UniMAP, UNHAR kukuhkan semangat serantau ASEAN
Mengangkat tema ‘Kelestarian TVET Membantu Kesejahteraan Masyarakat’ melibatkan seramai 25 mahasiswa serta 15 pensyarah dari kedua-dua institusi pendidikan tinggi.

SEMANGAT kerjasama serantau ASEAN terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Program Mobiliti Antarabangsa melibatkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universitas Harapan Medan (UNHAR), yang berlangsung di Kampung Kolam Dusun Jandi Mulia, Langkat, Indonesia pada 16 dan 17 Mei lalu.
Program dua hari itu mengangkat tema ‘Kelestarian TVET Membantu Kesejahteraan Masyarakat’ dan menyaksikan penglibatan seramai 25 mahasiswa serta 15 pensyarah dari kedua-dua institusi pendidikan tinggi.
Antara inisiatif utama yang dijalankan termasuk pemasangan 10 unit lampu solar di beberapa lokasi strategik di kampung berkenaan, hasil kerjasama mahasiswa UniMAP dan UNHAR.
Usaha ini bertujuan memperkasakan infrastruktur desa melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, di samping meningkatkan keselamatan penduduk dan memperkenalkan teknologi yang mesra alam serta penjimatan tenaga.
Program turut diserikan dengan penganjuran bengkel robotik kendalian mahasiswa UniMAP bersama rakan kolaborasi UNHAR, dengan sokongan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektronik (FKTEN), Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (Advanced Computing), serta IEEE Malaysia AP/MT/EMC Joint Chapter.
Dekan FKTEN UniMAP, Prof Madya Ir Ts Dr Razaidi Husin berkata, bengkel tersebut mampu menarik minat pelajar sekolah serta belia tempatan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), melalui pendedahan awal kepada konsep asas robotik dan pengaturcaraan.
Ketua pasukan robotik, Ts Dr Iszaidy Ismail pula menyifatkan inisiatif ini sebagai lambang nilai murni ASEAN yang menekankan pembangunan bersama melalui ilmu dan inovasi.
“Pendidikan teknologi merentasi sempadan ini adalah cerminan nilai ASEAN yang sebenar, di mana negara-negara anggota berganding bahu membangunkan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Kolam Dusun Jandi Mulia, Ustaz Redha merakamkan penghargaan terhadap penglibatan pensyarah dan mahasiswa Malaysia yang disifatkan sebagai simbol persahabatan dan solidariti antara Malaysia dan Indonesia.
“Mereka bukan sahaja membawa ilmu, tetapi juga semangat kekitaan yang menjadi asas kepada perpaduan ASEAN,” ujarnya.
Program ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi rentas negara ASEAN, khususnya dalam bidang pendidikan, teknologi dan pembangunan komuniti.