Mengapa ESG penting untuk rakyat, tidak hanya korporat
Rakyat ialah pemegang taruh yang paling terkesan oleh setiap keputusan korporat dan dasar awam.

KETIKA istilah Environmental, Social and Governance (ESG) atau Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus semakin mendapat tempat dalam wacana perniagaan dan pelaburan global, tidak dapat dinafikan bahawa ia sering dilihat sebagai isu elit korporat yang hanya relevan kepada syarikat tersenarai atau pelabur institusi.
Namun, pemahaman ini adalah sempit dan perlu diperluas. ESG sebenarnya merupakan satu kerangka nilai yang mempunyai kesan langsung kepada kehidupan seharian rakyat, daripada kesihatan alam sekitar hingga kesejahteraan komuniti dan tadbir urus yang telus.
Alam sekitar bukan isu korporat semata-mata
Komponen ‘E’ dalam ESG merujuk kepada pemeliharaan alam sekitar, termasuk isu seperti perubahan iklim, pencemaran, pembaziran sumber dan pengurusan tenaga.
Sering kali, kegagalan syarikat dalam mengurus impak alam sekitar seperti pelepasan sisa toksik atau pembalakan tidak terkawal akhirnya menyebabkan penderitaan rakyat melalui banjir, pencemaran udara atau sumber air yang tercemar.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, jumlah purata hujan tahunan meningkat 20% dalam tempoh dua dekad, yang sebahagiannya disumbang oleh perubahan guna tanah dan pelepasan karbon. Malaysia juga dilaporkan mengalami kerugian mencecah RM6.1 bilion akibat bencana banjir pada 2021, menunjukkan betapa pentingnya pematuhan alam sekitar oleh semua pihak, bukan sahaja syarikat.
Dimensi sosial: Hak pekerja dan komuniti
Aspek ‘S’ pula merangkumi isu-isu sosial seperti hak pekerja, keselamatan tempat kerja, kesamarataan, kepelbagaian dan pembangunan komuniti. Dalam konteks Malaysia, ini merangkumi pelaksanaan gaji minimum, keselamatan pekerjaan untuk pekerja kontrak, serta akses pekerjaan untuk belia dan golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU).
Pada 2023, Kementerian Sumber Manusia melaporkan bahawa lebih 500 aduan berkaitan gaji tidak dibayar dan diskriminasi tempat kerja diterima setiap bulan, menunjukkan keperluan syarikat mengintegrasikan tanggungjawab sosial dalam operasi mereka. ESG bukan lagi pilihan, tetapi satu tuntutan untuk memastikan keadilan sosial dipelihara.
Tadbir urus yang baik, manfaat kepada semua
Komponen ‘G’ dalam ESG merujuk kepada tadbir urus yang baik, termasuk ketelusan, integriti, pengurusan risiko dan keberkesanan lembaga pengarah. Rakyat menanggung kos apabila berlaku ketirisan, rasuah atau salah urus, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
Menurut Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 oleh Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke61 daripada 180 negara, dengan skor 50/100, satu penurunan berbanding 53/100 pada 2019. Ini memberi amaran jelas bahawa pembaikan dari sudut tadbir urus bukan hanya perlu untuk menarik pelaburan, tetapi juga untuk menjamin keyakinan rakyat terhadap institusi dan syarikat.
Rakyat sebagai pemegang taruh utama
Mengapa ESG penting untuk rakyat? Kerana rakyat ialah pemegang taruh yang paling terkesan oleh setiap keputusan korporat dan dasar awam. Dalam dunia yang semakin berdepan cabaran iklim, jurang sosial dan kegagalan tadbir urus, setiap individu sama ada sebagai pengguna, pekerja, pendidik, ibu bapa atau pelajar mempunyai peranan dalam menyemarakkan budaya ESG.
Dalam laporan oleh Bursa Malaysia (2022), lebih 80 peraatus syarikat tersenarai mengakui tekanan daripada pengguna dan pelabur untuk melaporkan prestasi ESG secara telus. Ini membuktikan bahawa suara pengguna (rakyat biasa) mampu mengubah budaya korporat.
Sebagai contoh, pengguna boleh membuat pilihan lebih lestari dalam pembelian harian, belia boleh melibatkan diri dalam aktivisme alam sekitar manakala komuniti boleh melaksanakan amalan kitar semula dan penjagaan sumber secara kolektif.
Sudah tiba masanya kita menanggalkan persepsi bahawa ESG hanyalah urusan syarikat besar atau agenda pelabur asing. ESG ialah agenda rakyat.
Ia mencerminkan usaha kolektif untuk membina masa depan yang lebih adil, selamat dan lestari untuk semua.
Masyarakat yang celik ESG bukan sahaja akan menuntut akauntabiliti daripada korporat dan kerajaan, malah turut memainkan peranan aktif dalam mencorakkan perubahan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.