Mulakan kehidupan digital sihat Ramadan ini
Penyelidikan pengguna terbaru menunjukkan rakyat Malaysia masih mempunyai tanggapan yang sama terhadap bulan Ramadan, iaitu sebagai bulan ibadah dan mempunyai banyak kebaikan.

RAMADAN sentiasa menjadi bulan muhasabah diri, bulan refleksi bagi hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Begitulah unggulnya bulan ini, dulu, kini dan selamanya tetapi, apa yang berubah pada zaman moden ini?
Sekarang, kita hidup bersama peranti, dalam liputan Internet, malah dalam pengaruh media sosial. Oleh itu, kehidupan masyarakat kala ini banyak dipengaruhi oleh layar peranti yang ada dalam poket kita, yang tidak hilang dari tangan kita, malah ada yang kerap membawanya ke meja makan.
Tidak dinafikan, kesalinghubungan di negara kita tinggi, sama seperti masyarakat di negara-negara maju. Pada hujung tahun 2025, seramai 35.4 juta rakyat Malaysia berada dalam talian dan jumlah ini bersamaan dengan 98 peratus daripada jumlah populasi di negara kita.
Bila dikaitkan dengan bulan Ramadan, fenomena kesalinghubungan ini tidak mencetuskan kebimbangan moral secara keseluruhan tetapi pengaruhnya secara tidak langsung mencorakkan tumpuan dan amalan dalam bulan puasa yang mulia.
Penyelidikan pengguna terbaru menunjukkan rakyat Malaysia masih mempunyai tanggapan yang sama terhadap bulan Ramadan, iaitu sebagai bulan ibadah dan mempunyai banyak kebaikan.
Dalam kajian YouGov, salah satu kumpulan teknologi penyelidikan data dan analitik dalam talian antarabangsa, yang diterbitkan pada 3 Februari 2026, 56 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa Ramadan ialah bulan refleksi spiritual dan 58 peratus merancang untuk menghabiskan waktu dalam bulan Ramadan pada tahun ini dengan ibadah.
Walau bagaimanapun, kajian yang sama menerangkan habit media yang ketara iaitu waktu kemuncak menonton TV dalam bulan Ramadan adalah antara pukul 7 hingga 10 malam dan menonton atau melayari Internet pada lewat malam juga menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Persoalannya sekarang, sekiranya waktu malam ialah waktu perdana bagi rakyat Malaysia, apakah aktiviti yang akan dilakukan, solat tarawih, bersembang bersama keluarga atau menatal layar peranti tanpa kesudahan?
Kehidupan digital dalam bulan Ramadan turut memberi kesan kepada aktiviti komersial. Satu laporan GrabAds yang diterbitkan pada tahun 2024 mendapati 84 peratus rakyat Malaysia merancang untuk meningkatkan perbelanjaan pada bulan Ramadan, dengan 63 peratus daripada mereka akan menggunakan aplikasi e-dagang dan 70 peratus pula suka berbelanja melalui kedua-dua kaedah, secara dalam talian dan fizikal di kedai.
Menurut laporan yang sama, ini merupakan peluang bagi jenama-jenama di pasaran berhubung dengan para pembeli yang tepat. Justeru, kebimbangan yang ketara muncul apabila pengertian Ramadan dan iklan baju raya, peringatan ibadah dan gangguan berlaku serentak melalui notifikasi pada peranti para pemiliknya.
Tinjauan lain di negara kita yang dijalankan oleh TGM Research pada tahun 2023 menjelaskan wujudnya pengaruh peranti yang kuat dalam aktiviti seharian bulan puasa, di mana 92 peratus daripada rakyat Malaysia bersetuju bahawa mereka menghabiskan lebih masa menggunakan peranti mudah alih dalam bulan Ramadan dan penatalan media sosial menjadi pilihan utama.
Ada yang menggunakan peranti dengan tujuan selari dengan maksud Ramadan itu sendiri, antaranya ialah membaca al-Quran melalui aplikasi yang dipasang, peringatan bagi waktu solat, imsak dan iftar dan mendengar tazkirah dalam talian tetapi, ada juga yang menggunakan peranti bagi tujuan lain seperti menatal layar peranti secara berterusan supaya rasa lapar berpuasa tidak terasa dan berada dalam talian sehingga ke pagi hari untuk menunggu waktu sahur.
Dari sudut kesejahteraan diri, elemen ini juga perlu dititikberatkan, terutama bagi golongan muda di Malaysia. Kajian pada tahun 2024 yang melibatkan anak-anak muda di Lembah Klang mendapati waktu layar yang berlebihan memberi kesan dalam pelbagai bentuk kepada kehidupan seharian, seperti gangguan kepada kualiti tidur, kebimbangan dan kemurungan.
Dapatan ini turut menyokong pandangan di peringkat global berkenaan penggunaan teknologi digital yang berlebihan. Dalam bulan Ramadan, corak tidur yang berubah daripada kebiasaan dikira normal dan masih boleh disesuaikan. Namun demikian, jika peranti digunakan terlalu lama pada setiap malam, ia boleh menjejaskan aktiviti spiritual bulan Ramadan.
Badan cepat terasa letih kerana tidak cukup rehat, yang menyebabkan aktiviti-aktiviti ibadah pada siang hari tidak dapat disempurnakan dengan baik.
Oleh itu, pada bulan Ramadan yang mulia ini, bagaimana kehidupan digital yang lebih sihat untuk kita amalkan atau lakukan? Kita boleh memulakan setiap amalan itu berasaskan tujuan yang baik dan jelas. Misalnya, 10 minit sebelum iftar, telefon pintar dan peranti lain boleh diletakkan di satu tempat supaya masa iftar terutamanya bagi yang berkeluarga boleh dihabiskan bersama tanpa gangguan.
Di masjid atau di surau, dua perkara berikut boleh dilakukan iaitu para jemaah diberikan peringatan untuk menyenyapkan notifikasi sebelum memulakan solat dan kod QR berkaitan pautan sumbangan secara dalam talian boleh dikongsikan dalam perisian telefon pintar manakala di sekolah, para guru boleh menggalakkan pelajar-pelajar melakukan kawalan kendiri untuk menilai tumpuan dan aktiviti digital semasa berpuasa.
Contohnya, melengkapkan jurnal Ramadan digital yang berfokus kepada solat sunat, infak dan sebagainya.
Paling penting, sebagai umat Islam, kita jadikan tumpuan dalam dunia digital sebagai amanah seperti kewajipan kita yang lain.
Bulan Ramadan itu sendiri mengajar kita untuk mengawal diri, justeru, dalam dunia moden kini, kita belajar mengawal kehidupan digital kita dengan berhemah, dengan ilmu yang berada di hujung jari, yang digunakan secara betul. Teknologi yang ada, kita gunakan untuk menyokong amal ibadah, kita aplikasikannya sebagai alat pemudah cara dalam kehidupan kita.
Sesungguhnya, bulan Ramadan itu bukan sekadar mencerminkan apa yang kita peroleh daripadanya. Malahan, bulan mulia ini juga memperingatkan kita tentang apa yang sewajarnya mempengaruhi kehidupan kita, yang kita boleh teruskan dalam bulan-bulan lain juga.

