237 pasangan berentap selama 14 jam pada Karom Beregu Piala TNC HEP UM

Sukan tradisional dari Asia Selatan ini masih relevan dan berupaya menyatukan masyarakat.

Feature Image (2)

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Kejohanan Karom Beregu Piala TNC HEP Universiti Malaya yang berlangsung pada 11 Januari 2026 mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya menghimpunkan seramai 237 pasangan peserta dari seluruh negara, merangkumi pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Kejohanan yang berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam itu bukan sahaja menyajikan persaingan sengit, malah membuktikan bahawa sukan tradisional dari Asia Selatan ini masih relevan dan berupaya menyatukan masyarakat.

Program ini dianjurkan oleh Misi Kemanusiaan Tempatan Borneo (MKTB), sebuah projek sukarelawan di bawah Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM), dengan kerjasama Persatuan Karom Universiti Malaya.

Kejohanan itu berlangsung di Dewan Al-Malik Faisal, Kolej Kediaman Ke-13 dan menerima sambutan amat menggalakkan daripada pelajar universiti serta peserta awam daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sepanjang pertandingan yang berlangsung pada hari Ahad itu, para peserta mempamerkan tahap kemahiran dan strategi yang tinggi dalam usaha merebut hadiah utama wang tunai bernilai RM2,000.

Selepas melalui beberapa pusingan perlawanan yang sengit dan mendebarkan sehingga ke waktu malam, pasukan Kelab Karom Dato’ Zul Wisma muncul sebagai Juara Keseluruhan kejohanan.

Kejohanan ini membuktikan bahawa karom bukan sekadar permainan tradisional, malah merupakan sukan strategik yang mampu mencabar minda, menguji kemahiran serta mengeratkan hubungan komuniti. Penganjuran berskala besar ini juga menjadi langkah penting dalam memastikan sukan karom terus berkembang dan tidak dilupakan arus pemodenan.

Selain pertandingan utama, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bagi memeriahkan suasana. Pengunjung berpeluang menikmati jualan makanan dan minuman seperti lemon ais, teh tarik, makanan ringan serta sate ayam dan daging.

Permainan mini seperti Bubble Mania dan Gel Blaster turut menjadi tarikan utama dan menerima sambutan menggalakkan. Inisiatif ini bukan sahaja menambah kemeriahan program, malah membantu pengumpulan dana untuk MKTB serta membuka peluang keusahawanan kepada para pelajar.

Secara keseluruhannya, kejohanan ini membuktikan bahawa dengan perancangan rapi, sokongan institusi dan penyertaan masyarakat, sukan tradisional seperti karom mampu diangkat sebagai acara berprestij yang memberi impak positif dan berpotensi terus berkembang pada masa hadapan.