Penyelidik UiTM kaji model pengurusan Wakaf An-Nur

konsep wakaf produktif telah diperkenalkan sebagai pendekatan pengurusan yang bertujuan memastikan aset wakaf mampu menjana lebihan serta keuntungan secara berterusan.

Feature Image (2)

KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 – Wakaf kini tidak lagi wajar dilihat semata-mata dari sudut syariah dan keagamaan, sebaliknya perlu diperluaskan sebagai satu platform ekonomi dan kewangan yang mampan bagi memperkukuh kesejahteraan ummah.

Seiring perkembangan ilmu wakaf oleh para sarjana dan cendekiawan Islam, konsep wakaf produktif telah diperkenalkan sebagai pendekatan pengurusan yang bertujuan memastikan aset wakaf mampu menjana lebihan serta keuntungan secara berterusan.

Badan wakaf yang progresif dan dinamik seperti Waqaf An-Nur Johor dilihat memainkan peranan penting dalam memperkukuh model pembangunan ekonomi Islam, sekali gus menjadikan wakaf sebagai sektor ekonomi ketiga yang berdaya maju selaras dengan aspirasi Islam.

Sehubungan itu, sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada gabungan tenaga akademik UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan UiTM Cawangan Johor telah menjalinkan kerjasama dalam bidang wakaf produktif. Mereka menjadikan Waqaf An-Nur sebagai subjek kajian bagi membangunkan model pengurusan wakaf yang lestari dan berpotensi diaplikasikan di peringkat antarabangsa.

Kumpulan penyelidik yang dikenali sebagai Entrepreneurial Management & Leadership Development (EMLD) melihat wakaf produktif sebagai platform terbaik untuk menjadi pemangkin pembangunan ekonomi ketiga negara, khususnya dalam penyediaan kemudahan kepada masyarakat seperti sektor kesihatan dan pendidikan.

Menurut kumpulan penyelidik itu, pengurusan wakaf produktif yang selari dengan keperluan semasa bukan sahaja mampu memberi manfaat kebajikan, malah berpotensi menjadi enjin pertumbuhan ekonomi yang menyumbang secara langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Usaha ini juga selaras dengan agenda kerajaan untuk memperkasakan institusi wakaf di Malaysia menerusi kerjasama strategik antara institusi agama dan badan korporat. Kerjasama bersama Waqaf An-Nur dan syarikat-syarikat korporat dijangka mampu memberi sumbangan besar kepada kelestarian pembangunan wakaf negara.

Kumpulan penyelidik tersebut diwakili oleh Dr. Muhammad Hafiz Ali, Dr. Nor Azairiah Fatimah Othman, Syazliana Kasim dan Afizan Amer.

Sementara itu, pihak Waqaf An-Nur Johor dalam kajian ini diwakili oleh Ketua Pembangunan Wakaf, Muhammad Syazwan Nasir; Ketua Bahagian Pematuhan Syariah, Syafiee Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Tadbir Urus, Md Aris Md Amin.