Adakah peperiksaan sebenarnya membantu pelajar kita?
Di Malaysia, kita sedang menghadapi cabaran dari segi pengukuran, bukan dalam keputusan peperiksaan sahaja, malah dalam hasil pembelajaran.

NAMPAKNYA perbincangan hangat berkenaan peperiksaan berpusat kembali lagi kenapa perkara ini dibincangkan semula? Bukanlah kerana kita terlalu sukakan ujian bertulis tetapi kerana kita cuba menambah baik pencapaian semasa dalam pendidikan di sekolah.
Kita mengkaji bagaimana mengekalkan standard atau piawai pendidikan yang boleh dipercayai dan pada masa yang sama, bagaimana meneruskan pembelajaran yang bersifat kemanusiaan.
Sedar tidak sedar, kehangatan isu peperiksaan berpusat telah mengubah dasar pendidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah dimansuhkan pada tahun 2021 manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang pada mulanya dibatalkan akibat pandemik Covid-19 juga dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2022, dengan hala tuju Kementerian Pendidikan (KPM) pada masa itu berpaksikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Walau bagaimanapun, perkara ini kembali diperkatakan pada awal tahun ini apabila KPM dalam usaha untuk mengkaji pelaksanaan semula peperiksaan UPSR dan PT3. Usaha ini dijalankan susulan permintaan berterusan daripada ibu bapa.
Setelah selesai usaha kajian, sebarang keputusan berkaitannya akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut. Kenapa perkara ini sangat penting kepada kita? Ini kerana peperiksaan tidak boleh dianggap sebagai pentaksiran semata-mata. Peperiksaan sebenarnya boleh diibaratkan seperti cerminan sosial kepada kebanyakan individu.
Ia menjadi rujukan lazim kepada keluarga, universiti, majikan mahupun pelajar itu sendiri. Di samping itu, apabila standard mulai menurun, kita mula mencari satu penanda aras ataupun alternatif yang boleh diukur untuk membaiki semula pencapaian sedemikian dan peperiksaan adalah satu pilihan yang sinonim.
Di Malaysia, kita sedang menghadapi cabaran dari segi pengukuran, bukan dalam keputusan peperiksaan sahaja, malah dalam hasil pembelajaran. Merujuk kepada Program Penilaian Pelajar Antarabangsa 2022 (Programme for International Student Assessment (PISA)), pelajar-pelajar yang berumur 15 tahun di negara kita mencatatkan skor sebanyak 409 dalam matematik, 388 dalam membaca dan 416 dalam sains, dan kesemua skor ini terletak bawah daripada purata OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD)).
Justeru, jumlah ini memberi peringatan kepada semua pemegang taruh bahawa jika perancangan tidak dilakukan dengan teliti, pelaksanaan atau pemansuhan peperiksaan boleh mendatangkan kesan kepada perkembangan pembelajaran para pelajar di negara kita.
Lain pula kisah di peringkat menengah atas di mana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih kekal dengan jenamanya sebagai pencapaian pembelajaran berkepentingan tinggi. Pada tahun 2023, seramai 373,255 calon telah menduduki peperiksaan SPM dan keputusannya menunjukkan sekurang-kurangnya 226,358 lulus dalam semua subjek yang diambil.
Seterusnya, seramai 349,297 atau 93.5% pelajar layak memperoleh sijil tersebut. Keputusan tahun tersebut juga diiktiraf sebagai pencapaian terbaik semenjak tahun 2013. Angka terbabit secara tidak langsung menerangkan betapa tingginya daya tahan anak-anak ini walaupun pernah menghadapi gangguan pembelajaran akibat pandemik.
Namun demikian, angka ini mencetuskan dua soalan yang bersangkut paut, iaitu pertama, di manakah sebenarnya kedudukan jurang pembelajaran yang lebih dalam dan kedua, bagaimana pentaksiran boleh mendedahkan jurang ini?
Komuniti penyelidikan dunia ada mengusulkan satu pendapat yang berguna, iaitu pentaksiran hanya meningkatkan pembelajaran apabila ia direka bentuk untuk menyuap semula atau memberi tindak balas kepada pengajaran. Satu kumpulan penyelidik daripada King’s College London, United Kingdom, menegaskan bahawa pentaksiran formatif boleh menaikkan pencapaian kerana pendekatan ini dapat mengubah perkembangan dan keputusan dalam kelas daripada semasa ke semasa, seterusnya mencapai gred yang baik pada hujung penggal.
