Jangan biar FOMO menghakis ketenangan Ramadan

FoMO merupakan istilah unik yang mula diperkenalkan pada 2004 untuk menggambarkan satu fenomena yang diperhatikan di laman rangkaian sosial.

Feature Image (3)

KEMAJUAN teknologi kecerdasan buatan (AI) telah mengubah cara manusia berkomunikasi, bekerja dan berinteraksi dengan maklumat.

Algoritma AI yang menggerakkan media sosial, aplikasi pesanan dan platform kandungan direka untuk memaksimumkan perhatian pengguna melalui contohnya melalui notifikasi berterusan.

Tanpa disedari, reka bentuk ini menyumbang kepada fenomena Fear of Missing Out (FoMO) iaitu ketakutan ketinggalan maklumat, peluang atau pengalaman yang dianggap penting.

FoMO merupakan istilah unik yang mula diperkenalkan pada 2004, untuk menggambarkan satu fenomena yang diperhatikan di laman rangkaian sosial.

Ia dikaitkan dengan pelbagai pengalaman dan perasaan hidup yang negatif, kerana ia dianggap sebagai keterikatan yang bermasalah terhadap media sosial.

Kajian terkini di Universiti Malaya menunjukkan bahawa FoMO bukan sekadar isu psikologi individu tetapi kesan struktur teknologi yang mempengaruhi kesejahteraan manusia merentas generasi, termasuk golongan rentan dan warga emas.

FoMO berlaku apabila AI sentiasa menonjolkan apa yang sedang “trend”, siapa yang sedang aktif, dan apa yang “patut” dilihat sekarang. Mekanisme ini mewujudkan perbandingan sosial berterusan dan tekanan untuk sentiasa berada di atas talian.

Kajian menunjukkan bahawa pendedahan berlebihan kepada kandungan dipacu AI meningkatkan kebimbangan, keletihan mental dan gangguan tumpuan.

Dalam konteks warga emas contohnya, kesannya boleh menjadi lebih serius. Golongan ini mungkin bergantung kepada media digital untuk kekal berhubung dengan keluarga dan masyarakat, namun pada masa yang sama terdedah kepada tekanan emosi, rasa terpinggir dan kekeliruan maklumat akibat kadar perubahan teknologi yang pantas.

Lebih membimbangkan, FoMO yang berpanjangan boleh menghakis ketenangan jiwa (sakīnah) dan menjejaskan hubungan sosial sebenar. Manusia menjadi reaktif, mudah gelisah dan sukar menikmati kehadiran saat kini.

Warga emas khususnya berisiko mengalami kesunyian digital, walaupun dilihat sentiasa terhubung tetapi tidak benar-benar disokong secara emosi. Dalam keadaan ini, AI yang sepatutnya membantu kehidupan manusia akhirnya membentuk kebergantungan yang melemahkan kesejahteraan rohani dan psikososial seseorang.

Bulan Ramadan ini adalah bulan terbaik yang hadir sebagai ruang refleksi dan muhasabah diri untuk menilai semula hubungan manusia dengan teknologi.

Ramadan dalam konteks alaf baru bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi medan latihan dan perjuangan menyeluruh untuk mendisiplinkan nafsu, termasuk keinginan terhadap rangsangan digital. Dalam tradisi Islam, pendekatan spiritual seperti tazkiyyah an-nafs atau penyucian jiwa, dilihat mampu menawarkan kerangka praktikal dan berperingkat untuk mengawal FoMO.

Konsep tazkiyyah an-nafs ialah salah satu konsep yang dibawa oleh Imam al-Ghazali, yang menekankan pembentukan kesedaran diri, pengawalan keinginan berlebihan dan penyelarasan semula tujuan hidup agar selari dengan nilai kerohanian serta menyeru kepada manusia ke arah penyembuhan dan penyuburan jiwa melalui penerapan elemen-elemen positif.

Menurut al-Ghazali, konsep manusia dikaji dari segi unsur kerohanian yang terdiri daripada hati (al-qalb), roh, jiwa (nafs) dan intelek (aql).

Pelaksanaan tazkiyyah an-nafs dalam kehidupan harian boleh difahami dengan situasi segala apa yang terlahir daripada diri kita, baik merupakan perkataan ataupun perbuatan merupakan gambaran dari jiwa kita yang abstrak. Umpama ’zahir adalah cerminan batin’.

Tazkiyyah an-nafs merupakan satu usaha gigih yang boleh dilakukan untuk menyucikan diri dari sifat-sifat buruk dan keji (mazmumah) yang menjadi penghalang kepada penyuburan akhlak mulia (mahmudah). Sesuatu konflik yang terjadi adalah kerana keegoan diri yang banyak dikuasai oleh sifat mazmumah contohnya seperti rasa iri hati, riak atau bangga diri.

Apabila hati (al-qalb) dapat disucikan daripada sifat mazmumah kepada sifat mahmudah seperti rasa rendah diri dan bersyukur, proses penyelesaian sesuatu masalah akan dapat dilaksanakan dengan baik, khususnya apabila dikaitkan dengan kawalan diri terhadap FoMO.

Beberapa langkah boleh diambil untuk pengguna media sosial melaksanakan tazkiyyah an-nafs dalam mengawal FoMO. Pertama, muhāsabah (refleksi diri) harian dari segi menilai masa penggunaan teknologi, emosi yang timbul selepas melayari media sosial dan niat sebenar di sebalik keterhubungan digital.

Kedua, mujāhadah al-nafs, yakni usaha sedar untuk mengehadkan pendedahan kepada notifikasi dan kandungan tidak perlu, termasuk menetapkan waktu ’puasa digital’, selari dengan semangat Ramadan.

Ketiga, memperkukuh zikir dan amalan rohani bagi menenangkan jiwa dan mengurangkan kebergantungan kepada rangsangan luaran.

Keempat, memupuk qana‘ah (rasa cukup) dengan menghargai hubungan nyata dan pengalaman sederhana, terutamanya dalam interaksi antara generasi, seperti meluangkan masa berkualiti bersama warga emas tanpa gangguan skrin, khususnya sewaktu meluangkan masa berbuka puasa dan bersahur bersama ahli keluarga.

Ringkasnya, isu FoMO yang dipacu AI menuntut bukan sahaja penyelesaian teknikal atau dasar tetapi juga transformasi dalaman manusia yang melibatkan hati (al-qalb), roh, jiwa (nafs) dan intelek (aql).

Ramadan mengingatkan bahawa teknologi perlu diletakkan di bawah kawalan nilai, bukan sebaliknya. Melalui tazkiyyah an-nafs, manusia perlu mendidik hati, roh, jiwa dan intelek dan menundukkan nafsu supaya dapat menggunakan AI secara beretika dan seimbang, mengembalikan ketenangan jiwa serta melindungi golongan rentan seperti warga emas daripada kesan negatif FoMO.

Penyucian jiwa ini bukan bermakna penolakan kita terhadap teknologi tetapi usaha memanusiakan teknologi demi kesejahteraan bersama.