Ini bukan masa sesuai agungkan filem angkat budaya buli – NGO Empati

KUALA LUMPUR, 28 November 2024 – Ketakutan yang menjerat harapan pelajar dan ibu bapa, memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan mental seseorang pada masa hadapan dan seterusnya meninggalkan kesan parut mendalam dalam seluruh kehidupan seseorang, buli bukanlah suatu isu yang boleh dibuat main, apatah lagi dijadikan hiburan yang diagung-agungkan.

Semestinya kita menjangkakan industri perfileman boleh mengetengahkan isu buli, untuk memberi pengajaran kepada masyarakat khususnya belia, namun tidak bagi filem Kahar : Kapla High Council.

Presiden NGO Empati, sebuah NGO kesihatan mental belia yang aktif mengadvokasi isu kesihatan mental belia serta kesan jangka panjang kes buli kepada mangsa buli, Syahida Zulkarnain, yang juga merupakan seorang Ahli Parlimen Belia Malaysia berpendapat bahawa ini bukanlah masa yang sesuai untuk filem seperti ini diangkat susulan beberapa tragedi kes buli yang berlegar di media massa menjadi kebimbangan masyarakat.

Beliau berkata, filem Kahar : Kapla High Council mempunyai babak di mana ramai pelajar meraikan sesi ‘perlawanan’ dan ‘ragging’ di mana babak pergaduhan menjadi babak klimaks yang dinanti-nantikan semua pelajar.

“Babak seperti ini jelas mengagung-agungkan budaya buli.

“Kita tidak mahu babak seperti ini mula muncul sebagai realiti di alam persekolahan mahu pun universiti.

“Betapa besar kesannya kepada pembentukan budaya buli yang seharusnya kita elakkan,” katanya.

Syahida berkata, jika benar filem ini memberi pengajaran untuk isu buli, mengapa perlu dihadkan kepada penonton berumur 18 ke atas sahaja?

Sekiranya mesej yang benar-benar ingin disampaikan kepada umum tentang kesan buli, mengapakah mesej di dalam filem ini tidak boleh disampaikan kepada remaja-remaja yang sering menjadi sasaran pembuli?

NGO Empati menyambut baik usaha beberapa pihak dalam industri hiburan untuk mengetengahkan isu-isu kesihatan mental termasuklah isu buli, di mana usaha ini dapat mengadvokasi kesedaran dengan lebih empati dalam kalangan masyarakat.

Namun budaya mengagung-agungkan pembuli, bukanlah sesuatu yang wajar pada waktu ini, memandangkan masih ada ahli keluarga yang terkesan dengan isu buli, yang pastinya membenci budaya buli yang menghancurkan harapan satu keluarga.

NGO Empati juga menggesa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk bersikap lebih tegas dalam menangani pembuli.

Institusi yang seharusnya melindungi pelajar-pelajarnya, kini sudah menjadi igauan ngeri ibu bapa yang berniat menghantar anak-anak ke sekolah berasrama atau pun kolej kediaman.

Kerajaan juga digesa mengkaji semula keberkesanan program sifar buli yang seharusnya selari dan kontemporari untuk belia dan pelajar sekolah, dengan menekankan nilai empati bagi mengelakkan pelajar daripada menjadi pembuli.

Syahida juga berharap, pihak kru perfileman Kahar : Kapla High Council dapat meneliti semula keputusan menayangkan babak filem ini kepada orang awam, dengan mengambil kira kesan jangka panjang kepada budaya buli di Malaysia.

Mungkin ada yang menganggap sebuah filem takkan mengubah sistem, tetapi bagaimana pula dengan persepsi masyarakat, naratif yang dimainkan dalam mengangkat budaya seperti ini dan apa yang paling parah, jika dapat menimbulkan rasa ‘ingin membuli’ dalam kalangan yang berisiko menjadi pembuli. Semoga ia bukan menjadi realiti.