Graduan baharu, gaji rendah, bagaimana nak hidup bebas hutang?
Graduan tidak sedar bahawa alam pekerjaan menyediakan satu lagi tugasan yang lebih mencabar iaitu pengurusan kewangan sendiri.

MELANGKAH keluar dari institut pengajian tinggi (IPT) dan masuk ke alam pekerjaan adalah fasa penting di dalam kehidupan setiap anak muda. Mereka rasa bebas daripada rutin kuliah, tugasan, ujian dan peperiksaan.
Namun, mereka tidak sedar bahawa alam pekerjaan menyediakan satu lagi tugasan yang lebih mencabar, iaitu pengurusan kewangan sendiri.
Masalah baharu akan timbul bagi golongan graduan baru bekerja, bila mana mereka terkejut melihat slip gaji pertama. Bukan sebab dapat gaji besar tetapi kejutan melihat baki hanya tinggal sedikit saja, selepas tolak itu dan ini. Tanpa perancangan teliti, ramai graduan muda mudah terperangkap dalam beban kewangan yang boleh menjejaskan kualiti hidup.
Dengan sedikit ilmu kewangan, amalan bajet yang mudah dan disiplin yang ketat, semua isu boleh dielakkan dan mereka mampu tidur lena setiap malam. Jom kita teliti cara mudah nak hidup tenang – walaupun gaji belum lima angka.
Kenali Duit Sendiri – Baru Boleh Kawal
Sebelum cerita tentang bajet, simpanan atau pelaburan, individu kena faham dulu satu benda penting, iaitu duit masuk dan duit keluar. Duit masuk merujuk kepada pendapatan (gaji) yang diterima manakala duit keluar pula adalah duit yang dibelanjakan untuk sesuatu tujuan, yang kadang-kadang kita sendiri pun tidak sedar akan waktu keluar dan ke mana perginya.
Contohnya, seorang graduan mungkin boleh memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM2,600 sebulan tetapi apabila tersedar di pertengahan bulan, gaji sudah tinggal RM100 sahaja. Kenapa terjadi begitu? Sebahagiannya kerana minum kopi mahal, langgan semua jenis aplikasi dan Shopee check-out tiap-tiap minggu.
Sebagai graduan berilmu, anda perlu mengamalkan ilmu yang diajar semasa di IPT dulu untuk merekodkan setiap duit yang dibelanjakan. Boleh dikatakan, semua bidang pengajian ada ajarkan asas perekodan kewangan, jangan lupa tentang ilmu tersebut.
Bajet Guna Kaedah 40/30/30 – Senang, Tak Serabut
Secara asasnya, kaedah 40/30/30 ini adalah cara paling senang untuk memulakan sesuatu bajet kewangan. Kaedah ini telah diubah suai, namun tetap boleh dilaraskan mengikut kesesuaian individu.
Pecahannya iaitu 40% untuk keperluan seperti makanan, minuman, tempat tinggal, pengangkutan, bil utiliti serta perbelanjaan harian lain. 30 peratus untuk simpanan, pelaburan dan dana kecemasan manakala baki 30 peratus adalah untuk bayaran balik hutang PTPTN, menonton wayang, penuhi hobi dan membeli-belah.
Sebagai contoh, jika pendapatan bersihnya RM2,600, maka agihannya adalah RM1,040 untuk keperluan, RM780 untuk simpanan dan pelaburan, serta baki RM780 lagi untuk bayar komitmen kewangan dan penuhi kehendak diri. Kalau sesuai ikut, jika tidak, ubahlah mengikut keadaan kewangan masing-masing.
Jangan Berlawan Gaya Hidup
Masalah besar anak muda sekarang adalah takut tertinggal dengan arus terkini atau FOMO. Kawan beli iPhone baru, kita pun rasa nak juga, kawan melancong ke Eropah, kita pun rasa nak terbang tapi hakikatnya, gaji kawan kita mungkin lain atau mungkin mereka datang dari keluarga yang berada.
Kita baru nak mulakan hidup baru dengan pendapatan yang seadanya, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jadinya, penting untuk hidup ikut kemampuan, bukan mengikut kawan atau nak berlawan.
Elakkan Kad Kredit dan Pinjaman Peribadi
Kad kredit boleh membantu dalam kecemasan dan memberikan ganjaran tertentu. Namun, jika tidak digunakan dengan cermat, ia menjadi beban yang sukar dilangsaikan. Oleh itu, janganlah terpedaya dengan promosi kad kredit yang ditawarkan oleh institusi kewangan.
Begitu juga dengan pinjaman peribadi. Ia seharusnya menjadi pilihan terakhir dan bukan jalan pintas untuk memenuhi gaya hidup. Usahakan dahulu pembayaran pinjaman PTPTN sehingga selesai, barulah fikirkan hutang yang lebih bermanfaat.
Tambah Pendapatan Jika Perlu
Sekiranya kita amalkan nasihat dan tips yang dibincangkan sebelum ini dengan disiplin yang ketat, pendapatan bulanan pasti mencukupi. Justeru, tidak perlu kepada sumber pendapatan tambahan yang memerlukan pengorbanan cuti hujung minggu.
Walaupun dilaksanakan secara digital atau atas talian, ia tetap memerlukan masa untuk memenuhi tugasan ini. Work life balance yang diimpikan mungkin menemui jalan buntu. Cukuplah dengan sumber pendapatan utama, pasti ia juga mampu membuatkan impian anda tercapai.
Sebagai penutup, graduasi bukanlah penamat tetapi permulaan kepada tanggungjawab hidup yang lebih besar dan mencabar. Mempunyai pendapatan tetap tidak menjamin kewangan yang stabil, tetapi dengan pengurusan kewangan yang cekap, kehidupan boleh jadi lebih tenang dan dan membahagiakan.
Anak muda zaman sekarang sebenarnya jauh lebih bijak dan beruntung kerana mereka mempunyai banyak peluang dan ruang jika dibanding dengan zaman dahulu. Mereka perlu sedar bahawa keupayaan mengawal kewangan adalah satu kemahiran hidup.
Justeru, uruslah kewangan dengan bijak, kekayaan boleh dibina perlahan-lahan tanpa dibelenggu hutang yang menggugat kualiti kehidupan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.