UM cetus minat robotik murid luar bandar menerusi program Roboskool

Murid dibimbing memahami asas pengaturcaraan mikrokomputer menggunakan platform mesra pengguna, selain berpeluang melihat hasil kod yang ditulis melalui penggunaan penderia, lampu LED dan komponen robotik lain.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2025 – Seramai 50 murid tahun empat hingga tahun enam daripada 10 sekolah luar bandar di seluruh Melaka menyertai program Roboskool: Innovation Through STEM yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Nyalas baru-baru ini.

Program anjuran Universiti Malaya (UM) itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Roboshop Sdn Bhd serta dibiayai sepenuhnya melalui dana Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares).

Inisiatif tersebut bertujuan memperkenalkan asas pengaturcaraan dan robotik kepada murid luar bandar melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, mudah difahami dan berasaskan keseronokan, selari dengan usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pengetua Kolej Kediaman Ibnu Sina (KK6) UM, Prof Ir Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, program itu mempunyai dua objektif utama iaitu mendedahkan murid luar bandar kepada asas pengaturcaraan robotik serta membuka ruang kepada mahasiswa UM untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan bersama komuniti.

Prof Adib (duduk tiga dari kanan) bersama murid-murid dan tetamu pada penghujung program.

“Melalui program ini, murid didedahkan kepada teknik pengaturcaraan yang ringkas agar mereka tidak ketinggalan dalam meneroka dan menyerlahkan idea inovatif, di samping memberi pengalaman baharu kepada mahasiswa UM untuk melaksanakan program pembangunan komuniti secara alternatif,” katanya.

Sepanjang program, murid dibimbing memahami asas pengaturcaraan mikrokomputer menggunakan platform mesra pengguna, selain berpeluang melihat hasil kod yang ditulis melalui penggunaan penderia, lampu LED dan komponen robotik lain.

Penceramah utama program, Wan Mohamed Fawwaz Wan Farid, mahasiswa tahun akhir Akademi Pengajian Islam UM berkata, sambutan murid amat menggalakkan meskipun kebanyakannya pertama kali terdedah kepada teknologi mikrokomputer.

“Saya menjangkakan murid mungkin berasa kekok, namun sebaliknya mereka menunjukkan kemajuan yang sangat pantas. Keterujaan jelas kelihatan apabila mereka berani mencuba, memeriksa output sendiri dan berkongsi hasil dengan rakan,” katanya.

Setiap murid dibekalkan satu set kit pengaturcaraan yang merangkumi papan mikrokomputer dan aksesori berkaitan untuk dibawa pulang selepas program, manakala setiap kumpulan turut disediakan komputer riba bagi tujuan pengaturcaraan menggunakan aplikasi dibangunkan oleh Roboshop.

Program itu turut dibantu fasilitator dalam kalangan mahasiswa UM dari Kolej Kediaman Ibnu Sina yang bukan sahaja memberi bimbingan teknikal, malah menyuntik keyakinan kepada murid agar tidak takut melakukan kesilapan semasa proses pembelajaran.

Beberapa guru pengiring menyatakan harapan agar pendekatan pembelajaran seperti ini dapat diteruskan di sekolah masing-masing bagi memastikan murid luar bandar terus terdedah kepada teknologi moden.

“Saya mahu murid luar bandar percaya bahawa mereka mampu bersaing dengan sesiapa sahaja jika mempunyai minat dan idea. Teknologi seharusnya menjadi alat penyatuan, dan pendidikan tidak terhad kepada bilik darjah semata-mata,” kata Prof Nahrizul Adib.