Usia faktor utama kualiti pertuturan bahasa kedua
Terdapat banyak kajian yang mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi penyebutan bunyi bahasa asing atau Arab.
 
                
KEUPAYAAN dan kekuatan kudrat sememangnya akan sentiasa seiring dari semasa ke semasa dengan peningkatan usia seseorang.
Namun begitu, dalam konteks kualiti pertuturan sesuatu bunyi bahasa kedua atau bahasa asing, adakah ia tertakluk kepada usia? Sejauh manakah peningkatan usia menjadi mediator kepada kualiti bunyi yang direalisasikan oleh seseorang penutur?
Persoalan ini perlu dirungkai melalui kajian ilmiah yang mendalam daripada aspek kognitif pertuturan dan artikulatori pertuturan.
Terdapat banyak kajian yang mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi penyebutan bunyi bahasa asing atau Arab.
Antara aspek yang dikaji merangkumi gangguan bahasa ibunda atau lidah, strategi pengajaran dan pembelajaran, pengajaran dan pembelajaran bacaan al-Quran, umur, kekurangan bimbingan dan kesedaran yang mencukupi daripada pihak fasilitator dan pelajar, loghat, motivasi dan matlamat peribadi serta dialek wilayah.
Dalam konteks penyebutan bunyi bahasa Arab, umur juga merupakan salah satu faktor penting yang mempengaruhi kesukaran penyebutan bunyi bagi sesuatu fonem.
Faktor umur adalah isu yang paling diperdebatkan dalam memperoleh bunyi penutur jati dalam bahasa kedua atau asing.
Walaubagaimanapun, tidak terdapat kajian sebelum ini di Malaysia mengenai bunyi penutur natif Arab. Oleh itu, pengkaji mengambil kira faktor umur sebagai pembolehubah yang boleh mempengaruhi kesukaran penyebutan bunyi bahasa Arab dalam kalangan orang Melayu.
Dalam kajian yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Ying Li dari China mengenai faktor yang berpotensi dalam pencapaian fonologi.
Beliau tidak menemukan hubungan yang signifikan antara loghat (accent) dan usia permulaan tetapi faktor-faktor lain yang signifikan, termasuk kemampuan untuk meniru lisan, tempoh menetap di negara bahasa sasaran, terutamanya jika tinggal dengan penutur natif, tahap kesedaran terhadap ketepatan bunyi penyebutan dan bahasa ibunda itu sendiri.
Kajian mengatakan penurunan kemampuan dalam peniruan fonetik dalam kalangan pelajar sekolah Inggeris yang belajar bahasa Perancis seawal usia 5 tahun dan berterusan hingga usia 15 tahun.
Kemerosotan kemampuan dalam meniru corak intonasi novel tidak muncul sehinggalah pada usia 8 tahun, malah menunjukkan sedikit peningkatan sekitar usia 13-15 tahun.
Oleh itu, para pelajar berupaya meniru intonasi dengan baik pada mana-mana usia sekiranya diberi pendedahan dan latihan yang mencukupi.
Kejadian fosilisasi dikaitkan dengan usia (faktor) di mana penutur mula memperoleh atau belajar bahasa sasaran. Umumnya dianggap bahawa seorang anak akan memperoleh bahasa kedua secara semula jadi jika terdapat pendedahan berterusan terhadap bahasa tersebut.
Sebaliknya, pelajar yang mula memperoleh bahasa sasaran setelah fasa usia baligh sering menunjukkan fosilisasi, terutama dalam sistem fonologi.
Berkaitan dengan kajian mengenai pemboleh ubah yang terlibat dalam perkembangan fonologi bahasa kedua adalah tanggapan mengenai tempoh kritikal dalam pemerolehan bahasa, bolehkah pelajar memperoleh sebutan bunyi yang hampir sama seperti penutur natif dalam bahasa asing setelah diberi peluang?
Profesor Dr. Flege iaitu pelopor bagi teori asimilasi persepsi telah menjalankan kajian berkenaan tempoh kritikal dalam penyebutan bunyi jelas menunjukkan bahawa kebarangkalian fonologi bahasa kedua yang hampir sama seperti penutur natif berkurang dengan cepat seiring dengan peningkatan usia.
Beberapa kajian beliau juga bahkan melaporkan bahawa kanak-kanak yang memperoleh bahasa kedua sebelum usia 6 tahun mempunyai bunyi penutur natif yang dapat dilihat dengan jelas.
