Universiti Malaya (UM) memperkukuh kerjasama antarabangsanya dengan Universitas Indonesia (UI) yang juga merupakan kampus terbaik di Indonesia melalui program Universitas Indonesia Credit Earning Program for International Students (UI-CREATES 2024) pada 5 Ogos 2024 sehingga 3 Oktober 2024.
Ia telah disertai oleh 16 pelajar sarjana muda sains Kimia dan dua orang pensyarah dari Jabatan Kimia, UM iaitu Dr. Noordini Mohamad Salleh dan Dr. Siti Jariani Mohd Jani sebagai penasihat program dan beberapa orang pelajar dari UI.
Program ini dianjurkan oleh Departemen Kimia, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), UI yang diketuai oleh Dr. Bayu Ardiansah yang juga merupakan kolaborator utama kepada Dr. Noordini Mohamad Salleh.
Program ini mengandungi dua modul iaitu program dalam talian yang merangkumi 10 kuliah dalam bidang organik sintesis dan ubatan bagi menepati tema Synthetic and Natural Product Chemistry for Drug Discovery dan diikuti dengan program lawatan ke Universitas Indonesia dan kawasan sekitarnya.
Program lawatan ke UI menawarkan bukan sahaja pengalaman antarabangsa dalam bidang akademik tetapi juga eksplorasi budaya secara tidak langsung.
Pada hari pertama, para peserta dibawa menjelajah ke sekitar kampus, memahami struktur organisasi serta berkesempatan mempelajari budaya dan kesenian masyarakat di Indonesia iaitu wayang kulit.
Peserta juga diberi peluang bermain alat muzik tradisional iaitu gamelan masyarakat Jawa di Fakultas Ilmu Pengetahuan Budaya melalui tunjuk ajar pakar iaitu Dr. Ari Prasetiyo.
Pada hari kedua, para peserta juga telah dibawa berkunjung ke Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) yang merupakan institusi kerajaan dalam bidang farmaseutikal.
Institusi ini berperanan mengawasi ubat dan makanan dengan mengesan, mencegah, dan mengawasi produk yang berkenaan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan pengguna di peringkat nasional.
Para peserta berpeluang mendengar penerangan dari pengarah BPOM sendiri dan turut dibawa ke makmal penyelidikan dan instrumentasi bagi melihat proses yang dijalankan dan fasiliti yang tersedia.
Seterusnya peserta dibawa ke Taman Mini Indonesia Indah di mana terdapatnya Museum Indonesia, pelbagai anjungan dari segenap wilayah di Indonesia seperti anjungan Jambi, Maluku, Bali, Sulawesi dan sebagainya. Para peserta tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan di setiap anjungan dan menghargai perbezaan budaya secara tidak langsung.
Pada hari ketiga, masa yang ada diisi dengan program team building dan sukan pantai seperti jet ski, banana boat, luncur air serta eksplorasi pantai dengan menunggang ATV di Pantai Anyer, wilayah Banten.
Aktiviti fizikal seperti ini sangat bermanfaat dan sememangnya aturan yang bijak dalam memastikan hubungan para peserta dari dua universiti ini terjalin erat.
Seterusnya peserta dibawa mengelilingi ibu kota Jakarta bagi melihat suasana bandaraya, monumen nasional (Tugu Monas) serta Plaza Sarinah yang menyimpan sejarahnya yang tersendiri.
Pada hari terakhir, program ditutup dengan penyampaian anugerah UI-CREATES oleh Ketua Departemen Kimia UI, Dr. Asep Saefumillah dan Hezron Mujah Lasa, pelajar tahun 3 muncul sebagai peserta terbaik dan Adam Spencer Crowther yang juga pelajar tahun 3 sebagai peserta paling aktif sepanjang program dijalankan.
Menurut Hezron, program kuliah secara dalam talian yang dijalankan telah banyak memberi pendedahan kepada beliau tentang hubungan sintesis organik dengan dunia perubatan di samping dapat memahami pelbagai konsep dan teori asas kimia terutamanya dalam penghasilan ubat-ubatan menggunakan sumber semula jadi dan sintetik.
Menurutnya juga, program lawatan yang dianjurkan telah memberi banyak manfaat dan ilmu berkaitan dengan budaya masyarakat Indonesia dan mengharapkan agar program sebegini dapat dianjurkan dengan lebih kerap bagi menaikkan minat mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang kimia perubatan dan juga bidang kimia yang lain selain mengeratkan hubungan erat antara universiti yang terlibat.