Pekerja muda perlu kuasai beberapa kemahiran untuk berdaya saing
Terdapat beberapa kemahiran yang mesti menjadi tumpuan pembangunan untuk generasi pekerja akan datang.
KEMAJUAN teknologi dan kemunculan kecerdasan buatan (AI) telah mengubah tuntutan tempat kerja. Walaupun generasi muda dikenali sebagai golongan yang mudah menyesuaikan diri dan celik teknologi, pengurusan syarikat-syarikat besar bertaraf antarabangsa percaya bahawa banyak kemahiran masih belum dibangunkan dalam kalangan pekerja muda.
Untuk kekal berdaya saing, terdapat beberapa kemahiran yang mesti menjadi tumpuan pembangunan untuk generasi pekerja akan datang. Daripada kajian yang dijalankan oleh majalah Education Week, mereka mendapati terdapat beberapa kemahiran yang perlu pekerja muda fokus untuk kuasai.
Kemahiran Insaniah
Ramai eksekutif percaya bahawa ramai pekerja muda lebih unggul dari segi teknikal tetapi masih kekurangan kemahiran kemanusiaan yang bersifat interpersonal. Kebolehan berkomunikasi, bekerjasama, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dan pemikiran mereka sering kali tidak cukup kritikal.
Sesetengah syarikat antarabangsa juga terpaksa menyediakan latihan tambahan untuk meningkatkan keyakinan pekerja muda dalam berucap, menyampaikan idea dan mengekalkan profesionalisme digital mereka.Kekurangan kemahiran kemanusiaan dan insaniah ini dianggap sebagai penghalang utama yang menghalang pekerja muda daripada berprestasi optimum di tempat kerja.
Literasi Digital dan AI
Walaupun golongan muda telah membesar dengan teknologi, ramai yang masih tidak dapat menggunakannya secara strategik dalam konteks kerja. Contohnya eksekutif dari IBM hingga Microsoft menekankan bahawa literasi AI kini merupakan kemahiran yang sangat dicari-cari.
Ini bagi membolehkan pekerja muda mendefinasikan kcerdasan buatan dengan betul. Kecerdasan buatan itu hanyalah alat bantuan dan otak manusia yang kreatif masih amat diperlukan dalam memacu kecerdasan buatan.
Walau bagaimanapun, pekerja muda sering keliru tentang cara menggunakan AI dengan betul, cara mengesahkan hasilnya dan cara memastikan penggunaannya yang beretika. Dalam era di mana AI semakin disepadukan ke dalam setiap fungsi pekerjaan, kemahiran ini menjadi keperluan asas bagi sesiapa sahaja yang ingin bersaing.
Penguasaan Teknikal yang Lebih Mendalam
Selain kemahiran insaniah dan literasi digital, sesetengah sektor memerlukan kemahiran teknikal yang lebih khusus. Dalam keselamatan siber, sebagai contoh, permintaan untuk keselamatan awan dan pakar keselamatan yang dipacu kecerdasan buatan terus berkembang, tetapi golongan muda yang mempunyai kecekapan yang sebenar masih terhad.
Industri teknologi juga menyatakan bahawa pekerja muda masih bergelut dengan situasi yang samar-samar atau membuat keputusan tanpa panduan terperinci. Malah dalam pembuatan dan kewangan, kemahiran analisis asas dan literasi kewangan kekal sebagai kekurangan biasa.
Gabungan Kemahiran adalah Kunci kepada Daya Saing
Para eksekutif juga bersetuju bahawa pekerja muda yang berdaya saing adalah mereka yang dapat mengimbangi kemahiran teknikal dan insaniah. Kemahiran AI, pemikiran kritis, komunikasi yang berkesan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dan bekerjasama semakin menentukan kerjaya untuk pekerja muda.
Menggalakkan Pembangunan Kemahiran Pekerja Muda
Pekerja muda boleh membangunkan kemahiran penting ini melalui strategi seperti pembelajaran kendiri, kesukarelawanan dan latihan tetapi cara terbaik untuk memperoleh kemahiran ini adalah melalui program dan inisiatif yang disasarkan. Kemahiran ini boleh di bangunkan melalui program perantisan, latihan amali, bimbingan serta latihan dan kajian bagaimana setiap pilihan boleh membantu belia bersedia untuk berjaya di tempat kerja.
Program perantis
Perantisan merupakan program latihan berasaskan kerja yang direka untuk mengajar pekerja muda kemahiran praktikal yang diperlukan untuk pekerjaan tertentu. Ia menggabungkan latihan di tempat kerja dengan pembelajaran dalam bilik darjah dan distrukturkan oleh majikan untuk menyediakan perantis dengan pemahaman yang komprehensif tentang profesion tertentu.
Dengan menawarkan keseimbangan antara pengetahuan teori dan pengalaman kerja praktikal, program perantis menyediakan platform yang sangat baik untuk individu muda memperoleh kemahiran teknikal khusus pekerjaan dan beralih dengan lancar ke dunia pekerjaan sebenar.
Latihan Amali
Latihan amali merupakan jawatan sementara yang ditawarkan oleh syarikat untuk pelajar atau graduan baru. Ini biasanya berlangsung selama beberapa bulan. Ia membolehkan pekerja muda memperoleh pengalaman praktikal dalam industri atau peranan tertentu, selalunya tanpa tanggungjawab penuh sebagai pekerja tetap. Latihan amali boleh dibayar atau tidak dibayar dan ia sering berlaku semasa cuti musim semester atau tahun akhir kursus.
Melalui latihan amali, golongan pekerja muda dapat memperoleh pemahaman yang komprehensif tentang dunia pekerjaan, mengembangkan kemahiran penting, dan membuat keputusan termaklum tentang laluan kerjaya mereka. Latihan amali membantu merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan dunia profesional.
Melalui program sebegini, pekerja muda boleh mengakses latihan, sokongan dan laluan kepada pekerjaan tetap yang bermakna. Mereka juga dapat membangunkan kemahiran melalui program pekerjaan untuk lebih berdaya saing dalam pasaran kerja dan boleh membantu majikan meningkatkan produktiviti organisasi.

