Apabila rasuah dinormalisasikan: Budaya yang ‘menggerogot’

Rasuah bukan sahaja wujud di peringkat politik, tetapi juga dalam institusi yang sepatutnya menjadi benteng keadilan.

Feature Image

TIDAK lama dahulu, setiap kali berita berkaitan rasuah dilaporkan, masyarakat akan tersentak, ada rasa marah, kecewa dan malu. Namun kini, pendedahan demi pendedahan kes rasuah seolah‑olah tidak lagi memberi kesan yang sama. Ia dibaca, dikongsi dan kemudian dilupakan, seakan menjadi sebahagian daripada rutin berita harian. Di situlah bahaya sebenar apabila perbuatan yang salah tidak lagi mengejutkan.

Sepanjang hujung tahun 2025, beberapa kes rasuah besar terus menjadi perhatian. Antaranya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijatuhi penjara 15 tahun dan denda hampir RM13.5 bilion berhubung penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang dalam skandal 1MDB. Kes ini menjadi simbol betapa rasuah boleh menjejaskan tadbir urus negara dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi.

Selain itu, beberapa bekas pegawai kerajaan dan ahli perniagaan turut didakwa atas dakwaan rasuah berkaitan kelulusan projek bernilai jutaan ringgit. Siasatan SPRM terhadap bekas menteri dan pegawai kanan menunjukkan bahawa salah guna kuasa bukan isu terpencil tetapi cabaran sistemik yang meresap ke pelbagai peringkat pentadbiran.

Di peringkat lain pula, SPRM turut mendedahkan beberapa kes yang melibatkan pegawai penguatkuasaan dan anggota polis, menunjukkan bahawa rasuah bukan sahaja wujud di peringkat politik tetapi juga dalam institusi yang sepatutnya menjadi benteng keadilan. Kesalahan sebegini jika dibiarkan berulang akan memperkuat persepsi bahawa rasuah boleh diterima sebagai budaya lumrah.

Malaysia kekal di kedudukan ke‑57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan skor 50 daripada 100, jauh daripada sasaran kerajaan untuk berada dalam kelompok 25 teratas menjelang 2033 dengan skor sekurang‑kurangnya 68 hingga 70. Walaupun ada usaha pendakwaan dan penguatkuasaan, kekerapan kes serta persepsi bahawa tindakan tidak konsisten menyebabkan normalisasi berlaku dalam masyarakat.

Normalisasi rasuah tidak berlaku secara tiba‑tiba. Ia bermula apabila kesalahan kecil dibiarkan tanpa tindakan. Tuntutan palsu, penyalahgunaan kemudahan pejabat atau layanan istimewa kerana hubungan tertentu seakan dianggap biasa. Apabila kesalahan ini berulang tanpa akibat tegas, masyarakat mula menerima rasuah sebagai sesuatu yang lumrah. Individu yang menegakkan prinsip integriti pula sering dipandang pelik, dianggap mengganggu sistem atau tidak pandai menyesuaikan diri.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di peringkat kepimpinan tertinggi. Di pejabat, staf yang sering mengambil kesempatan dengan memanipulasi data atau mengambil keputusan tidak adil demi kepentingan sendiri tanpa dipertanggungjawabkan mula menganggap amalan itu normal.

Di universiti pula, pelajar yang meniru peperiksaan, menyalin tugasan atau mengambil kesempatan untuk mendapatkan keputusan lebih baik tanpa usaha jujur, apabila melihat tiada tindakan nyata, turut menuruti budaya sama. Dengan kata lain, normalisasi rasuah menular hingga ke peringkat harian, membentuk persepsi bahawa integriti hanyalah pilihan, bukan kewajipan.

Akibatnya, generasi muda yang membesar dalam suasana ini berpotensi melihat integriti sebagai sesuatu yang boleh dikompromi. Nilai amanah dan kejujuran perlahan‑lahan terhakis, kepercayaan terhadap institusi semakin goyah dan budaya ‘ambil kesempatan selagi boleh’ mula membudaya. Sekiranya budaya ini dibiarkan berterusan, bukan sahaja tadbir urus negara terjejas, malah pembangunan sosial dan ekonomi turut terancam.

Usaha membanteras rasuah tidak boleh berhenti pada pendakwaan semata‑mata. Ia memerlukan ketegasan, ketelusan, pembudayaan nilai integriti dan contoh teladan daripada pemimpin, staf serta masyarakat secara keseluruhan. Sekolah, universiti, pejabat kerajaan dan swasta mesti menekankan bahawa kejujuran dan amanah adalah asas, bukan pilihan. Selagi rasuah terus dinormalisasikan, selagi itulah cabaran integriti akan menghantui negara.

Namun begitu, sambil masyarakat menanti laporan Corruption Perceptions Index tahun 2025, persoalan besar masih tergantung, Adakah kedudukan Malaysia dalam CPI akan meningkat atau terus statik seperti sebelumnya, malah mendekatkan atau menjauhkan lagi sasaran kelompok 25 teratas dunia? Atau adakah kita akan terus melihat rasuah seolah‑olah diterima sebagai norma dalam kehidupan seharian.

Jawapan kepada persoalan ini bukan hanya terletak pada angka CPI semata‑mata tetapi pada sejauh mana kita sebagai bangsa sanggup menolak budaya salah laku dan mengambil integriti sebagai pegangan hidup.