Bersediakah kita menerima tetamu tahun ini?
Kejayaan TMM 2026 tidak hanya bergantung pada usaha promosi dan pembangunan infrastruktur semata-mata.

TAHUN Melawat Malaysia (TMM) 2026 merupakan satu inisiatif penting kerajaan bagi memacu semula sektor pelancongan negara serta menarik kedatangan pelancong dari seluruh dunia. Program ini bukan sekadar bertujuan meningkatkan jumlah ketibaan pelawat asing, malah menjadi platform strategik untuk memperkenalkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, berbudaya dan mesra pelancong.
Namun demikian, kejayaan TMM 2026 tidak hanya bergantung pada usaha promosi dan pembangunan infrastruktur semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh tahap kesediaan rakyat Malaysia sendiri sebagai tuan rumah. Oleh itu, persoalan sama ada rakyat Malaysia benar-benar bersedia menyambut TMM 2026 wajar dibincangkan secara menyeluruh.
Dari sudut sikap dan layanan, rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat ramah, sopan dan berbudi bahasa. Sikap ini sering menjadi tarikan utama kepada pelancong asing. Hal ini dapat dibuktikan apabila ramai pelancong berkongsi pengalaman positif di media sosial tentang penduduk tempatan yang sudi menunjukkan arah jalan, membantu urusan pengangkutan awam atau mencadangkan tempat makan tempatan.
Di negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang, peniaga kecil serta pemandu pelancong tempatan turut menggunakan bahasa Inggeris asas bagi memudahkan komunikasi. Usaha ini bukan sahaja melancarkan urusan pelawat, malah meningkatkan keselesaan mereka sepanjang berada di Malaysia.
Namun begitu, dari aspek kemudahan awam, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian serius. Isu kebersihan tandas awam di kawasan tumpuan pelancong seperti stesen bas, pasar malam dan kawasan pantai sering menjadi rungutan.
Selain itu, kesesakan lalu lintas di destinasi popular seperti Genting Highlands dan pusat bandar Kuala Lumpur pada musim cuti turut menjejaskan pengalaman pelancong. Keadaan ini menunjukkan bahawa pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan awam masih perlu diperkemas agar setanding dengan negara pelancongan maju.
Selain kemudahan fizikal, tahap profesionalisme dalam kalangan segelintir rakyat juga perlu dipertingkatkan. Terdapat kes terpencil peniaga yang mengambil kesempatan dengan mengenakan harga terlalu tinggi kepada pelancong asing, khususnya di kawasan tumpuan pelancong seperti pasar kraf dan pusat membeli-belah.
Harga cenderamata yang dinaikkan secara tidak munasabah boleh menimbulkan rasa tidak puas hati serta membentuk persepsi negatif terhadap negara. Sikap sedemikian mencerminkan kurangnya kesedaran bahawa setiap individu membawa imej Malaysia di mata dunia.
Di samping itu, sikap pembaziran makanan dalam kalangan rakyat Malaysia turut mencerminkan tahap kesediaan yang masih perlu diperbaiki. Di hotel, bufet restoran dan majlis keramaian, masih terdapat individu yang mengambil makanan secara berlebihan sehingga tidak habis dan akhirnya dibuang.
Amalan ini bukan sahaja merugikan dari segi ekonomi, malah memberi gambaran kurang baik kepada pelancong asing yang menghargai makanan. Oleh itu, sikap sederhana dan amalan mengambil makanan mengikut keperluan perlu diterapkan agar nilai murni seperti berjimat cermat dan menghormati rezeki dapat ditonjolkan.
Walau bagaimanapun, pelbagai usaha ke arah persediaan yang lebih mantap sedang giat dijalankan oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Antaranya ialah program latihan hospitaliti kepada pengusaha inap desa dan peniaga kecil bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, etika layanan, penampilan diri yang kemas serta penggunaan bahasa yang sopan dan betul ketika berinteraksi dengan pelancong.
Kursus pemandu pelancong bertauliah dan bengkel komunikasi asas pelbagai bahasa turut dilaksanakan bagi memastikan maklumat disampaikan dengan jelas serta mengelakkan penggunaan bahasa kasar atau lawak biadab.
