Benarkah mahasiswa semakin pantas dengan adanya AI?
Dalam dunia pendidikan tinggi, teknologi ini mula menjadi satu cabaran besar yang menguji nilai kejujuran dan integriti akademik.
Oleh ARIYANTI MUSTAPHA DAN NURUL NABIHAH MOHD SHA’AUZI
PERKEMBANGAN teknologi kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi dilihat sebagai teknologi masa hadapan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian pelajar universiti. Dengan hanya beberapa arahan ringkas, AI generatif seperti ChatGPT, Gemini dan Copilot mampu menghasilkan esei, laporan mahupun jawapan akademik dalam masa beberapa saat sahaja.
Bagi sebahagian pelajar, teknologi ini dilihat sebagai penyelamat masa. Namun, dalam dunia pendidikan tinggi ia mula menjadi satu cabaran besar yang menguji nilai kejujuran dan integriti akademik.
AI generatif merujuk kepada sistem yang boleh menjana kandungan seakan-akan hasil daripada pemikiran manusia. Dalam konteks pembelajaran, AI boleh membantu pelajar memahami sesuatu topik dengan mudah, menyusun idea atau membaiki bahasa penulisan supaya lebih sedap dibaca. Namun, masalah mula timbul apabila teknologi ini digunakan secara melampau sehingga pelajar terlalu bergantung kepada teknologi AI untuk menyiapkan segala tugasan.
Ada juga pelajar yang menyerahkan tugasan yang dijana sepenuhnya oleh AI sebagai hasil kerja sendiri. Malah, tidak mustahil ada pelajar yang menekan butang ‘jana jawapan’ pada saat akhir sebelum tugasan dihantar tanpa benar-benar memahami kandungan yang dihasilkan. Banyak institusi pendidikan mengklasifikasikan perbuatan ini sebagai satu bentuk penipuan akademik atau plagiat versi baharu.
Isu ini bukan sekadar persepsi, malah disokong oleh data kajian. Laporan Student Generative AI Survey 2025 oleh Higher Education Policy Institute (HEPI) di United Kingdom menunjukkan peningkatan ketara penggunaan AI berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sebanyak 92 peratus pelajar universiti mengaku menggunakan AI generatif dalam tugasan akademik mereka berbanding tahun lepas hanya sebanyak 66 peratus. Sebahagian besar menggunakannya untuk menulis esei dan menjawab soalan penilaian, bukan sekadar alat sokongan pembelajaran.
Di Malaysia, kebimbangan yang sama turut dibangkitkan. Laporan oleh syarikat Turnitin yang merupakan sistem pengesanan akademik telah mendedahkan peratusan tugasan pelajar yang mengandungi kandungan yang dijana oleh AI adalah tinggi.
Keadaan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pensyarah kerana hasil tugasan yang baik tidak lagi semestinya mencerminkan keupayaan sebenar pelajar. AI generatif yang sepatutnya menjadi ‘tutor maya’ telah disalahgunakan dalam pembelajaran dan jika dibiarkan tanpa usaha pencegahan dan garis panduan khusus, ia akan melemahkan perkembangan intelektual pelajar.
Namun begitu, penyelesaian kepada isu ini bukanlah dengan mengharamkan penggunaan AI sepenuhnya. Badan kawal selia pendidikan tinggi seperti Tertiary Education Quality and Standards Agency (TEQSA) menegaskan bahawa AI perlu diuruskan dengan baik melalui garis panduan yang jelas dan beretika.
Hal ini kerana teknologi ini mempunyai manfaat yang besar sekiranya digunakan secara bertanggungjawab khususnya sebagai alat bantu pembelajaran. Kementerian Pendidikan Tinggi turut menekankan keperluan penggunaan AI secara telus termasuklah menggalakkan pelajar menyatakan penggunaan AI dalam tugasan dan memastikan hasil kerja yang dihasilkan tetap mencerminkan kefahaman sendiri, bukannya hanya dijana sepenuhnya oleh AI. Pendekatan ini menunjukkan bahawa AI seharusnya membantu proses pembelajaran, bukan menjadi jalan pentas yang menghakis nilai kejujuran dan usaha yang murni dalam dunia akademik.,
Dari sudut etika Islam, penggunaan AI dalam pendidikan perlu dinilai berdasarkan keseimbangan antara maslahah (manfaat) dan mafsadah (kemudaratan). AI membawa manfaat apabila digunakan untuk membantu pemahaman dan meningkatkan kualiti pembelajaran, namun bertukar menjadi kemudaratan apabila ia dijadikan jalan pintas yang menafikan usaha kendiri pelajar dalam proses pembelajaran. Tambahan pula, Islam menekankan nilai amanah dan kejujuran dalam menuntut ilmu kerana ilmu bukan sekadar hasil akhir tetapi suatu proses usaha dan kefahaman.,
Kesimpulannya, AI generatif adalah realiti yang tidak dapat dielakkan dalam dunia pendidikan moden. Cabaran sebenar bukan terletak pada teknologi itu sendiri tetapi pada bagaimana cara ia digunakan.
Jika disalahgunakan, AI boleh memberi kesan yang negatif kepada pelajar dalam jangka masa panjang daripada sudut moral mahupun pola berfikir. Namun, jika dibimbing dengan etika dan garis panduan yang jelas, AI berpotensi menjadi alat yang mampu memperkasakan proses pembelajaran dan melahirkan graduan yang lebih berintegriti, sekali gus membina generasi yang berilmu, berdaya fikir kritis dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran masa hadapan.,
* Dr. Ariyanti Mustapha ialah Pensyarah Kanan manakala Nurul Nabihah Mohd Sha’auzi ialah Pelajar Pasca Siswazah di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

