Apa Malaysia perlu lakukan bagi menutup jurang kredibiliti ESG?
Apabila matlamat ESG berubah daripada sebuah aspirasi kepada satu jangkaan pencapaian, kredibiliti ESG sesebuah negara itu menjadi matawang sebenar.

DALAM beberapa bulan kebelakangan ini, perbincangan mengenai prospek pelaburan Malaysia yang bertambah baik dan ringgit yang lebih kukuh telah semakin berkait dengan naratif kelestarian dan tadbir urus.
Ini mencerminkan anjakan global yang lebih luas, di mana pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) telah menjadi sebahagian daripada cara negara dinilai oleh pelabur modal jangka panjang.
Namun evolusi ini juga memberikan cabaran. Apabila matlamat ESG berubah daripada sebuah aspirasi kepada satu jangkaan pencapaian, kredibiliti ESG sesebuah negara itu menjadi matawang sebenar.
Persoalannya bukan lagi sama ada Malaysia mempunyai rangka kerja kelestarian, pendedahan, atau rancangan. Ia adalah sama ada matlamat ESG ini diterjemahkan kepada hasil kelestarian sebenar yang cukup untuk meyakinkan dan mengekalkan keyakinan pelabur.
Ketegangan Geopolitik Terkini Menguatkan Lagi Kepentingan Kredibiliti ESG
Ketegangan yang semakin memuncak melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran telah menghantar gelombang kejutan melalui pasaran tenaga global. Harga minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$100 setong dan pernah menghampiri AS$120 apabila kebimbangan meningkat terhadap gangguan kepada laluan bekalan Timur Tengah.
Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz, koridor perkapalan sempit yang kekal sebagai salah satu titik paling strategik bagi logistik tenaga global, kini telah kini terdedah kepada konflik.
Ini amat relevan untuk ekonomi Malaysia kerana negara kita kekal berkait rapat dengan pasaran tenaga global. Hasil berkaitan petroleum menyumbang kira-kira 4 hingga 5 peratus daripada KDNK Malaysia, walaupun ia turun naik bergantung pada harga minyak global.
Oleh itu, harga minyak yang lebih tinggi boleh memberikan keuntungan fiskal jangka pendek. Kajian empirikal mencadangkan bahawa setiap kenaikan AS$1 dalam harga minyak mentah Brent boleh meningkatkan KDNK Malaysia sebanyak kira-kira RM646 juta dan meningkatkan hasil fiskal sebanyak kira-kira RM339 juta.
Malaysia mengeksport kira-kira RM6.3 bilion nilai petroleum mentah pada suku kedua 2025, manakala import minyak mentah mencecah kira-kira RM12.9 bilion dalam tempoh yang sama.
Struktur perdagangan tenaga yang kompleks ini bermakna kejutan faktor luaran boleh memberi manfaat dan menjejaskan ekonomi secara serentak. Malaysia menduduki kedudukan unik sebagai pengeksport tenaga dan pengguna tenaga. Walaupun harga minyak yang lebih tinggi boleh meningkatkan hasil eksport, ia juga meningkatkan kos tenaga domestik dan meningkatkan tekanan inflasi.
Pasaran global memasuki persekitaran “risiko” semasa berlakunya konflik geopolitik yang menyebabkan modal pelaburan biasanya mengalir ke arah aset yang dianggap selamat. Negara dengan pasaran membangun, terutamanya yang mempunyai rangka kerja dasar yang tidak menentu, boleh mengalami aliran keluar modal dan tekanan matawang.
Dalam persekitaran ini, keyakinan pelabur bukan sahaja bergantung pada asas ekonomi tetapi juga pada kredibiliti hala tuju dasar negara. Oleh itu, tadbir urus yang kukuh menjadi isyarat dan faktor penstabilan negara yang penting kepada pelabur luar. Ia meyakinkan pelabur bahawa komitmen kelestarian negara akan bertahan walau dalam kejutan kemelut geopolitik dunia.
Peralihan Ke Arah Sistem Tenaga Bersih
Secara paradoks, tempoh turun naik tenaga sering mempercepatkan dan bukannya memperlahankan peralihan ke arah sistem tenaga yang lebih bersih. Apabila harga minyak melonjak akibat gangguan geopolitik, kerajaan dan pelabur diingatkan tentang kelemahan struktur yang berkaitan dengan pergantungan kepada bahan api fosil.
Sebelum ini, kejutan tenaga global yang dicetuskan oleh perang Rusia-Ukraine pada 2022, menyaksikan pelaburan dalam teknologi peralihan tenaga meningkat secara mendadak. Menurut International Energy Agency (IEA), pelaburan global untuk tenaga bersih mencecah kira-kira AS$1.8 trilion pada 2023, mengatasi pelaburan dalam bekalan bahan api fosil buat kali pertama dalam sejarah moden.
