Cabaran menghapus jurang tatakelola dalam penglibatan awam

Dasar diumumkan dengan angka dan akronim, dibentangkan dengan kemas, namun gagal menyentuh realiti kehidupan seharian rakyat.

Feature Image (1)

KEGAGALAN sesuatu dasar biasanya bukan berpunca daripada niat yang salah tetapi daripada cara ia dikomunikasikan. Dasar diumumkan dengan angka dan akronim, dibentangkan dengan kemas, namun gagal menyentuh realiti kehidupan seharian rakyat.

Di sinilah komunikasi dasar sepatutnya bermula, bukan di pentas pengumuman tetapi di ruang pemahaman bersama antara kerajaan dan masyarakat yang akan menerima limpahan ekonomi atau menanggung kesannya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sesi Libat Urus (SLU) semakin diberikan tempat dalam wacana tadbir urus. Namun, SLU hanya bermakna jika ia difahami sebagai satu amalan berterusan, bukan acara berkala yang berakhir dengan laporan.

Libat urus yang sebenar mengandaikan bahawa suara rakyat bukan sekadar didengar tetapi mempunyai implikasi terhadap keputusan. Apabila pandangan komuniti diterjemahkan kepada keutamaan dasar dan peruntukan belanjawan yang jelas, participatory budgeting tidak lagi menjadi jargon teknokratik tetapi satu bentuk demokrasi yang boleh dirasai.

Sesetengah kerajaan membangunkan garis panduan (seperti dokumen OECD dan USDOT) untuk berkongsi pengalaman serta mempiawaikan amalan libat urus berkualiti tinggi. Amalan ini mampu membentuk budaya di mana tadbir urus bukan sahaja untuk rakyat tetapi bersama rakyat sebagai amalan tata kelola yang baik dan menghasilkan pelan dan dasar yang disokong rakyat dan dapat dilaksanakan dengan baik.

SLU perlu melangkaui “wajah-wajah biasa” yang hadir ke setiap mesyuarat, tiadanya halangan penyertaan supaya golongan muda, pekerja, minoriti, penduduk luar bandar dan golongan rentan turut boleh menyumbang. Ia juga melibatkan pemilihan lokasi dan format yang inklusif, mengambil contoh sebuah majlis perbandaran di Canada, “membawa proses kepada masyarakat” dengan membuka ruang di lokasi popular (jalan utama, perpustakaan) berbanding mengharapkan orang ramai hadir ke dewan.

Menjadualkan sesi pada waktu berbeza (malam, hujung minggu) serta menyediakan penjagaan anak atau elaun boleh memperluaskan lagi penyertaan. Garis panduan OECD mengenai penyertaan warga turut menegaskan keperluan mereka bentuk proses yang inklusif merangkumi umur, latar belakang dan keupayaan berbeza kerana akses yang saksama bukan sahaja adil malah memperkaya input agar tiada sesiapa tertinggal.

Literasi dan koordinasi

Di peringkat negeri dan kerajaan tempatan, pelaksana dasar sering menjadi wajah pertama kerajaan kepada rakyat. Namun, tanpa latihan dan pendidikan yang mencukupi, mereka dibebani dengan tanggungjawab menyampaikan dasar yang kadangkala mereka sendiri tidak benar-benar kuasai.

Komunikasi awam yang berkesan menuntut lebih daripada penguasaan teknikal, ia memerlukan keupayaan menterjemah dasar kepada bahasa rakyat iaitu bahasa yang menjawab persoalan “mengapa ini penting kepada saya” dan “bagaimana hidup saya akan berubah selepas ini”.

Apabila dasar gagal difahami atau tidak mendapat sokongan, penjelasan yang sering diberikan ialah rakyat kononnya kurang literasi politik. Naratif ini mudah, selesa dan akhirnya tidak jujur. Hakikatnya, kebanyakan rakyat Malaysia memahami politik dengan cara yang sangat praktikal. Mereka tahu di mana kuasa sebenar berada.

Mereka tahu bahawa dalam sistem kerajaan tempatan yang tidak mempunyai kuasa kewangan dan membuat keputusan, banyak isu tidak boleh diselesaikan di peringkat paling hampir dengan mereka. Pilihan rakyat untuk terus merujuk kepada ahli Parlimen, menteri atau Perdana Menteri bukan tanda kejahilan politik.

Ia adalah respons rasional terhadap pemusatan kuasa yang telah lama berakar. Pemusatan ini bukan berlaku semalam, dan bukan kesalahan satu pentadbiran. Ia dibentuk melalui dekad pentadbiran yang menyusun kuasa, sumber dan keputusan di peringkat pusat, sementara kerajaan tempatan kekal sebagai pelaksana tanpa mandat sebenar.

Dalam keadaan ini, adalah tidak adil untuk menuntut rakyat “memahami proses” sedangkan proses itu sendiri tidak memberi mereka penyertaan yang bermakna.

Di sinilah kepentingan desentralisasi menjadi jelas. Desentralisasi bukan sekadar pemindahan tugas, tetapi pemindahan kuasa, sumber dan kebertanggungjawaban ke peringkat yang paling hampir dengan rakyat.

Apabila kerajaan tempatan mempunyai autonomi sebenar, sesi libat urus menjadi relevan, penyertaan rakyat menjadi rasional dan kepercayaan terhadap institusi awam dapat dibina semula. Tanpa desentralisasi, komunikasi dasar walau sebaik mana sekalipun akan terus berlegar dalam ruang retorik dan kelompok-kelompok yang sama.

Projek mega atau projek berimpak tinggi?

Dalam konteks ini juga, pilihan antara projek mega dan projek berimpak tinggi menjadi persoalan nilai. Projek mega sering menjanjikan simbol kemajuan tetapi projek berimpak tinggi walaupun kecil dari segi skala lebih dekat dengan periuk nasi masyarakat.

Jalan yang dibaiki, sistem perparitan yang berfungsi, klinik komuniti yang diperkasa, semua ini jarang menjadi tajuk utama tetapi cukup untuk mengubah persepsi rakyat terhadap kehadiran negara dalam kehidupan mereka.

Semua ini bergantung kepada satu prasyarat yang sering diambil mudah iaitu data. Tanpa data bersepadu antara kerajaan tempatan dan pusat, dasar dibina atas anggaran dan rasa-rasa. Namun pendigitalan semata-mata tidak mencukupi.

Literasi digital dan akses yang saksama perlu berjalan seiring agar transformasi digital tidak mencipta jurang baharu antara mereka yang didengar dan mereka yang terus terpinggir. Penyertaan bermakna mestilah penyertaan yang adil, memberikan suara kepada mereka yang biasanya tersisih.

Tuntasnya, walaupun istilah seperti “libat urus” atau “maklum balas” digunakan, struktur kuasa yang tidak berubah menyebabkan komunikasi itu bersifat simbolik. Dalam praktik desentralisasi, penyertaan rakyat mempunyai implikasi sebenar.

Sebaliknya, dalam sistem yang terpusat, komunikasi menjadi ritual. Rakyat menilai komunikasi bukan melalui keindahan naratif dan laras bahasa yang cantik, tetapi melalui implikasi dasar.

Komunikasi dasar atau penyampaian dasar awam yang berkesan memerlukan satu ekosistem kepercayaan yang mana rakyat bukan sahaja memahami dasar, bukan sahaja diberi ruang bercakap beberapa minit tetapi turut terlibat sepanjang proses perancangan membentuk dasar yang kelak akan memberi kesan kepada kehidupan mereka.