Keupayaan dan sumbangan radio diungkap menerusi filem

Radio telah memulakan operasinya lebih awal sebelum kewujudan televisyen dan sudah tentu banyak liku-liku yang dilalui.

Feature Image

KETIKA sedang asyik mencari rancangan yang bersesuaian untuk ditonton pada cuti hujung minggu baru-baru ini, tiba-tiba perhatian penulis terpaut pada salah satu siaran rakaman televisyen sebuah filem Melayu klasik lakonan Tan Sri P. Ramlee secara tidak dirancang.

Tanpa sedar tangan yang memegang alat kawalan jauh berhenti daripada meneruskan pencarian. Terpaut dengan salah satu adegan yang mencemaskan dan mengimbau fakta sejarah iaitu pengumuman mengenai tentera Jepun yang telah mendarat di Tanah Melayu melalui siaran radio yang didengari oleh orang ramai ketika itu.

Berita berkenaan disambut dengan perasaan cemas, bimbang, terkejut dan pelbagai lagi emosi bercampur baur yang menampakkan kerisauan masyarakat untuk mengharungi hari mendatang.

Penulis pada mulanya hanya mengikut momentum perjalanan cerita berkenaan secara bersahaja namun secara tiba-tiba pemikiran beralih kepada perihal radio pada babak sebentar tadi. Apa yang menyebabkan penulis terpaku pada babak tersebut?

Sambil tersenyum menandakan sudah terjawab persoalan iaitu berkenaan sambutan Hari Radio Sedunia pada 13 Februari yang lepas.

Mana mungkin terlupa pada tarikh berkenaan cuma kesannya terpahat walaupun ketika menonton televisyen tanpa direncana tatkala menonton babak berkenaan.

Umum mengetahui bahawa radio merupakan medium perantaraan utama ketika itu. Radio telah memulakan operasinya lebih awal sebelum kewujudan televisyen dan sudah tentu banyak liku-liku yang dilalui sejajar dengan peranannya sebagai saluran informasi kepada masyarakat dan telah menjadi sebahagian daripada sejarah tanah air.

Kepentingannya dalam menyatukan masyarakat berdasarkan pembentukan pendapat umum telah terbukti sejak zaman dahulu lagi. Radio merupakan sebagai medium yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berilmu dan bertindak sebagai agen perubahan kepada masyarakat melalui kandungan yang dibawa.

Oleh kerana sifatnya yang istimewa, radio telah mengalami perubahan demi perubahan dalam konteks penyampaian hinggalah ke hari ini. Malah, tanpa jemu terus menjalankan peranannya dalam memberikan maklumat, mendidik, pembujukan dan hiburan kepada masyarakat dan semakin berkembang sejajar dengan kehendak masyarakat dan peredaran teknologi.

Popularitinya semakin mendapat perhatian apabila kewujudan pelbagai saluran radio swasta yang turut mewarnai industri penyiaran tanah air.

Berbalik kepada cerita yang ditonton tadi, apa yang cuba diperbincangkan adalah bagaimana radio dijelmakan dalam filem yang menjadikannya sebagai sesuatu yang unik untuk diulas berdasarkan peranannya kepada masyarakat terdahulu.

Melalui filem, masyarakat juga boleh mengenali sejarah berdasarkan penyampaian kandungan dan persembahan sesebuah filem kerana filem juga merupakan salah satu rakaman sejarah memandangkan ia dihasilkan berpandu pada sesuatu latar belakang zaman walaupun ianya terbina dengan rangkuman bersifat cereka.

Paling tidak, konteks keadaan sekeliling yang wujud ketika penggambaran adalah sandaran sebenar keadaan latar sesuatu zaman. Seperti contoh cara percakapan, pemakaian, kenderaan, suasana hidup dan lain-lain yang jelas diperlihatkan melalui filem.

Ini dikenali sebagai sudut pandangan atau pemerhatian berdasarkan kearifan masyarakat ketika itu dan ternyata, radio mempunyai sejarahnya yang dipaparkan dalam dunia perfileman bilamana ianya digambarkan sebagai medium yang mempunyai pengaruh, peranan dan fungsi yang pelbagai kepada masyarakat dalam konteks zaman kewujudannya.