Bagi Asia Tenggara, peluang itu amat penting. Permintaan elektrik di seluruh rantau ini diunjurkan berkembang sekitar 4% setiap tahun menjelang 2030, menurut Asian Development Bank (ADB). Oleh itu, bagi memenuhi permintaan serta mengurangkan pelepasan karbon, ia memerlukan pelaburan yang besar dalam tenaga boleh diperbaharui, grid kuasa, dan infrastruktur penyimpanan tenaga.
Justeru, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil bahagian dalam peralihan ini. Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi Malaysia, negara menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dengan ketara dalam dekad akan datang.
Menutup Jurang Kredibiliti ESG
Dalam pengertian ini, kejutan geopolitik bukan sekadar menguji kredibiliti ESG negara. Jika komitmen kelestarian negara kelihatan tidak konsisten, pelabur mungkin mentafsirkan ini sebagai penguatkuasaan dasar yang lemah.
Sebaliknya, jika Malaysia mampu mengemudi peralihan sistem tenaga ini dengan disiplin strategik, ia akan menghantar isyarat kredibiliti ESG yang kuat kepada pasaran modal global. Negara yang menunjukkan rangka kerja dasar yang boleh dipercayai, termasuk strategi ESG yang jelas dan konsisten, bakal menarik pelabur modal jangka panjang.
Oleh itu, kredibiliti ESG negara perlu bergerak melangkaui simbolisme dan memberi tumpuan kepada penghasilan sebenar.
Pelabur global semakin tertumpu pada hasil berbanding janji. Mereka mahu melihat penghasilan kelestarian sebenar, seperti pengurangan pelepasan karbon, penguatkuasaan standard tadbir urus yang konsisten, dan strategi peralihan yang boleh dipercayai.
Maka, objektif ESG negara perlu sejajar dengan insentif ekonomi bagi memastikan dasar kelestarian mengukuhkan, bukannya melemahkan kestabilan makroekonomi.
Walaupun matlamat alam sekitar sering mendominasi perbincangan ESG, tadbir urus akhirnya kekal sebagai faktor penentu untuk kredibiliti ESG negara tetapi pelabur luar secara amnya lebih memaafkan hasil iklim yang tidak sempurna berbanding penguatkuasaan yang lemah atau pembalikan dasar yang mendadak. Kepekaan pelabur luar terhadap faktor ini menjadi sangat ketara semasa tempoh ketidaktentuan geopolitik.
Bagi Malaysia, menutup jurang kredibiliti ESG memerlukan penguatkuasaan yang konsisten terhadap peraturan sedia ada, ketelusan, dan kebebasan institusi dan penyelarasan yang lebih jelas merentas kementerian dan agensi kawal selia. Tadbir urus yang kukuh tidak menghapuskan risiko peralihan, tetapi ia meyakinkan pelabur bahawa risiko tersebut diurus dan bukannya diabaikan.
Malaysia boleh membuktikan kepada dunia akan komitmen negara terhadap penguatkuasaan tadbir urus kelestarian dengan mengambil pendekatan yang lebih pragmatik melalui penguatkuasaan penanda aras yang berpandangan ke hadapan. Sebagai contoh, penunjuk prestasi khusus bagi setiap sektor ekonomi dan metrik pencapaian berasaskan hasil persekitaran.
Pendekatan sedemikian menitikberatkan bahawa setiap industri mempunyai struktur dan kekangan yang berbeza, oleh itu pencapaian kelestarian firma harus dinilai secara relatif kepada penghasilan alam sekitar sebenar.
Kredibiliti ESG Negara Menjadi Faktor Penentu
Malaysia berada pada satu persimpangan yang bermakna. Negara ini telah mencapai kemajuan yang ketara, menarik perhatian pelabur, dan mengukuhkan naratif ekonominya. Maka, sekarang adalah masa untuk memastikan bahawa momentum ini diperkukuh lagi.
Dalam era yang ditakrifkan oleh kejutan geopolitik, ketidaktentuan pasaran tenaga, dan tekanan peralihan iklim; mengekalkan keyakinan pelabur itu perlu. Dengan memastikan bahawa komitmen kelestarian negara bukan sahaja dapat dilihat dan diukur tetapi boleh dipercayai, konsisten dan berdaya tahan terhadap tekanan dunia yang berubah-ubah. Kredibiliti ESG ini menjadi aset negara yang semakin berharga.
Menutup jurang kredibiliti ESG tidak memerlukan transformasi radikal. Ia memerlukan disiplin dalam menyelaraskan insentif, menguatkuasakan piawaian, serta mengukur hasil kelestarian dengan telus dan jujur.

