Sabar menghadapi pasangan dengan menyandarkan hati kepada-Nya

Ujian dalam perkahwinan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup yang perlu dilalui oleh setiap pasangan.

Feature Image

UJIAN dalam perkahwinan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup yang perlu dilalui oleh setiap pasangan. Namun, kadangkala ujian itu terasa begitu berat, seolah-olah tiada jalan keluar. Ketika emosi teruji dan kekuatan diri melemah, manusia perlu kembali kepada Allah SWT sebagai Pencipta serta meletakkan harapan dan pergantungan penuh kepada-Nya. Hal ini kerana Allah SWT mungkin menempatkan kebaikan dalam perkara yang tidak disenangi walaupun kebaikan itu tidak dapat dilihat dengan segera (Ibn Abī Ḥātim, Al-Tafsīr al-Qur’ān al-‘Aẓīm, 3:905).

Kebaikan itu boleh muncul dalam pelbagai bentuk seperti kelahiran anak yang soleh atau tertanamnya rasa kasih sayang dalam hati pasangan selepas melalui ujian (Al-Tha‘labī, Al-Kashf wa al-Bayān ‘an Tafsīr al-Qur’ān, 10:152). Oleh itu, suami isteri digalakkan bersabar menghadapi kekurangan akhlak, kelemahan atau kelalaian dalam tanggungjawab rumah tangga tanpa cepat membenci pasangan. Apa yang dibenci pada masa ini mungkin sebenarnya lebih baik untuk agama dan membawa kebaikan yang berkekalan (Al-Marāghī, Tafsīr al-Marāghī, 4:214).

Perkara yang dibenci pada masa kini boleh menjadi sumber kebaikan pada masa hadapan. Ini menuntut suami isteri meyakini bahawa Allah SWT adalah sebaik-baik perancang dan setiap ketentuan-Nya adalah yang terbaik bagi hamba-Nya walaupun kadangkala sukar difahami (Rashīd Ridā, Tafsīr al-Manār, 4:374).

Contohnya, dalam menghadapi ketidakpuasan hati terhadap pasangan, suami isteri perlu sedar bahawa tindakan atau perilaku yang tidak disukai bukanlah pengakhiran tetapi sebahagian daripada proses yang boleh membawa penambahbaikan jika bersabar dan terus bergantung kepada Allah SWT. Suami isteri tidak seharusnya terlalu bergantung kepada pasangan untuk menyelesaikan masalah sebaliknya, pengharapan dan pergantungan penuh harus diletakkan kepada Allah SWT sebagai sumber kekuatan utama.

Pengharapan penuh kepada Allah SWT juga membentuk niat ikhlas dalam setiap tindakan suami isteri. Dalam usaha memperbaiki hubungan, suami isteri tidak seharusnya mengharapkan balasan langsung daripada pasangan. Sebaliknya, setiap perbuatan perlu diniatkan sebagai ibadah kepada Allah SWT.

Sebagai contoh, jika isteri berusaha memperbaiki hubungan dengan suami, dia seharusnya berharap agar setiap kebaikan yang dilakukan diterima oleh Allah SWT dan membawa pahala di akhirat, bukan untuk pujian atau balasan segera daripada suami. Begitu juga, suami yang berbuat baik kepada isteri harus melakukannya dengan niat tulus demi meraih keredaan Allah SWT tanpa mengharapkan pengiktirafan atau balasan daripada pasangan (Al-Rāzī, Tafsīr al-Kabīr, 10:12).

Setiap nikmat dalam hubungan seperti kasih sayang dan kebahagiaan, harus dilihat sebagai kurniaan daripada Allah SWT. Bagi suami isteri yang merasakan perkahwinan tidak mencapai kebahagiaan, dia perlu bersabar dan yakin bahawa kesabaran dalam menghadapi kesulitan akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT (Ṭanṭāwī, Al-Tafsīr Al-Wasīṭ lil Qur’ān Al-Karīm, 3:93).

Allah SWT tidak akan mensia-siakan usaha dan pengorbanan suami isteri yang berbuat baik dalam perkahwinan dan setiap kesabaran dalam menghadapi ujian rumah tangga akan dihargai dengan ganjaran yang lebih besar di sisi-Nya. Ujian ini harus diterima dengan hati yang reda.

Ingatlah Allah SWT menjanjikan pahala yang tidak terhingga bagi mereka yang bersabar sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Surah Az-Zumar 39:10)

Pengharapan dan keyakinan kepada Allah SWT memberi kesan mendalam terhadap cara suami isteri menangani konflik rumah tangga. Apabila suami isteri yakin bahawa Allah SWT akan memberikan pertolongan dan penyelesaian terbaik, mereka lebih mudah menghadapi masalah dengan sikap positif. Konflik tidak lagi dilihat sebagai krisis yang tidak dapat diselesaikan tetapi sebagai peluang untuk memperbaiki hubungan dengan lebih mendalam.

Dengan pengharapan ini, suami isteri juga lebih tenang menghadapi tekanan dan cabaran kerana mengetahui bahawa setiap ujian adalah sebahagian daripada takdir dan perancangan Allah SWT (Ibn ‘Āshūr, Al-Taḥrīr wa Al-Tanwīr, 4:287) sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran) dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.” (Surah At-Taubah 9:26)

Ini menunjukkan bahawa ketenangan hati hanya dapat diperoleh oleh mereka yang benar-benar beriman iaitu yang yakin, bergantung sepenuhnya dan menyerahkan setiap urusan kepada Allah SWT. Keyakinan dan pergantungan ini membolehkan suami isteri menghadapi ujian rumah tangga dengan tenang, tanpa cemas atau tergesa-gesa kerana mereka tahu bahawa segala sesuatu berada dalam perancangan Allah SWT.

Bersama keyakinan dan pengharapan kepada Allah SWT, suami isteri juga perlu mengamalkan doa berterusan untuk memohon pertolongan-Nya dalam menyelesaikan masalah rumah tangga. Doa adalah bentuk pengabdian diri kepada-Nya dan pengakuan bahawa segala penyelesaian datang daripada-Nya. Sikap bersangka baik kepada Allah SWT sangat penting untuk mengekalkan ketenangan hati kerana dengan berlapang dada dan menerima ketentuan-Nya, setiap cabaran dalam hubungan dapat dihadapi dengan lebih mudah.

Akhirnya, dengan pengharapan, keyakinan dan kepercayaan yang mendalam kepada Allah SWT, suami isteri lebih mampu mengurus ujian rumah tangga dengan sabar, tabah dan tenang. Sikap ini bukan sahaja memperbaiki hubungan dengan pasangan tetapi juga membawa kedamaian hati dan ketenangan dalam menghadapi kehidupan perkahwinan yang penuh cabaran. Inilah asas untuk membina rumah tangga yang bahagia dan diredai Allah SWT.