Program pelancongan komuniti seperti inap desa di Kampung Morten, Melaka, desa budaya di Sarawak serta kawasan luar bandar di Sabah dan Pahang pula membolehkan penduduk tempatan terlibat secara langsung dalam industri pelancongan.
Melalui program ini, masyarakat setempat berpeluang mempamerkan budaya, nilai kesantunan, penampilan yang mencerminkan identiti tempatan serta cara hidup tradisional. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar, malah membantu membentuk imej Malaysia sebagai negara yang beradab dan profesional.
Selain itu, kesediaan rakyat Malaysia juga dapat dinilai melalui usaha memperkenalkan seni dan budaya tempatan, makanan tradisional masyarakat setempat serta destinasi pelancongan yang tidak hanya tertumpu di kawasan popular. Penduduk kampung boleh mengetengahkan persembahan kebudayaan seperti tarian tradisional, kraf tangan dan adat resam, di samping memperkenalkan makanan warisan seperti kuih tradisional dan masakan asli daerah masing-masing.
Kawasan luar bandar yang memiliki keindahan alam semula jadi dan nilai budaya yang unik berpotensi menjadi tarikan baharu kepada pelancong.
Selain makanan tradisional, usaha memperkenalkan buah-buahan tempatan juga wajar diperkasakan sempena TMM 2026. Buah-buahan seperti durian Musang King, manggis, rambutan, langsat, cempedak dan belimbing boleh diperkenalkan melalui festival buah-buahan, lawatan ke dusun serta aktiviti memetik buah.
Contohnya, penganjuran pesta durian di Pahang atau lawatan ke dusun buah di Perak bukan sahaja memberi pengalaman unik kepada pelancong, malah membantu mempromosikan hasil pertanian tempatan.
Di samping itu, usaha menggalakkan pelancong mempelajari bahasa Melayu asas juga wajar diperkasakan kerana bahasa merupakan identiti dan jiwa bangsa. Program interaksi seperti kelas bahasa Melayu asas dan aktiviti komuniti boleh dianjurkan bagi memperkenalkan frasa mudah seperti ‘selamat datang’ dan ‘terima kasih’.
Pendekatan ini dapat mewujudkan hubungan yang lebih mesra antara pelancong dan masyarakat tempatan serta memupuk rasa hormat terhadap budaya negara.
Dengan slogan dan kempen yang diterapkan dalam TMM 2026, sikap masyarakat dapat dibentuk ke arah yang lebih positif untuk jangka masa panjang. Oleh itu, kempen dan slogan perlu diperluaskan ke seluruh negara agar merangkumi semua lapisan masyarakat.
Slogan seperti ‘Malaysia, Truly Asia’, ‘Senyuman Kita, Wajah Malaysia’ dan ‘Rakyat Mesra, Pelancong Bahagia’ boleh diangkat semula manakala kempen seperti Kempen Senyum Pelancong dan Kempen Jaga Kebersihan Destinasi wajar dilaksanakan secara berterusan melalui media dan program komuniti.
Selain itu, penyiaran kandungan media perlu dikawal agar tidak menjejaskan imej negara. Siaran yang memaparkan unsur politik keterlaluan atau konflik sensitif wajar dielakkan, sebaliknya kandungan positif berunsur perpaduan dan budaya perlu diperbanyakkan supaya imej Malaysia sebagai negara aman dan harmoni dapat ditonjolkan.
Rakyat Malaysia menunjukkan tahap kesediaan yang memberangsangkan untuk menyambut TMM 2026, namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperkemas. Sikap mesra, kemudahan awam berkualiti dan kesedaran menjaga imej negara merupakan elemen penting dalam memastikan kejayaan TMM 2026.
Diharapkan penganjuran ini bukan sahaja meningkatkan sektor pelancongan, malah dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan masyarakat antarabangsa dalam pelbagai sektor. Jika seluruh rakyat memainkan peranan sebagai duta kecil negara, Malaysia berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia.

