Kenaikan ringgit isyarat keyakinan jangka panjang
Situasi ini mencerminkan persepsi yang mula berubah tentang asas ekonomi Malaysia, kedudukan diplomatik dan naratif pelaburan jangka panjang.

BARU-BARU ini, rakyat Malaysia telah menyaksikan pengukuhan nilai Ringgit terbesar setelah sekian lama. Menjelang akhir tahun 2025, nilai Ringgit telah mengukuh sekitar 9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Ringgit telah muncul sebagai salah satu matawang berprestasi terbaik di Asia pada awal tahun 2026.
Situasi ini mencerminkan persepsi yang mula berubah tentang asas ekonomi Malaysia, kedudukan diplomatik dan naratif pelaburan jangka panjang.
Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Dalam kitaran lalu, kenaikan Ringgit sering bersifat sementara. Ia didorong oleh aliran kewangan jangka pendek yang bertindak balas terhadap jangkaan kadar faedah global atau perubahan dalam dolar AS. Walaupun faktor-faktor tersebut masih penting, kisah kali ini nampaknya lebih mendalam dan lebih berstruktur.
Hot Money vs Sustainable Capital
Kita perlu tahu bahawa tidak semua modal yang mengalir masuk ke dalam negara bertindak sama. Komposisi modal pelaburan ‘hot money’ dan ‘sustainable capital’ memainkan peranan penting dalam turun naik nilai matawang negara.
‘Hot money’ adalah satu terma berkaitan portfolio pelaburan asing jangka pendek. Di mana aliran kemasukan modal asing boleh melonjakkan nilai matawang negara buat sementara waktu. Tetapi apabila sentiment risiko berubah, modal ini akan ditarik keluar oleh pelabur asing secara tiba-tiba. Aliran modal sedemikian sering mempergiatkan turun naik nilai matawang dan merumitkan tindak balas dasar kewangan negara.
Sebaliknya, ‘sustainable capital’ adalah modal jangka panjang yang selaras dengan kemampanan. Ia biasanya diuruskan oleh institusi pelaburan seperti dana pencen dan dana kekayaan negara. Mereka lebih memberi perhatian kepada kualiti tadbir urus, kebolehramalan kawal selia, dan kestabilan institusi. Ciri-ciri ini adalah sejajar dengan rangka kerja kemampanan yang berkredibiliti.
Oleh yang demikian, perubahan komposisi aliran pelaburan dalam negara ini penting untuk matawang seperti Ringgit. Apabila modal ini dilaburkan dalam keyakinan jangka panjang, ia menyokong kukuh nilai matawang tanpa turun naik yang dibawa oleh aliran modal jangka pendek.
ESG sebagai ‘Sauh Lembut’
Alam sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) bukan lagi kriteria khusus yang boleh diabaikan. ESG berfungsi sebagai penapis risiko yang mampu membentuk wilayah pelaburan modal jangka panjang. Walaupun kemajuan Malaysia dalam piawaian pelaporan ESG, ketelusan rantaian bekalan, dan pembaharuan tadbir urus korporat masih dalam proses, namun ia telah menghantar isyarat positif kepada pelabur modal yang berorientasikan kemampanan.
Kredibiliti ESG tidaklah mampu meningkatkan nilai matawang secara langsung. Tetapi ia boleh menyumbang kepada pengurangan risiko hala tuju institusi seseubuah negara. Keadaan ini menyokong kemasukan pelaburan asing yang stabil dan strategik, berbanding spekulatif.
ASEAN 2025: Kuasa Lembut, Keyakinan dan Imej Negara
Selain asas dan faktor pasaran modal, kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 telah menyuntik sentimen keyakinan jangka panjang.
Pada Oktober 2025, Malaysia telah mengumpulkan para pemimpin dan perwakilan utama Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam satu penglibatan diplomatik yang produktif. Acara ini menarik penyertaan berprofil tinggi, termasuk daripada rakan kongsi luar, dan menyediakan platform untuk mengesahkan semula kedudukan Malaysia sebagai pemimpin serantau dengan membina hubungan ekonomi dan politik yang kukuh.
Walaupun sukar untuk mengukur impak sebenar hubungan diplomatik terhadap pasaran matawang, tidak dapat dinafikan bahawa psikologi pelabur adalah amat penting. Kejayaan penganjuran ASEAN 2025 berkemungkinan menyumbang kepada naratif positif tentang kecekapan Malaysia dalam tadbir urus, relevansi serantau, dan kestabilan geopolitik. Faktor-faktor ini adalah amat signifikan dalam meningkatkan imej negara bagi pelabur jangka panjang.
Dalam laporan pasaran serantau yang ditulis Mothership Singapura, menyatakan bahawa optimisme terhadap hala tuju ekonomi Malaysia, termasuk hubungan baik perdagangan dan diplomatik yang dipupuk semasa ASEAN, membantu menyokong keyakinan terhadap Ringgit.
Pasaran modal global kini bukan sahaja menilai pada angka untung rugi tetapi juga naratif dan reputasi. Apabila dilihat sebagai sebuah wilayah serantau yang stabil dan dipercayai, ia menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelabur asing.
Matawang yang Disokong oleh Keyakinan
Secara keseluruhan, perkembangan ini melukiskan gambaran yang bernuansa:
1. Prestasi kukuh Ringgit pada tahun 2025 melangkaui kitaran normal kadar pertukaran wang asing.
2. Keuntungannya mencerminkan asas domestik yang kukuh, meningkatkan keyakinan pelabur dan naratif luaran yang positif.
3. Kredibiliti kemampanan dan imej negara yang dibentuk oleh diplomasi, isyarat tadbir urus dan kepimpinan serantau, membantu menarik modal jangka panjang yang stabil.
Ini merupakan perubahan yang penuh makna. Ia menunjukkan bahawa dalam pasaran yang saling berkait hari ini, matawang mencerminkan bukan sahaja penunjuk makroekonomi tetapi juga keyakinan terhadap institusi, kepimpinan, dan prospek jangka panjang.
Implikasi Dasar: Diperoleh, Bukan Diberi
Prestasi Ringgit baru-baru ini memberikan peluang dan tanggungjawab. Jika kredibiliti kemampanan dan keyakinan diplomatik adalah sebahagian faktornya, maka Malaysia mesti terus memperoleh keyakinan tersebut dengan dasar yang konsisten, pembaharuan yang telus dan penglibatan tulen dengan pelabur dan rakan kongsi serantau.
Dalam era pasaran modal yang peka terhadap iklim dan sensitif terhadap reputasi, kredibiliti itu sendiri menjadi satu bentuk matawang. Maka, agenda greenwashing atau pematuhan ESG oleh institusi negara harus dielakkan.
Kadar faedah, imbangan perdagangan dan asas makroekonomi akan sentiasa kekal signifikan. Namun, sifat dan kualiti modal yang dibentuk oleh kemampanan dan hubungan global juga boleh mempengaruhi bagaimana matawang dinilai dan dilihat.
Dalam erti kata ini, kenaikan Ringgit mungkin bukan keuntungan jangka pendek tetapi lebih kepada keyakinan jangka panjang terhadap hala tuju ekonomi dan diplomatik Malaysia. Ini merupakan satu naratif yang patut diterokai dan dipertahankan, pada tahun-tahun mendatang.