Sama ada ia digambarkan secara terperinci atau sebaliknya bergantung kepada fokus utama sesuatu penceritaan tersebut.
Filem Sarjan Hassan merupakan sebuah pengkisahan perjuangan anak bangsa dalam mempertahankan tanah air dari penjajahan pihak Jepun. Dalam filem ini, peranan radio diterap dengan baik dalam melalui liku-liku perjalanan kemerdekaan tanah air.

Penggunaan radio dalam filem ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu radio awam yang menghubungkan pihak pemerintah dengan masyarakat dan radio yang digunakan bagi tujuan keselamatan oleh pihak tentera bagi tujuan berkomunikasi.

Kedua-duanya digambarkan dengan jelas tentang peranan dalam menterjemahkan sejarah iaitu bagaimana radio berfungsi menyebarkan berita yang berlaku kepada masyarakat bagi mengetahui perkembangan semasa melalui komunikasi audio. Walaupun ia ditentang keras oleh tentera Jepun tentang pemilikan radio ketika itu namun diperlihatkan tentang semangat masyarakat untuk mengetahui perkembangan dan situasi semasa dalam mempertahankan tanah air tetap kuat.

Ini boleh dilihat dengan jelas dalam filem tersebut berkenaan beberapa siri tangkapan ekoran pemilikan radio secara sembunyi. Namun radio terus menjalankan fungsinya sebagai perantara komunikasi dalam membentuk pendapat umum seterusnya menyemarakkan semangat patriotisme untuk menentang penjajahan.

Dalam filem Ibu Mertuaku pula, radio menggalas permulaan cerita yang mencerminkan tentang peranan radio bagi tujuan hiburan. Radio telah dijadikan teman untuk mendapatkan hiburan melalui lagu-lagu yang berkumandang mengikut waktu siaran tertentu.

Popularitinya diangkat sebaik mungkin melalui tanggapan bahawa masyarakat mengenali seseorang penyanyi hanya pada nama dan lagu yang didendangkan sehingga membawa kepada plot penceritaan. Dipaparkan juga gelagat masyarakat menerusi watak yang dicipta dalam konteks mendengar lagu melalui radio yang sememangnya mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang terdedah kepada alat komunikasi ini.

Keadaan ini mengingatkan penulis pada sekitar awal 90-an iaitu tentang sebuah siaran radio yang menawarkan permintaan lagu dengan ucapan ringkas daripada pendengar yang berminat untuk turut serta dalam segmen tersebut.

Popularitinya terbukti dengan senarai lagu permintaan diterbitkan di akhbar tempatan bagi tujuan rujukan dan sememangnya sangat menghiburkan apabila peminat dengan tertib menantikan lagu untuk diputarkan mengikut susunan yang telah ditetapkan.

Kesepakatan dan kebersamaan masyarakat berbilang kaum juga berjaya disatukan oleh peranan radio yang jelas terpapar dalam filem Ola Bola. Menerusi filem ini, radio digambarkan sebagai alat penyatuan atau pertemuan pemikiran masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia dalam bersama-sama berkongsi minat dan semangat kesukanan dalam acara bola sepak yang dititipkan menerusi penceritaan.

Dengan jelas, radio menjadi tumpuan masyarakat ketika itu sebagai penyampai keputusan perlawanan secara langsung tanpa persembahan visual. Walaupun berdasarkan persembahan audio semata-mata dalam menyampaikan keadaan permainan dan kedudukan keputusan perlawanan namun ia sedikitpun tidak melunturkan semangat kesukanan masyarakat ketika itu untuk mendengar setiap detik secara langsung.

Radio telah menjadi saksi tentang keadaan kepelbagaian latar belakang masyarakat berkumpul untuk berkongsi liputan perlawanan secara langsung dengan satu semangat kekitaan yang unggul. Bukan sahaja kemenangan perlawanan yang dipertontonkan malah kemenangan sebuah masyarakat berbilang kaum di Malaysia diungkapkan dengan berkesan melalui filem berkenaan. Lebih mengujakan apabila melihat peranan yang dimainkan oleh pengulas sukan yang sentiasa bertenaga dalam pelaporannya.

Begitulah galur cerita perihal radio yang diungkap dalam persembahan filem yang membawa maksud dalam ruang lingkup yang pelbagai demi kelangsungan menjalankan fungsinya kepada masyarakat dari zaman ke zaman.

Kini, negara sedang meniti arus teknologi komunikasi yang pesat namun radio masih lagi kekal setia dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.