Pencerobohan ikan bandaraya akibat kecuaian kita

Bukti lapangan dan pemerhatian saintifik menunjukkan bahawa ikan bandaraya kini mendominasi banyak sungai bandar, khususnya di kawasan metropolitan

Feature Image

Oleh: NUR ZULAIKHA ABDUL WAHAB dan HASMAHZAITI OMAR

SUNGAI di kawasan bandar sering dianggap sebagai ruang semula jadi yang telah ‘rosak’ dan tidak lagi mampu berfungsi sebagai ekosistem sebenar. Justeru, ada pihak beranggapan bahawa kemunculan spesies asing seperti ikan bandaraya bukanlah satu masalah besar, malah dilihat sebagai penyesuaian semula jadi terhadap persekitaran bandar yang tercemar.

Namun, pandangan ini wajar dipertikaikan kerana sungai bandar tetap merupakan sistem ekologi hidup yang menyokong kesejahteraan manusia dan biodiversiti tempatan, manakala pencerobohan ikan bandaraya (Pterygoplichthys spp.) jelas membuktikan bagaimana sikap manusia yang cuai telah mempercepatkan keruntuhan ekosistem ini.

Ada yang berhujah bahawa ikan bandaraya membantu ‘membersihkan’ sungai kerana sifatnya memakan alga dan sisa organik. Hujah ini sering dijadikan alasan untuk menormalisasikan kehadirannya di sungai bandar, namun dari sudut ekologi dan penyelidikan, fungsi pembersihan ini hanya terbukti berkesan dalam persekitaran terkawal seperti akuarium.

Dalam sistem sungai terbuka yang kompleks, interaksi antara organisma, aliran air dan sedimen menjadikan peranan tersebut tidak signifikan. Malah, beberapa kajian menunjukkan bahawa aktiviti pemakanan ikan bandaraya boleh mengganggu sedimen dasar sungai, seterusnya meningkatkan kekeruhan air dan menjejaskan organisma akuatik lain.

Bukti lapangan dan pemerhatian saintifik menunjukkan bahawa ikan bandaraya kini mendominasi banyak sungai bandar, khususnya di kawasan metropolitan. Dominasi ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil keupayaan fisiologi ikan bandaraya yang mampu bernafas dalam keadaan oksigen terlarut yang rendah serta toleran terhadap pencemaran.

Penyelidikan ekologi mendapati bahawa ciri-ciri ini memberi kelebihan besar kepada spesies invasif dalam persekitaran bandar, manakala ikan tempatan yang lebih sensitif semakin terpinggir. Keadaan ini menimbulkan persoalan penting sama ada kepupusan ikan asli wajar diterima sebagai harga pembangunan bandar, sedangkan kepelbagaian biodiversiti merupakan asas kestabilan ekosistem jangka panjang.

Dari sudut ekologi fizikal, ikan bandaraya bukan sekadar bersaing dengan ikan tempatan, malah mengubah struktur sungai. Aktiviti penggalian lubang pada tebing sungai untuk tujuan pembiakan telah direkodkan dalam kajian sebagai faktor penyumbang kepada hakisan dan ketidakstabilan tebing. Walaupun pembangunan dan pengubahsuaian fizikal sungai berasaskan struktur kejuruteraan keras sering dipersalahkan, penyelidikan menunjukkan bahawa kesan kumulatif antara faktor fizikal dan biologi mempercepatkan degradasi sungai. Dalam jangka panjang, perubahan ini meningkatkan risiko banjir kilat dan kerosakan infrastruktur bandar, sekali gus mengaitkan isu biologi dengan keselamatan manusia.

Tambahan pula, kekurangan pemangsa semula jadi menyebabkan populasi ikan bandaraya berkembang tanpa kawalan. Badannya yang keras dan berduri mengurangkan kadar pemangsaan oleh spesies tempatan, manakala dari sudut kajian rantaian makanan, keadaan ini mewujudkan ketidakseimbangan trofik apabila satu spesies mendominasi biomassa sungai. Tingkah laku ikan bandaraya yang melekat pada badan ikan lain untuk memakan lendir telah dikenal pasti sebagai faktor yang meningkatkan tekanan fisiologi terhadap ikan tempatan, menyebabkan kecederaan, jangkitan dan kematian. Jika keadaan ini berterusan, penyelidikan meramalkan sungai bandar akan berubah menjadi sistem ekologi yang miskin spesies dan kurang berfungsi.

