Membela nasib anjing dan kucing terbiar bukan sekadar melepas batuk di tangga
Isu haiwan terbiar bukanlah kegagalan haiwan menyesuaikan diri tetapi kegagalan manusia.
Oleh: AYU AZNYZAN BINTI MAHRULNIZAM dan HASMAHZAITI OMAR
ANJING dan kucing terbiar tidak seharusnya dilihat sebagai isu remeh yang boleh diselesaikan melalui simpati semata-mata.
Kehadiran haiwan-haiwan ini di lorong sempit, pasar awam, kawasan perumahan dan jalan raya bandar bukan sekadar fenomena biasa kehidupan urban sebaliknya merupakan petunjuk jelas kegagalan pengurusan bandar serta kecuaian manusia dalam memikul tanggungjawab sosial.
Sikap masyarakat yang memilih untuk menormalkan kewujudan haiwan terbiar mencerminkan keengganan bersama untuk mengakui bahawa bandar kini berdepan krisis yang melibatkan kebajikan haiwan, kesihatan awam dan keseimbangan ekosistem.
Lebih membimbangkan, ada pihak yang cuba membenarkan masalah ini atas alasan belas kasihan, seolah-olah simpati tanpa tindakan mampu menyelesaikan isu yang berpanjangan.
Punca utama peningkatan populasi anjing dan kucing terbiar sebenarnya daripada tingkah laku manusia. Pembuangan haiwan peliharaan oleh pemilik yang tidak bertanggungjawab, pembiakan tanpa kawalan serta kegagalan mendidik masyarakat tentang komitmen jangka panjang terhadap haiwan menyumbang secara langsung kepada krisis ini.
Haiwan yang ditinggalkan tidak lenyap daripada persekitaran bandar sebaliknya, mereka menyesuaikan diri, membiak dan membentuk populasi liar yang bergantung kepada sisa makanan manusia. Amalan memberi makan tanpa kawalan sering dianggap sebagai perbuatan ihsan, namun hakikatnya ia hanya mengekalkan kebergantungan dan mempercepatkan pertumbuhan populasi tanpa penyelesaian mampan.
Keadaan ini menegaskan bahawa isu haiwan terbiar bukanlah kegagalan haiwan menyesuaikan diri tetapi kegagalan manusia mengurus tanggungjawab mereka.
Implikasi terhadap ekosistem bandar pula tidak boleh dipandang ringan. Populasi anjing dan kucing terbiar memberi tekanan langsung kepada fauna bandar melalui persaingan sumber dan aktiviti pemburuan terhadap spesies kecil seperti burung, reptilia dan mamalia kecil.
Kesan ini sering berlaku secara perlahan dan kurang ketara, namun dalam jangka panjang ia mengubah struktur ekologi bandar. Apabila spesies tertentu ditekan atau pupus secara setempat, keseimbangan rantaian makanan turut terganggu.
Justeru, hujah bahawa persekitaran bandar telah ‘rosak’ dan tidak lagi memerlukan perlindungan merupakan alasan yang longgar dan hanya berfungsi untuk menjustifikasikan kecuaian berterusan.
Daripada perspektif kesihatan awam, isu ini membawa risiko yang jauh lebih serius. Anjing dan kucing terbiar berpotensi menjadi pembawa penyakit zoonotik yang boleh membawa maut. Penyakit seperti rabies bukan sekadar ancaman teori tetapi realiti yang telah meragut nyawa manusia.
Setiap interaksi antara manusia dan haiwan yang tidak divaksin membawa risiko kesihatan, khususnya kepada kanak-kanak dan golongan rentan. Oleh itu, usaha mempertahankan kewujudan populasi haiwan terbiar atas alasan mereka ‘tidak mengganggu’ sebenarnya mengabaikan prinsip keselamatan awam.
Sesebuah bandar tidak boleh dianggap moden atau selamat jika risiko penyakit berbahaya dibiarkan berlegar di ruang awam.
Dalam perbincangan umum, kebajikan haiwan sering digunakan sebagai alasan emosi untuk menolak langkah kawalan populasi seperti penangkapan, pemandulan atau pengurusan yang lebih tegas.
Namun persoalan yang lebih wajar diajukan ialah sama ada membiarkan haiwan hidup dalam keadaan kebuluran, kecederaan, dilanggar kenderaan dan mati tanpa rawatan benar-benar mencerminkan nilai kemanusiaan.
Haiwan terbiar di bandar berdepan tekanan hidup yang berterusan akibat kekurangan makanan, rawatan dan perlindungan. Sehubungan itu, penolakan terhadap intervensi perlu diteliti semula agar simpati tidak bertukar menjadi pengabaian.
Pihak berkuasa bandar telah melaksanakan pelbagai pendekatan pengurusan termasuk penangkapan, rawatan asas, pemandulan dan program pengambilan haiwan angkat. Walau bagaimanapun, realiti di lapangan menunjukkan bahawa jumlah haiwan terbiar yang tinggi menyebabkan sistem pengurusan ini sentiasa berada di bawah tekanan.
Apabila populasi tidak terkawal, masalah sekunder seperti pengurusan bangkai haiwan turut timbul, menandakan bahawa isu ini telah mencapai tahap yang kritikal. Tanpa penglibatan aktif masyarakat, usaha pihak berkuasa cenderung bersifat reaktif dan tidak mampu menawarkan penyelesaian jangka panjang.
Di sinilah peranan masyarakat bandar perlu dinilai secara kritikal kerana keputusan beremosi tanpa tanggungjawab akhirnya membawa kerugian bersama diibaratkan menang sorak, kampung tergadai.
Pemilikan haiwan bukanlah hak mutlak yang terpisah daripada kewajipan moral. Setiap individu yang memilih untuk memelihara haiwan bertanggungjawab memastikan vaksinasi, pemandulan dan penjagaan sepanjang hayat haiwan tersebut.
Pendidikan awam tentang pemilikan beretika perlu diperkasakan secara berterusan dan dijadikan norma sosial, bukan sekadar kempen bermusim.
Pengambilan anak angkat wajar diutamakan berbanding pembelian haiwan yang didorong oleh trend atau emosi sesaat. Selagi sikap lepaskan batuk di tangga terus menjadi budaya, masalah haiwan terbiar akan terus berulang walaupun pelbagai program diperkenalkan.
Ditegaskan bahawa isu anjing dan kucing terbiar di bandar bukan sekadar persoalan emosi atau belas kasihan sebaliknya mencerminkan kegagalan tadbir urus, kelemahan etika masyarakat serta pengabaian terhadap pengurusan ekosistem bandar yang wajar dititikberatkan.
Membiarkan masalah ini berlarutan bermakna kita secara sedar memilih untuk hidup dalam persekitaran bandar yang tidak selamat, tidak seimbang dan tidak berperikemanusiaan. Penyelesaian terhadap isu ini menuntut ketegasan dasar, keberanian politik serta perubahan sikap kolektif masyarakat.
Bandar merupakan ekosistem hidup yang menuntut tanggungjawab bersama; selagi manusia enggan memikul peranan tersebut, selagi itulah anjing dan kucing terbiar akan terus menjadi mangsa kepada kealpaan manusia sendiri.
* Ayu Aznyzan Mahrulnizam ialah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekologi & Biodiversiti, Program Ekologi & Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya manakala Profesor Madya Dr Hasmahzaiti Omar ialah Pensyarah Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

