SULAM FPP @ Tanjong Karang perkukuh hubungan universiti dan komuniti
UiTM lancar Program SULAM FPP @ Tanjong Karang sempena Hari Keusahawanan Sekolah dan Sukan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Batu 9, Jalan Bomba, Tanjong Karang baru-baru ini.
KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2025 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) melancarkan Program SULAM FPP @ Tanjong Karang sempena Hari Keusahawanan Sekolah dan Sukan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Batu 9, Jalan Bomba, Tanjong Karang baru-baru ini.
Majlis pelancaran itu menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti, sekolah dan komuniti setempat, sejajar dengan hasrat menjadikan Tanjong Karang sebagai contoh model universiti untuk masyarakat.
Program itu dirasmikan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Mohd Tirmidzy Che Mat.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan), Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Dr. Dol Basar Kasan; Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM, Prof. Ts. Dr. Shafinar Ismail, D.S.M.; Guru Besar SK Batu 9 Jalan Bomba, Mohd Zakir Masdar serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kajang, Mas’ud Mansor.
SULAM: Menjadikan Tanjong Karang “Living Lab” Universiti-Komuniti
Program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menghubungkan pembelajaran akademik dengan khidmat masyarakat.
Melalui pendekatan ini, pelajar universiti mengaplikasikan ilmu dan kemahiran mereka dalam konteks sebenar komuniti bagi memberi impak sosial dan ekonomi yang positif.
Pelaksanaan SULAM di bawah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan menjadikan Tanjong Karang sebagai ‘Living Lab’ sebagai makmal hidup yang menggabungkan pelajar, pensyarah dan komuniti dalam merancang serta melaksanakan projek berteraskan keusahawanan, kemasyarakatan dan pembangunan mampan.

Dr. Shafinar berkata, pelaksanaan SULAM di Tanjong Karang adalah usaha memperkukuh kolaborasi jangka panjang antara universiti dan masyarakat setempat.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam bilik kuliah kepada situasi sebenar masyarakat, sekali gus membentuk graduan yang holistik, berdaya saing dan berjiwa masyarakat,” katanya.
Sokongan Padu Daerah dan Komuniti
Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Tirmidzy menzahirkan penghargaan kepada UiTM dan semua pihak yang terlibat atas usaha memperkukuh jaringan universiti–komuniti di daerah Kuala Selangor.
“Usaha seperti ini bukan sahaja memperkasa komuniti melalui ilmu dan kemahiran tetapi juga membina generasi pelajar yang memahami realiti masyarakat. Ia seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, ilmu dan perpaduan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar inisiatif seperti ini dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan lain di daerah Kuala Selangor, sekali gus memperkukuh potensi pelajar universiti sebagai ejen perubahan masyarakat dan pemangkin kemajuan tempatan.
Simbol Sinergi Universiti–Sekolah–Komuniti
Majlis ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk pameran keusahawanan pelajar, permainan rakyat dan sukan komuniti. Program yang dihadiri lebih 170 peserta ini menghimpunkan pegawai kerajaan, pelajar, guru, pensyarah dan komuniti setempat dalam suasana penuh semangat dan kekitaan.
Majlis Peluncuran SULAM FPP @ Tanjong Karang menjadi simbol permulaan kepada kolaborasi berterusan antara universiti dan masyarakat tempatan, selaras dengan aspirasi UiTM untuk terus menjadi institusi pendidikan unggul yang memacu pembangunan sosial, ekonomi dan komuniti.
