Bagaimana membolosi lautan dunia?
Kehidupan di dunia tidak pernah sunyi daripada ujian dan cabaran. Kadangkala kita diuji dengan kesenangan, kadangkala dengan kesusahan.
 
                
DUNIA ini ibarat lautan yang luas dan kita adalah pelayar yang sedang mengemudi kapal menuju ke destinasi terakhir. Destinasi itu bukan sekadar tempat persinggahan tetapi pertemuan penuh makna dengan Allah Yang Maha Mencipta. 
Dalam pelayaran ini, kita mesti memastikan air laut tidak masuk ke dalam kapal. Jika air itu meresap ke dalamnya, kapal akan karam.
Begitulah hati manusia. Jika dunia yang sepatutnya berada di tangan mula masuk ke dalam hati, manusia akan tenggelam dalam godaan dan kelalaian. Oleh itu, keseimbangan antara urusan dunia dan akhirat amat penting agar bahtera hidup terus terapung menuju destinasi yang abadi.
Kehidupan di dunia tidak pernah sunyi daripada ujian dan cabaran. Kadangkala kita diuji dengan kesenangan, kadangkala dengan kesusahan.
Allah berfirman dalam Surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud, “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu siapakah yang lebih baik amalnya”.
Hidup ini ialah medan ujian bagi menilai sejauh mana kita taat dan patuh kepada perintah-Nya. Ada yang sabar ketika diuji, ada juga yang mudah berputus asa.
Malangnya, ramai yang begitu mencintai dunia seolah-olah hidup di dunia ini kekal selama-lamanya. Lalu Allah datangkan musibah, bencana dan ujian untuk menyedarkan manusia agar kembali mengingati-Nya.
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara. Baginda mengumpamakannya seperti pengembara yang berhenti di bawah sebatang pokok untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
Jika kita menginap di sebuah hotel, kita tidak akan menghias atau membina rumah di dalamnya kerana kita tahu kita akan meninggalkannya. Begitulah dunia.
Kita datang, menjalani kehidupan, kemudian akan kembali kepada Allah. Segala amal yang dilakukan mesti lahir daripada hati yang ikhlas. Jika ibadah kita tidak mampu melembutkan hati dan menenangkan jiwa ketika diuji, maka itu tandanya amal kita masih belum sampai ke dasar hati.
Dunia tidak pernah sempurna. Dalam Surah al-Insyirah Allah mengingatkan, “Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan”.
Kehidupan ini penuh dengan warna suka dan duka. Dalam bahagia ada ujian, dalam sedih ada rahmat. Dunia hanya bayangan kecil kepada akhirat.
Di syurga nanti, kebahagiaan akan kekal tanpa duka. Di neraka, kesengsaraan tiada penghujung. Semua nikmat di dunia ini hanyalah contoh kecil agar kita merindui kebahagiaan abadi di akhirat. Dunia hanyalah tempat ujian. Kita diperhati dan akan dihisab. Maka berusahalah menjadi sebaik-baik hamba dalam setiap langkah kehidupan.
Dunia hanyalah alat untuk mengenal dan mendekati Pencipta. Ibarat seorang tukang diberi kotak perkakasan untuk membina rumah tetapi jika dia leka bermain dengan tukul dan gergaji, rumahnya tidak akan siap.
Begitulah manusia yang leka dengan nikmat dunia lalu lupa kepada tujuan asal. Zuhud bukan bermaksud menolak dunia, tetapi tidak meletakkan dunia di dalam hati.
Para Nabi dan sahabat ramai yang berharta, namun hati mereka terpaut kepada Allah. Dunia ini indah tetapi hanya sementara, seperti bunga mawar yang mekar sebentar sebelum layu. Apabila Allah memberi nikmat, janganlah kita hanya mencintai pemberian hingga melupakan Pemberi. Cintailah Allah kerana hanya Dia yang kekal abadi.
Untuk terus terapung di tengah lautan dunia, kita perlu tahu ke mana arah yang hendak dituju. Seperti seorang pengembara yang tahu destinasinya, kita mesti memahami bahawa tujuan hidup ini adalah untuk kembali kepada Allah.
Namun ramai yang belum mengenal siapa Allah dan mengapa kita harus bertemu dengan-Nya. Manusia sering terleka dengan keseronokan dunia seperti anak kecil yang disuruh ke sekolah tetapi berhenti bermain di kedai mainan. Dunia memang menyeronokkan, tetapi keseronokan itu sementara. Akhirat pula mungkin menuntut kesabaran, tetapi di situlah letaknya kebahagiaan yang kekal selamanya.
Tujuan hidup manusia amat jelas. Allah berfirman dalam Surah al-Zariyat ayat 56, “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku”.
Itulah satu-satunya tujuan kita hidup. Untuk sampai kepada tujuan itu, hati mesti sentiasa dijaga. Hati adalah alat untuk mengenal Allah.
Jangan biarkan mata dan telinga melihat atau mendengar perkara yang dilarang, kerana dosa akan meninggalkan titik hitam dalam hati.
Carilah sahabat yang baik, kerana teman yang soleh ibarat kedai minyak wangi; meskipun tidak membeli apa-apa, kita tetap berbau harum apabila keluar daripadanya. Lingkungan yang baik akan menjaga hati dan membawa kita lebih dekat kepada Allah.
Untuk membolosi lautan dunia tanpa tenggelam, kita mesti sentiasa mengingati Allah. Solat, zikir dan doa adalah pelampung penyelamat kita.
Apabila hati jauh daripada Allah, syaitan akan mengambil tempatnya. Jagalah solat, jangan diabaikan walau sesibuk mana sekalipun. Biasakan diri beristighfar setiap hari kerana ia membersihkan hati.
Ketika iman menurun, teruskan beribadah walau terasa berat. Ketekunan itu akan mengembalikan kekuatan jiwa. Jika tersilap langkah, segera kembali kepada Allah dengan taubat yang ikhlas. Ujian bukan tanda kebencian tetapi cara Allah mendekatkan kita kepada-Nya. Dia menguji untuk membersihkan, bukan menghancurkan.
Akhirnya, jagalah hubungan peribadi kita dengan Allah. Berbicaralah dengan-Nya dalam doa dan sujud. Waktu malam adalah saat terbaik untuk mendekatkan diri kerana Allah amat dekat dengan hamba-Nya ketika itu.
Mohonlah agar hati tidak tenggelam dalam arus dunia tetapi terus mengemudi ke arah cahaya akhirat. Dunia ini ibarat ombak yang kadang tenang, kadang bergelora.
Namun jika nakhoda bijak mengemudi dengan panduan al-Quran dan sunnah, kapal tidak akan karam. Dunia boleh berada di tangan kita, tetapi jangan biarkan ia berakar di hati.
Hanya hati yang terpaut kepada Allah akan mampu membolosi lautan dunia dengan selamat, tenang dan penuh bahagia hingga sampai ke destinasi yang hakiki, iaitu pertemuan abadi dengan Allah SWT.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
Prof Madya Dr Monika @ Munirah Abd Razzak ialah seorang Profesor Madya di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di munirahar@um.edu.my

 
                         
                       
                      