Berazamlah untuk dunia digital juga
Tahun baharu bukan sekadar tentang transformasi diri tetapi juga peluang untuk merenung peranan kita dalam membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

SETIAP kali menjelang tahun baharu, sudah menjadi kebiasaan masyarakat menetapkan azam untuk memperbaiki kehidupan sama ada dari segi kesihatan, kewangan, kerjaya mahupun hubungan kekeluargaan.
Dalam era media sosial, sudah menjadi kebiasaan, azam ini dikongsi dengan penuh semangat dan harapan untuk tahun baharu. Paparan gaya hidup sihat, sasaran kewangan dan pencapaian kerjaya memenuhi ruang digital, mencerminkan keinginan individu untuk memulakan lembaran baharu yang lebih baik.
Namun, adakah itu sahaja azam yang perlu kita tetapkan?. Adakah diri kita sahaja yang penting?. Bagaimana dengan harapan dan pencapaian masyarakat?. Di manakah letaknya semangat kita sebagai rakyat Malaysia untuk membangunkan masyarakat secara bersama?.
Tahun baharu seharusnya bukan sekadar tentang transformasi diri tetapi juga peluang untuk merenung peranan kita dalam membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab, berdaya tahan dan bersatu padu, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi digital, satu aspek penting sering terlepas pandang iaitu pengetahuan digital.
Hakikatnya, memasuki tahun baharu tanpa pengetahuan digital yang kukuh bukan sahaja mendedahkan individu kepada pelbagai risiko, malah memberi kesan besar kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Teknologi digital kini bukan lagi pilihan, sebaliknya telah menjadi keperluan asas dalam kehidupan seharian.
Urusan perbankan, pembelajaran, pekerjaan, komunikasi dan hiburan semuanya bergantung kepada platform digital. Perkembangan ini membawa pelbagai manfaat, termasuk peningkatan kecekapan, akses maklumat yang lebih luas serta peluang ekonomi baharu.
Namun, di sebalik kemudahan tersebut, wujud cabaran yang semakin membimbangkan seperti penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, jenayah siber, pencerobohan privasi, ketagihan penggunaan gajet serta keletihan digital.
Tanpa pengetahuan digital yang mencukupi, masyarakat mudah terdedah kepada manipulasi maklumat dan eksploitasi teknologi. Penyebaran berita palsu dan kandungan berunsur sensasi, misalnya, bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian sosial dan kepercayaan awam. Dalam jangka panjang, situasi ini boleh melemahkan daya tahan masyarakat serta mengganggu proses pembangunan negara.
Oleh itu, pengetahuan digital tidak boleh ditakrifkan sekadar kebolehan menggunakan peranti atau aplikasi teknologi. Ia merangkumi kefahaman yang lebih luas, termasuk etika digital, keselamatan siber, pengurusan maklumat, perlindungan data peribadi serta tanggungjawab sebagai warga digital.
Individu yang mempunyai pengetahuan digital yang baik akan lebih berfikir secara kritis sebelum berkongsi maklumat, lebih berhati-hati dalam interaksi di ruang siber, serta lebih sedar akan implikasi tingkah laku digital terhadap diri sendiri dan orang lain.
Pengetahuan digital juga menuntut keseimbangan dalam penggunaan teknologi. Dalam usaha mengejar produktiviti dan keterhubungan tanpa batas, ramai yang terperangkap dalam penggunaan teknologi secara berlebihan sehingga menjejaskan kesihatan mental, hubungan sosial dan kualiti hidup.
Justeru, kematangan dalam penggunaan teknologi perlu dipupuk agar teknologi kekal sebagai alat yang memperkasa manusia, bukan menguasai kehidupan mereka.
Lebih penting lagi, usaha memperkukuh pengetahuan digital tidak boleh dipikul oleh individu semata-mata. Ia memerlukan pendekatan kolektif yang melibatkan institusi pendidikan, keluarga, komuniti, industri dan kerajaan.
Pendidikan berkaitan pengetahuan digital perlu diperkasa sejak peringkat awal agar generasi muda bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga beretika dan bertanggungjawab. Pada masa yang sama, golongan dewasa dan warga emas juga perlu diperkasa agar tidak terpinggir dalam arus digital yang berubah dengan pantas.
Menjelang tahun baharu ini, sudah tiba masanya kita mengubah naratif azam tahunan. Selain berazam untuk kejayaan diri dan keluarga, marilah kita bersama-sama menetapkan azam untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih berpengetahuan, bijak dan beretika dalam dunia digital.
Pengetahuan digital harus dilihat sebagai asas kepada kesejahteraan sosial dan kemajuan negara, bukan sekadar kemahiran individu semata-mata. Justeru, marilah kita memperkukuhkan azam ini sebagai satu komitmen kolektif untuk menyemarakkan semangat pembangunan masyarakat.
Dengan pengetahuan digital yang kukuh, rakyat bukan sahaja mampu memanfaatkan teknologi secara bijak dan beretika, malah lebih bersedia menghadapi risiko serta cabaran dunia digital yang semakin kompleks. Inilah azam yang bukan sahaja membawa perubahan kepada individu, tetapi turut menjadi asas kepada kemajuan masyarakat dan masa depan negara. Selamat Tahun Baharu Malaysia.

