Rejab, bulan mengaudit diri

Rejab bukan sekadar bulan persediaan menuju Ramadan, bahkan wajar difahami sebagai bulan muhasabah sosial khususnya apabila masyarakat hari ini.

Feature Image (1)

KEDATANGAN 1 Rejab 1447 Hijrah pada tahun 2025/2026 menjadi isyarat awal bahawa bulan Ramadan kian menghampiri. Namun, realitinya wujud perbezaan yang ketara antara mereka yang sekadar menyedari kehadiran bulan Rejab dan mereka yang benar-benar memanfaatkan peluang ini untuk melakukan audit diri serta memperbaiki kelemahan yang ada.

Hakikatnya, Rejab bukan sekadar bulan persediaan menuju Ramadan bahkan wajar difahami sebagai bulan muhasabah sosial khususnya apabila masyarakat hari ini berdepan dengan pelbagai krisis nilai yang semakin membimbangkan. Isu rumah tangga yang berpanjangan, keganasan malah kes-kes pembunuhan tragis yang menggemparkan negara menuntut renungan yang lebih mendalam, bukan sekadar simpati sesaat.

Setiap permasalahan perlu diteliti daripada akar umbinya. Sebahagian besar krisis sosial bermula daripada institusi asas iaitu keluarga yang menjadi titik permulaan pembentukan nilai dan akhlak dalam masyarakat. Keluarga yang dibina atas asas nilai akhlak dan tanggungjawab akan melahirkan individu yang seimbang seterusnya membentuk masyarakat yang harmoni.

Masyarakat yang baik akhirnya menyumbang kepada pembinaan sebuah negara yang aman, sejahtera dan diberkati Allah SWT. Sebaliknya, keruntuhan nilai dalam keluarga sering menjadi pintu masuk kepada pelbagai bentuk kemungkaran dan kerosakan sosial.

Oleh itu, usaha memperbaiki keadaan ini tidak wajar diserahkan kepada pihak tertentu semata-mata sebaliknya menuntut kesedaran dan peranan setiap individu. Proses mengaudit diri merupakan langkah awal yang signifikan dalam mencegah kerosakan yang lebih besar, selaras dengan peringatan Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d ayat 11 bahawa perubahan hanya akan berlaku apabila manusia sendiri berusaha mengubah keadaan diri mereka:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra‘d 13:11)

Dalam konteks ini, susunan bulan-bulan mulia membawa mesej yang amat signifikan. Rejab sebagai bulan audit diri, Syaaban sebagai bulan latihan dan Ramadan sebagai medan perjuangan sebenar. Urutan ini menunjukkan bahawa perubahan yang hakiki tidak berlaku secara mendadak sebaliknya memerlukan persediaan yang berperingkat dan berterusan. Allah SWT seolah-olah memberi isyarat agar persiapan menuju Ramadan dimulakan lebih awal melalui tiga bulan ini.

Perubahan bermula dengan diri sendiri. Luangkan masa untuk bermuhasabah, merenung dosa-dosa yang telah Allah SWT tutupi aibnya serta memperbaharui tekad untuk menjadi insan yang lebih baik. Antara amalan yang lazim dilakukan apabila tibanya bulan Rejab ialah membaca doa berikut pada awal dan sepanjang bulan ini:

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Jadikan doa ini sebagai langkah pertama untuk menyambut bulan Rejab sebagai bulan audit diri sebelum tibanya Ramadan, bulan perjuangan yang sebenar. Dua bulan terawal ini merupakan peluang berharga yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya untuk membuat persediaan rohani dan akhlak.

Rejab berfungsi sebagai bulan kesedaran dan audit diri manakala Syaaban pula sebagai bulan latihan dan pengukuhan amalan sebelum tibanya Ramadan sebagai medan perjuangan yang utama. Justeru, tempoh ini wajar dimanfaatkan dengan memperbanyakkan doa dan munajat agar diberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan di samping melazimi amalan seperti puasa sunat, mengganti puasa yang tertinggal, memperbanyakkan bacaan al-Qur’an, menjauhi perkara yang melalaikan serta memberi tumpuan kepada penyucian hati. Kesemua amalan ini merupakan latihan awal untuk menjinakkan jiwa agar lebih bersedia menyambut Ramadan.

Apabila tiba bulan Ramadan, kelebihan dan keistimewaan sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Ramadan hadir sebagai bulan penuh keberkatan dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda, adanya solat tarawih, adanya Lailatul Qadar yang ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.

Pada bulan inilah Allah SWT membuka pintu keampunan seluas-luasnya, membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka. Namun demikian, segala keistimewaan ini menuntut kesediaan rohani, keikhlasan niat dan pembinaan akhlak, bukan sekadar peningkatan amalan ritual secara luaran semata-mata.

Oleh itu, sebagai orang beriman, bulan Rejab wajar disambut dengan rasa gembira dan penuh pengharapan sebagai permulaan untuk membina kesedaran serta sikap berjaga-jaga terhadap keadaan diri. Rejab bukan sekadar bulan yang berlalu seperti bulan-bulan lain tetapi merupakan bulan yang membangkitkan kesedaran hati untuk berubah dan kembali kepada Allah SWT. Justeru, marilah kita menyambut kedatangan bulan Rejab ini dengan hati yang seronok dan disertai tekad untuk melakukan pembaikan diri.

Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan petunjuk dan kekuatan kepada kita untuk benar-benar mengaudit diri pada bulan Rejab ini sebelum tibanya Ramadan. Jadikan Rejab sebagai titik mula perubahan yang bermakna, bukan sekadar bulan yang berlalu tanpa meninggalkan kesan dalam kehidupan.