Dari sudut penyelidikan, isu ikan bandaraya turut mendedahkan jurang pengetahuan yang ketara. Walaupun kewujudannya jelas, data jangka panjang mengenai kadar pembiakan, pergerakan populasi dan kesan kumulatif terhadap kualiti air masih terhad, yang menyukarkan pembentukan dasar pengurusan yang berkesan. Pendekatan penyelidikan moden seperti analisis DNA persekitaran (eDNA), pemantauan populasi jangka panjang dan pemodelan ekologi sepatutnya dimanfaatkan bagi memahami skala sebenar pencerobohan spesies ini. Tanpa sokongan data saintifik yang kukuh, tindakan pengurusan sering bersifat reaktif dan sementara.

Dari sudut sosial dan ekonomi, ada yang berhujah bahawa kehilangan ikan asli di sungai bandar tidak memberi kesan besar kerana sungai tersebut bukan lagi sumber utama perikanan. Namun hujah ini bercanggah dengan dapatan kajian sosial bandar yang menunjukkan sungai masih memainkan peranan penting sebagai ruang rekreasi, pemancingan dan sumber kesejahteraan komuniti. Penurunan hasil tangkapan dan dominasi ikan bandaraya dalam aktiviti memancing memberi kesan psikologi dan ekonomi kepada masyarakat setempat, sekali gus mengurangkan nilai sosial sungai bandar.

Kos pengurusan sungai yang semakin meningkat juga sering dipandang remeh. Dari perspektif analisis kos-faedah, penyelidikan menunjukkan bahawa kos pencegahan melalui pendidikan awam dan penguatkuasaan undang-undang adalah jauh lebih rendah berbanding kos pemulihan ekosistem selepas kerosakan berlaku. Ini membuktikan bahawa pelaburan awal dalam penyelidikan dan kesedaran awam bukan sahaja bermanfaat kepada alam sekitar, malah lebih menjimatkan dalam jangka panjang.

Dalam mencari penyelesaian, terdapat cadangan untuk memanfaatkan ikan bandaraya sebagai sumber alternatif seperti baja atau makanan ternakan. Walaupun idea ini kelihatan pragmatik, penyelidikan perlu menilai risiko jangka panjangnya kerana tanpa kawalan saintifik yang ketat, pendekatan ini berpotensi mewujudkan kebergantungan ekonomi terhadap spesies invasif, sekali gus melemahkan usaha pemulihan biodiversiti asal.

Oleh itu, pendidikan awam harus menjadi teras utama penyelesaian, disokong oleh penyelidikan saintifik yang berterusan. Isu ikan bandaraya wajar dijadikan kajian kes sebenar bagaimana tindakan individu seperti melepaskan haiwan peliharaan boleh membawa kesan besar terhadap ekosistem bandar. Pendidikan berasaskan sains di sekolah, kempen komuniti dan penyebaran maklumat yang tepat mampu membentuk sikap masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

Pencerobohan ikan bandaraya di sungai bandar Malaysia bukan isu remeh atau fenomena semula jadi, sebaliknya hasil langsung kecuaian dan salah faham manusia terhadap alam sekitar. Prinsip “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga” wajar dijadikan pedoman dalam pengurusan hidupan liar bandar, kerana satu tindakan cuai mampu merosakkan keseluruhan ekosistem sungai. Tanpa perubahan sikap masyarakat dan pendekatan bersepadu yang menjadikan penyelidikan sebagai asas dasar, sungai bandar akan terus kehilangan fungsinya sebagai ekosistem dan akhirnya manusia sendiri yang menanggung akibatnya.

* Nur Zulaikha Abdul Wahab ialah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekologi & Biodiversiti, Program Ekologi & Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya dan Profesor Madya Dr Hasmahzaiti Omar ialah Pensyarah Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.