Fonologi adalah unik berbanding dengan disiplin bahasa yang lain kerana kebergantungannya pada kedua-dua kemahiran motor dan kognitif untuk persepsi pertuturan (speech perception) dan penghasilan pertuturan (speech production).
Oleh itu, fonologi melibatkan banyak pusat pemprosesan, mana-mana aspek barangkali mengalami penurunan kapasiti atau fungsi sepanjang tempoh kehidupan individu.
Disebabkan kebergantungannya pada ketepatan artikulasi atau penyebutan, pemprosesan persepsi pendengaran dan analisis urutan tinggi, fonologi mungkin terdedah kepada kesan usia daripada aspek neurokognitif.
Sebaliknya, sebilangan sarjana menegaskan bahawa faktor usia secara neurobiologi adalah penjelasan yang tidak cukup memuaskan untuk bunyi bukan penutur natif dalam fonologi bahasa kedua kerana secara semula jadi terdapat perkaitan antara keadaan luaran dan orientasi sosio-psikologi pelajar.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Dr. Garcia-Lecumberri dan Gallardo pada tahun 2003 mendapati bahawa pelajar yang mempunyai dwibahasa Basque-Sepanyol yang berusia 11 tahun dinilai lebih tepat dan lebih difahami bagi tugasan berbahasa Inggeris, malah memperoleh prestasi terbaik dalam tugasan diskriminasi vokal dan konsonan berbanding kumpulan yang masing-masing berumur 8 tahun dan 4 tahun.
Dalam kajian yang lain yang dilakukan oleh Dr. Fullana pada 2006 pula mendedahkan bahawa setelah arahan rasmi mencecah beberapa jam, tidak banyak perbezaan antara kumpulan umur dalam tugas mendiskriminasi vokal dan konsonan.
Pelajar berusia 11 dan 14 tahun bermula dengan skor yang lebih tinggi, namun responden 8 tahun mengikuti mereka selepas mendapat banyak pengajaran dan penerangan. Bagi tugasan-tugasan peniruan pula, di mana para peserta menyebut perkataan-perkataan asing dengan kuat setelah mendengar model penutur natif, tidak ada kesan seperti itu secara membujur, pada pelbagai peringkat pembelajaran dan mempertimbangkan faktor ekstrinsik seperti arahan dengan teliti.
Terdapat juga kajian pada tahun 2005 yang dijalankan oleh Profesor Dr. Munro dan rakannya mengatakan bahawa penurunan mana-mana loghat (accent) yang berkaitan dengan usia yang berterusan untuk 42 penutur bahasa Mandarin yang mempelajari bahasa Inggeris, tanpa permulaan yang jelas.
Walaubagaimanapun, usia permulaan terbaharu bagi mana-mana peserta adalah 16 tahun, tidak memungkinkan untuk dibandingkan dengan pelajar yang lebih berusia.
Teori Critical Period Hypothesis yang dikemukakan oleh Lenneberg ditafsirkan menolak secara keras terhadap pencapaian tahap sebutan natif dalam pembelajaran bahasa dewasa.
Ramai sarjana menyokong pandangan ini khususnya bagi aspek fonologi. Hal ini adalah kerana tempoh masa kritikal kelihatan sangat singkat, diakhiri seawal usia 5 hingga 6 tahun bahkan barangkali lebih awal.
Sebaliknya, pelajar dewasa hanya setaraf atau lebih baik daripada pelajar yang lebih muda untuk jangka pendek dan bukan dari segi pencapaian akhir.
Dalam banyak kajian berkenaan kesan tempoh kritikal, erti ‘lewat’ boleh digambarkan dengan pelbagai usia bermula dari umur 9 tahun (di mana ‘awal’ dirujuk sebagai umur 8 tahun ke bawah) hingga umur 15 tahun atau bahkan hingga umur 20 tahun atau lebih.
Kesimpulannya, usia merupakan salah satu mediator yang memainkan peranan sangat besar dalam kualiti sebutan bunyi bahasa kedua atau bahasa asing seseorang penutur.
Usia juga berupaya memberi kesan kepada keupayaan fisiologi seperti pengawalan lidah dan aliran udara ketika proses mengeluarkan bunyi sesuatu bahasa.
Justeru, kesalahan sebutan bunyi bahasa Arab dalam kalangan warga emas sudah dianggap norma baharu dalam lanskap penutur bahasa asing di Malaysia khususnya.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.

 
                         
                       
                      