Skandal di pejabat: Hak peribadi atau barah integriti?
Universiti awam merupakan badan berkanun yang memikul amanah awam, menjunjung integriti ilmiah serta mengekalkan kepercayaan masyarakat secara keseluruhan.

SABAN hari, kita sering dihidangkan dengan pelbagai berita pelanggaran etika yang bermula daripada satu perkenalan ringkas di pejabat, membawa kepada hubungan sulit dan akhirnya berakhir dengan penuh kedukaan di meja Lembaga Tatatertib.
Sering kali, pelakunya beranggapan bahawa apa yang dilakukan atas dasar suka sama suka di luar waktu pejabat tidak akan memberi kesan kepada kerjaya, namun hakikatnya dalam dunia perkhidmatan awam, integriti tidak pernah “punch out” pada pukul 5 petang.
Universiti awam bukan sekadar institusi pengajian tinggi, sebaliknya merupakan badan berkanun yang memikul amanah awam, menjunjung integriti ilmiah serta mengekalkan kepercayaan masyarakat secara keseluruhan.
Justeru, tingkah laku setiap warga universiti, sama ada kakitangan akademik mahupun pentadbiran, dinilai bukan sahaja dari aspek prestasi kerja tetapi juga dari sudut akhlak dan etika sebagai sebahagian daripada tanggungjawab institusi.
Dalam realiti pentadbiran hari ini, isu skandal atau hubungan sulit sering menjadi topik hangat yang lazimnya dipertahankan oleh pelaku sebagai urusan peribadi yang tidak wajar dicampuri oleh pihak pengurusan.
Isu ini sering menimbulkan dilema antara hak privasi individu dan tanggungjawab institusi. Namun demikian, konteks perundangan di Malaysia menunjukkan bahawa penentuan sama ada sesuatu hubungan sulit itu dianggap sebagai salah laku tidak dibuat berdasarkan sifat peribadi hubungan tersebut semata-mata.
Sebaliknya, penilaian turut mengambil kira kesan perbuatan berkenaan terhadap fungsi, nilai integriti, dan kedudukan Universiti sebagai institusi awam yang dihormati.
Apabila aduan berkaitan skandal terpaksa dikendalikan melalui proses rasmi, isu yang asalnya didakwa peribadi ini secara tidak langsung telah melibatkan kepentingan institusi serta menjejaskan keharmonian tempat kerja dan kepercayaan masyarakat.
Warga Universiti adalah tertakluk kepada Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib & Surcaj) 2000 atau Akta 605. Walaupun perbuatan skandal tidak dinyatakan secara khusus sebagai satu kesalahan tersendiri dalam akta tersebut, ia merangkumi larangan terhadap apa-apa perbuatan yang mencemarkan imej perkhidmatan awam atau bercanggah dengan nilai integriti.
Pendekatan perundangan ini memberikan ruang budi bicara kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk menilai sesuatu perbuatan secara kontekstual, dan bukan hanya menerima bulat-bulat alasan “hak peribadi” atau hujah bahawa perbuatan itu berlaku di luar tugas rasmi. Di sinilah wujudnya prinsip nexus atau kaitan nyata dengan kepentingan organisasi.
Kaitan ini menjadi sangat jelas apabila hubungan tersebut melibatkan unsur kuasa, pengaruh atau ketidakseimbangan kedudukan, contohnya hubungan antara pensyarah dengan pelajar atau pegawai atasan dengan bawahannya.
Walaupun hubungan itu berlaku atas dasar suka sama suka, ia tetap boleh dianggap sebagai pelanggaran etika profesionalisme kerana ia berpotensi mempengaruhi pertimbangan, keputusan, atau layanan yang sepatutnya dibuat secara objektif.
Keadaan ini secara langsung menimbulkan risiko besar kepada ketelusan dan keadilan dalam persekitaran kerja. Malah, Mahkamah Perindustrian dalam kes Farahtina binti Kassim v Malaysian Airline System Berhad telah mengesahkan bahawa organisasi berhak mengambil tindakan tatatertib apabila perbuatan peribadi pekerja mempunyai hubungan dengan kepentingan dan imej organisasi.
Ada juga yang keliru dengan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini dalam kes Lai Hen Beng v Public Prosecutor, yang memutuskan bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan (memikat isteri orang) adalah tidak berperlembagaan.
Perlu ditegaskan bahawa pembatalan seksyen tersebut hanyalah dari sudut liabiliti jenayah dan bukannya pengiktirafan bahawa hubungan sulit itu bebas daripada penilaian undang-undang yang lain. Dalam konteks perkhidmatan awam, penilaian tatakelakuan adalah tertakluk kepada kerangka yang berbeza.
Prosiding jenayah bertujuan menghukum kesalahan terhadap negara, manakala prosiding tatatertib bertujuan memelihara integriti perkhidmatan dan memastikan pematuhan etika warga Universiti. Oleh itu, sesuatu perbuatan yang bukan lagi kesalahan jenayah masih boleh dianggap sebagai pelanggaran tatakelakuan sekiranya ia mencemarkan imej institusi.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah menjelaskan melalui FAQ bertarikh 17 September 2024 bahawa hubungan sulit antara pegawai awam dengan mana-mana pihak, walaupun tidak ditularkan dan hanya diketahui oleh Ketua Jabatan, masih boleh ditafsirkan sebagai perlakuan yang mencemarkan nama perkhidmatan awam sekiranya ia terjumlah kepada perlakuan tidak bermoral.
Ini membuktikan bahawa penilaian tatakelakuan tidak bergantung kepada tahap publisiti sesuatu perlakuan tetapi kepada sifat perlakuan tersebut dan impaknya terhadap integriti perkhidmatan.
Untuk mengukuhkan lagi sistem sedia ada, institusi perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar menghukum melalui tindakan reaktif. Cadangan pertama adalah dengan memperkasakan pendidikan etika secara berkala yang menekankan bahawa profesionalisme tidak berakhir di luar pagar pejabat.
Kesedaran mengenai doktrin nexus perlu diterapkan melalui bengkel kesedaran supaya setiap warga kerja faham bahawa setiap tindakan mereka membawa imej organisasi. Selain itu, sistem sokongan dalaman seperti unit kaunseling perlu diperkuatkan untuk mengesan tanda-tanda awal konflik interpersonal yang boleh melarat menjadi isu tatatertib.
Pihak pengurusan juga wajar mempertimbangkan pewujudan kod etika atau garis panduan yang lebih khusus mengenai pengurusan konflik kepentingan dalam hubungan peribadi di tempat kerja. Ini termasuklah mekanisme “pengisytiharan hubungan” bagi mereka yang bekerja dalam rantaian penyeliaan yang sama demi melindungi keadilan dalam pentadbiran.
Sebagai kesimpulan, skandal atau hubungan sulit tidak boleh dipandang ringan hanya kerana ia dianggap sebagai pilihan peribadi. Sebagai warga Universiti dan penjawat awam, kita tertakluk kepada piawaian etika dan integriti yang lebih tinggi berbanding orang awam.
Sifat peribadi sesuatu hubungan tidak boleh mengatasi tanggungjawab institusi yang dipikul. Apabila perlakuan tersebut mencemarkan nama organisasi, menjejaskan keharmonian tempat kerja atau mempunyai kaitan dengan fungsi institusi, tindakan tatatertib adalah langkah yang sah dan perlu bagi mengekalkan kepercayaan umum.
Universiti mesti sentiasa kekal sebagai institusi yang berwibawa, profesional, dan utuh integritinya demi masa depan generasi yang bakal dilahirkan.