Namun demikian, jika peperiksaan yang menjadi misi pembelajaran, ia mungkin membuahkan keputusan yang baik tetapi ia juga akan mencorakkan pembelajaran yang tidak sekata.
Secara teorinya, PBS di negara kita selari dengan pendapat penyelidikan di atas. Berulang kali, KPM menyatakan PBS merupakan jalan keluar daripada budaya peperiksaan yang berlebihan dan salah satu cara untuk membangunkan para pelajar secara holistik.
Walaupun dasar PBS menyakinkan, realitinya, pelaksanaannya di sekolah agak sukar kerana para guru memerlukan lebih masa, piawai yang jelas dan literasi pentaksiran yang bagus bagi menyempurnakan tugas ini.
Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi, agenda PBS akan menyebabkan ketidakseragaman antara sekolah, tumpuan guru yang banyak kepada kertas kerja dan pelaksanaan kelas-kelas tambahan untuk menghabiskan sukatan pembelajaran.
Maka, hala tuju penambahbaikan yang rasional boleh mengambil kira perkara-perkara berikut:
Pertama, jalankan peperiksaan berpusat yang direka bentuk dengan baik dan dalam jumlah yang kecil. Tujuan peperiksaan ini perlulah diterangkan dengan jelas kepada semua pihak. Walau bagaimanapun, SPM masih kekal sebagai penanda aras kebangsaan yang berprestij di negara kita.
Sekiranya peperiksaan berpusat di peringkat lebih rendah kembali, ia sebaiknya digunakan untuk mengenal pasti keperluan pembelajaran, sebagai pentaksiran diagnostik para pelajar terutamanya daripada kelompok yang lemah.
Seterusnya, laksanakan pentaksiran berasaskan sekolah yang boleh dipercayai dan telus. Jika ada kerisauan berkenaan ketidakseragaman, pihak sekolah perlu membentangkan keputusan pencapaian secara terang, mengemukakan contoh kerja pelajar mengikut tahap kecekapan yang berbeza dan memperkukuhkan moderasi antara sekolah supaya gred dan tahap yang diukur adalah sama dan berpadanan dalam setiap konteks.
Yang ketiga, seimbangkan kebertanggungjawapan dengan keadaan sebenar dalam bilik darjah. Sekiranya meja para guru dipenuhi dengan pelbagai dokumen, maka mereka tidak dapat menjalankan pentaksiran formatif yang bermakna kepada para pelajar. Selain itu, jadikan usaha seperti bengkel pemantapan kemahiran pentaksiran dan pengajaran digital sebagai ruang dan peluang untuk menghasilkan maklum balas yang membina kepada para guru.
Terakhir, ukur apa yang penting dalam pembelajaran, termasuklah kemahiran, yang tidak selalu dapat diukur dalam peperiksaan. Untuk menghasilkan para pelajar yang boleh berfikir secara logik, berkomunikasi dengan baik dan berkarya dengan kreatif, maka pentaksiran haruslah direka bentuk bersesuaian dengan komponen-komponen ini, bukan hanya berfokus kepada kelajuan pembelajaran dan penghafalan ilmu.
Selalunya, perbincangan berkenaan peperiksaan berpusat akan memberikan dua pilihan, sama ada membawa kembali UPSR atau PT3, atau memansuhkannya terus. Secara jujurnya, ia bukanlah satu perjuangan yang bijak. Persoalan yang betul adalah adakah kita boleh membina sistem pentaksiran yang boleh diyakini dan berguna untuk pendidikan di negara kita.
Dalam kata lainnya, satu sistem yang boleh memberikan pengajaran, melindungi kesejahteraan pelajar dan juga, masih boleh menyakinkan masyarakat berkenaan standard pendidikan yang dituju dan dicapai.
Justeru, sekiranya kita boleh menghasilkan reka bentuk pentaksiran yang betul, tepat dan jelas, peperiksaan dapat menghentikan kebimbangan masyarakat dan akan tetap menjalankan fungsinya dengan baik, iaitu menjadi salah satu medium untuk menyokong pembelajaran anak bangsa kita.

