dunia kanak-kanak,” ujar Delphine.

Projek ini turut diselia oleh Dr. Zalina Abdul Halim dari Fakulti Undang-Undang dan Prof. Dr. Vishalache A/P Balakrishnan dari Fakulti Pendidikan, yang membimbing pelajar dari segi akademik dan pelaksanaan di lapangan.

Kedua-dua penyelia memastikan kandungan projek selari dengan objektif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) serta mengekalkan keseimbangan antara pendekatan akademik, praktikal dan kepekaan terhadap komuniti.

Memberi impak kepada pelajar dan komuniti

Setiausaha Projek, Marsya Reana Sofea berkata, penyertaan dalam bengkel ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran kepimpinan dan komunikasi dalam kalangan pelajar, malah membentuk kesedaran sosial yang mendalam.

“Sebagai pelajar undang-undang, saya kini lebih memahami bahawa undang-undang bukan sekadar peraturan di atas kertas tetapi alat untuk keadilan sosial. Melindungi komuniti rentan, khususnya kanak-kanak, memerlukan bukan sahaja undang-undang yang baik tetapi juga kesedaran dan tindakan bersama,” katanya.

Melalui inisiatif seperti Bengkel C.A.R.E.: Hak Saya, Suara Saya, suara kanak-kanak dari komuniti B40 terus diangkat, kesedaran dipupuk dan mesej penting disampaikan bahawa penderaan seksual bukan isu untuk disenyapkan tetapi realiti yang mesti ditangani dengan keberanian dan penuh belas ihsan.